Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. saya seorang begpackers yang pergi ke mana-mana. Dalam beg saya mempunyai barang berharga seperti laptop dan turut ada buku agama yang mempunyai ayat Al-Quran adakalanya. Soalan saya, bolehkah saya membawa beg yang mempunyai buku agama didalamnya jika ke tandas kerana jika di tempat awam,jika saya letak beg di luar tandas dikhuatiri hilang. Mohon penjelasan.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
إِنَّهُ لَقُرْآنٌ كَرِيمٌ
Maksudnya: Bahawa sesungguhnya (yang dibacakan kepada kamu) itu ialah Al-Quran yang mulia, (yang sentiasa memberi ajaran dan pimpinan)
(Surah al-Waqiah:77)
Syeikh al-Sa’di ketika menafsirkan ayat ini menyatakan bahawa: “Adapun bagi yang telah disumpahkan ke atasnya ianya mengithbatkan Al-Quran bahawa ia adalah kebenaran yang tiada keraguan padanya dan ia adalah kalam yang mulia iaitu banyak kebaikan, padat dengan ilmu. Setiap kebaikan dan ilmu ia hanya diperolehi daripada Kitabullah dan diambil dariNya. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm 836)
إِنَّ اللَّهَ يَرْفَعُ بِهَذَا الْقُرْآنَ أَقْوَامًا وَيَضَعُ بِهِ آخَرِينَ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengangkat suatu kaum dengan al-Quran ini dan merendahkan kaum yang lain dengannya.”
Riwayat Muslim (817); riwayat Ibn Majah (218); riwayat Ibn Hibban (772)
Maknanya, sesiapa yang beriman dengan al-Quran, memuliakan kedudukannya dan beramal dengannya, maka Allah SWT akan mengangkat kedudukannya di dunia dan akhirat serta mengurniakannya ke‘izzahan dan kemuliaan, manakala sesiapa yang tidak beriman dengan al-Quran atau tidak memuliakan kedudukannya, maka Allah SWT akan merendahkan dan menghinakannya di dunia dan akhirat, sekalipun dia ada kedudukan atau kemuliaan pada kaca mata manusia. (Lihat al-Mafatih fi Syarh al-Masabih, 3/67-68; Tatriz Riyadh al-Salihin oleh Faisal bin ‘Abd al-‘Aziz al-Mubarak, hlm. 581)
Kesimpulan
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan hukum membawa buku-buku agama yang mengandungi ayat-ayat al-Quran di dalam tandas adalah dilarang. Hal ini sebagaimana diriwayatkan daripada Anas Bin Malik R.A, katanya:
أَنَّ النَّبِيَّ ﷺ كَانَ إِذَا دَخَلَ الْخَلاَءَ وَضَعَ خَاتَمَهُ
Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi S.A.W apabila masuk ke dalam tandas, baginda akan menanggalkan cincinnya.”
Riwayat Ibn Majah (303)
Imam al-Nawawi mengatakan, hadith Anas ini merupakan sebuah hadith yang masyhur. Adapun hukum berkenaan permasalahan ini maka para ashab kami (al-Syafi‘iyyah) telah bersepakat bahawa sunat hukumnya menanggalkan apa-apa yang terdapat nama Allah padanya ketika seseorang itu mahu masuk ke dalam tandas, dan ianya tidak wajib ditanggalkan. Di antara yang menyatakan secara jelas bahawa hukumnya mustahab adalah musannif (Imam al-Shirazi), serta gurunya al-Qadhi Abu Al-Thayyib. Kata Al-Mutawalli dan Al-Rafi‘i dan selain keduanya: Tidak ada beza di antara ianya tertulis di atas dirham, dinar, atau cincin, dan selainnya. (Lihat al-Majmu‘, 2/73)
Imam Ibn Qudamah Al-Maqdisi pula menyebutkan, apabila seseorang itu hendak masuk ke dalam bilik air dan terdapat bersamanya sedikit daripada sebutan nama Allah maka disunatkan untuknya membukanya. (Lihat al-Mughni, 1/167)
Imam Al-Mardawi al-Hanbali mengatakan, pendapat yang sahih dalam mazhab adalah makruh bagi seseorang itu masuk ke dalam bilik air dengan membawa sesuatu yang terdapat padanya nama Allah. (Lihat al-Insaf, 1/94-95)
Oleh itu, kami mengesyorkan sebaiknya buku yang mengandungi ayat al-Quran diletakkan diluar terlebih dahulu/ diserahkan kepada rakan, manakala beg yang mengandungi barang berharga seperti laptop di bawa ke dalam tandas bagi mengelakkan kecurian. Adapun, jika khuatir buku agama tersebut dicuri misalnya, maka harus hukumnya di bawa bersama.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan syariatnya dan kami akhiri dengan doa:
اَللَّهُمَّ اجْعَلِ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِناَ، وَنُوْرَ صُدُوْرِناَ، وَجلاَءَ أَحْزَانِناَ، وَذهَابَ هُمُوْمِناَ
Maksudnya: Ya Allah! Jadikanlah al-Qur’an sebagai penyejuk hati kami, cahaya yang menyinari dada kami, penghibur duka kami dan penghapus kesedihan kami.
Wallahu a’lam
Bertarikh: 19 Oktober 2023 bersamaan 4 Rabiulakhir 1445