#3656: Kedudukan Tangan Ketika Doa Tolak Bala

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Benarkah ketika doa tolak bala kita perlu membalikkan kedua tapak tangan kita ke atas? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, kami bahagikannya kepada dua perbahasan. Pertamanya, di antara hal atau perkara yang termasuk dalam adab bagi mendapatkan kemustajaban doa adalah dengan mengangkat tangan semasa berdoa. Ini adalah sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Salman al-Farisi R.A, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ رَبَّكُمْ تَبَارَكَ وَتَعَالَى حَيِيٌّ كَرِيمٌ يَسْتَحْيِي مِنْ عَبْدِهِ إِذَا رَفَعَ يَدَيْهِ إِلَيْهِ أَنْ يَرُدَّهُمَا صِفْرًا

Maksudnya: “Sesungguhnya Tuhan kamu itu Maha Pemalu dan Maha Mulia. Dia malu kepada hamba-Nya sekiranya hamba-Nya itu mengangkat kedua tangan kepada-Nya lalu Dia membiarkan ia pulang dengan tangan kosong.

Riwayat Abu Daud (1488)

Hadith ini menjadi dalil utama dalam menjelaskan galakan untuk mengangkat kedua tangan semasa berdoa. Oleh kerana itu, Imam al-Nawawi menyatakan bahawa perbuatan menghadap kiblat dan mengangkat kedua tangan semasa berdoa adalah mustahab (disunatkan). (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 12/433).

Bahkan Syeikh Abdullah al-Bassam ketika mensyarahkan hadith berkenaan kisah semut mengangkat kaki-kakinya ketika berdoa istisqa’,[1] beliau menyatakan, hadith itu menunjukkan bahawa disunatkan untuk mengangkat kedua tangan ketika sedang berdoa. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/101).

Bahkan dalam hadith yang lain, diceritakan bahawa Nabi SAW pernah berdoa dengan mengangkat kedua tangan Baginda sehingga kelihatan putihnya ketiak Baginda. Ini sebagaimana riwayat daripada Anas bin Malik R.A daripada Nabi SAW bahawa:

رَفَعَ يَدَيْهِ حَتَّى رَأَيْتُ بَيَاضَ إِبْطَيْهِ

Maksudnya: “Baginda SAW mengangkat kedua-dua tangannya sehingga aku (Anas) terlihat akan bahagian putih kedua ketiak Baginda.

Riwayat al-Bukhari (6341)

Keduanya, berkenaan kedudukan tangan ketika berdoa, di sana terdapat anjuran untuk berdoa dalam keadaan menadah tangan yakni dalam keadaan bahagian dalam kedua tapak tangan ke arah langit. Ini adalah sebagaimana riwayat Malik bin Yasar al-Sakuni bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

إِذَا سَأَلْتُمُ اللَّهَ فَاسْأَلُوهُ بِبُطُونِ أَكُفِّكُمْ وَلاَ تَسْأَلُوهُ بِظُهُورِهَا

Maksudnya: “Apabila kamu meminta kepada Allah (berdoa) mintalah dengan bahagian batin (dalam) pergelangan tangan kamu dan jangan kamu meminta kepada-Nya dengan bahagian zahir (permukaan) pergelangan tangan kamu.

Riwayat Abu Daud (1486)

Al-Mulla Ali al-Qari ketika mensyarahkan hadith di atas menyebutkan, apabila kamu meminta sesuatu kepada Allah iaitu doa untuk mendatangkan manfaat atau menolak sebarang kemudaratan maka mintalah kepada-Nya dengan (mengangkat) bahagian dalam tangan kamu. Iaitu berserta dengan mengangkat keduanya ke arah langit. Ini kerana begitulah keadaan seseorang yang meminta dan menuntut serta menunggu untuk mengambil (apa yang diminta) maka keadaan ini diraikan secara mutlak. Hal ini adalah sebagaimana yang ditunjukkan melalui zahir hadith. (Lihat Mirqah al-Mafatih, 4/1532).

Seterusnya, di sana terdapat dalam kalangan ulama yang berpendapat bahawa seseorang yang berdoa bagi mengangkat atau menolak suatu musibah atau bala, hendaklah menjadikan kedudukan bahagian belakang (luar) kedua telapak tangannya ke arah langit. Ini adalah sebagaimana riwayat daripada Anas R.A bahawa:

أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم اسْتَسْقَى فَأَشَارَ بِظَهْرِ كَفَّيْهِ إِلَى السَّمَاءِ

Maksudnya: “Nabi SAW berdoa memohon hujan dengan menunjuk belakang tangannya ke arah langit.

Riwayat Muslim (896)

Menurut Syeikh Abdullah al-Bassam, sebahagian ulama memahami hadith ini bahawa doa bagi mengangkat kemudaratan adalah dengan belakang tapak tangannya (ke arah atas). (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/105).

Hal ini adalah sebagaimana disebutkan oleh Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith di atas bahawa sebahagian ashab kami (ulama mazhab Syafi‘i) dan selain mereka menyatakan, sunnah di dalam setiap doa bagi mengangkat bala seperti kemarau dan seumpamanya adalah dengan mengangkat kedua tangan dan menjadikan bahagian belakang (luar) kedua tapak tangannya ke arah langit. Namun, apabila seseorang itu berdoa untuk meminta dan mendapatkan sesuatu maka dia menjadikan bahagian dalam kedua tapak tangannya ke arah langit. (Para ashab al-Syafi‘i) berhujahkan dengan hadith ini. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 6/494).

Selain itu, Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari juga ada menyebutkan, diqiyaskan dengan istisqa’ (meminta hujan diturunkan) itu perkara yang sama dengan maknanya.  Hikmah perbuatan membalikkan tangan iaitu menjadikan kedudukan bahagian belakang (luar) telapak tangan ke arah langit adalah bagi menolak atau mengangkat bala berbeza halnya dengan tujuan untuk mendapatkan sesuatu, maka ketika itu dia menjadikan bahagian dalam kedua telapak tangannya ke arah langit. (Lihat Asna al-Matalib, 1/293).

Begitu juga al-Mulla Ali al-Qari juga ada menyebutkan, terdapat dalam kalangan ulama yang berpendapat bahawa ketika seseorang berdoa bagi tujuan mengangkat atau menolak bala, maka dia hendaklah menjadikan bahagian belakang (luar) kedua telapak tangannya berada di atas bahagian dalam sebagai tanda optimis (tafa’ul) dan juga meraikan bentuk menolak (bala atau musibah). (Lihat Mirqah al-Mafatih, 4/1532).

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, jelaslah bahawa perkara ini adalah luas dan termasuk dalam perkara khilaf. Namun, kami berpendapat bahawa kedudukan tangan ketika doa bagi menolak atau mengangkat bala adalah dengan bahagian belakang (luar) dua tapak tangan ke arah langit (iaitu ke atas). Hal ini adalah sebagai satu bentuk tafa’ulan (تفاؤلا) iaitu mudah-mudahan Allah SWT menolak dan mengangkat bala atau musibah tersebut daripada kita.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عِلْمٍ لاَ يَنْفَعُ ، وَمِنْ قَلْبٍ لاَ يَخْشَعُ، وَمِنْ نَفْسٍ لاَ تَشْبَعُ ، وَمِنْ دَعْوَةٍ لَا يُسْتَجَابُ لَهَا

Maksudnya: “Ya Allah! Kami berlindung dengan-Mu daripada ilmu yang tidak bermanfaat, daripada hati yang tidak khusyuk, daripada nafsu yang tidak puas, dan daripada doa yang tidak diterima.”

[1] Rasulullah SAW bersabda:

خَرَجَ سُلَيْمَانُ عَلَيْهِ السَّلَامُ يَسْتَسْقِي، فَرَأَى نَمْلَةً مُسْتَلْقِيَةً عَلَى ظَهْرِهَا رَافِعَةً قَوَائِمَهَا إِلَى السَّمَاءِ تَقُولُ: اللَّهُمَّ إِنَّا خَلْقٌ مِنْ خَلْقِكَ، لَيْسَ بِنَا غِنًى عَنْ سُقْيَاكَ، فَقَالَ: ارْجِعُوا لَقَدْ سُقِيتُمْ بِدَعْوَةِ غَيْرِكُمْ

Maksudnya: “Nabi Sulaiman A.S keluar untuk meminta hujan. Lalu Baginda melihat seekor semut yang terlentang di atas belakangnya, ia mengangkat kaki-kakinya (yang banyak untuk berdoa) ke arah langit, kemudian berkata: ‘Ya Allah, kami adalah makhluk ciptaan-Mu dan kami sangat memerlukan kepada hujan-Mu.’ Maka Nabi Sulaiman berkata: ‘Kembalilah kerana sesungguhnya kamu telah diturunkan hujan disebabkan oleh doa selain kamu.’

Riwayat al-Hakim (4731)

Bertarikh: 19 Oktober 2023 bersamaan 4 Rabiulakhir 1445