#3657: ‘Illah dan Sebab Ditegah Memakai Sutera Tiruan Bagi Lelaki

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan mengenai isu pakaian sutera tiruan. Mohon penjelasan pakaian sutera tiruan dari segi ‘illahnya (sebab) halal atau haram? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, terlebih dahulu di sana terdapat riwayat daripada Abu ‘Amir al-Asy‘ari, katanya: Rasulullah SAW bersabda:

لَيَكُونَنَّ مِنْ أُمَّتِي أَقْوَامٌ، يَسْتَحِلُّونَ الحِرَ وَالحَرِيرَ

Maksudnya: “Sesungguhnya akan ada dalam kalangan umatku orang yang akan menghalalkan zina dan sutera.

Riwayat al-Bukhari (5590) dan Abu Daud (4039)

Syeikh Abdullah bin ‘Abd al-Rahman al-Bassam ketika mensyarahkan hadith di atas menyebutkan, di dalamnya mengandungi penjelasan mengenai mukjizat Nabi SAW. Ini adalah ketika mana Baginda SAW mengucapkan, “سَيَكُونَ مِنْ أُمَّتِي” (iaitu akan ada dalam kalangan umatku), maka ia tidak akan muncul melainkan pada zaman-zaman akhir, apabila nilai-nilai masyarakat Barat mendominasi nilai-nilai masyarakat Islam. Hal itu dapat dilihat wujud pada negara-negara yang pemimpinnya mendakwa ia adalah sebagai negara Islam.

Seterusnya berkenaan hukum memakai pakaian pula, ia terbahagi kepada empat:

Pertama, pengharaman yang bersifat umum. Misalnya, pakaian yang dirampas atau dicuri dan hukum ini terpakai kepada golongan lelaki dan perempuan.

Kedua, pengharaman yang bersifat khusus. Misalnya, pakaian sutera diharamkan untuk dipakai oleh golongan lelaki.

Ketiga, pengharaman yang bersifat sementara. Misalnya, pakaian berjahit diharamkan untuk dipakai oleh lelaki yang dalam ihram.

Keempat, harus dan ini merupakan hukum asal bagi pakaian dan selainnya yang termasuk dalam perkara-perkara adat. Contoh dalam kategori ini adalah banyak. Oleh itu, jadilah pakaian yang diharamkan itu dapat dibilang (yakni sedikit) sedangkan pakaian yang diharuskan untuk dipakai itu adalah tidak terbilang banyaknya.

Kemudian, berbalik kepada soalan yang diajukan, Syeikh Abdullah al-Bassam juga ada menyebutkan, pada zaman kita ini, terdapatnya sutera tiruan yang menyerupai sutera asli dari segenap sudut. Namun, sutera tiruan itu tidak termasuk dalam pengharaman (pakaian yang diharamkan untuk dipakai oleh golongan lelaki) kerana pengharaman ke atas sesuatu itu penetapannya kembali kepada Allah dan Rasul-Nya. Jadi, jika tidak terdapat sebarang nas (al-Quran dan al-Sunnah) yang menunjukkan ia adalah haram, maka ia tidak boleh dihukumkan sebagai haram dan hukumnya kekal sebagai hukum asal iaitu diharuskan.

Sekalipun begitu, sebaik-baiknya ia dielakkan untuk dipakai disebabkan oleh pertimbangan-pertimbangan lain. Di antaranya:

  1. Ia menyerupai sutera asli. Maka, orang yang tidak mengetahuinya akan menyangka ia adalah sutera yang sebenar, lalu perbuatan itu diikuti dan membuka pintu kepada keburukan dan perbuatan maksiat (melakukan perkara yang diharamkan).
  2. Sesungguhnya penggembala yang membawa haiwan gembalaannya di sekitar atau sempadan padang larangan, pasti akan terjerumus ke dalamnya. Inilah juga keadaannya apabila seseorang itu pada awalnya memakai sutera tiruan, tetapi sedikit demi sedikit pemakaian itu akan membawanya kepada pemakaian sutera yang sebenar.
  3. Pemakaian seperti itu boleh menyebabkan sifat lembut dan feminin terbentuk dalam diri seorang lelaki, sedangkan seorang itu sepatutnya bersifat dengan sifat keras dan kelakian (kejantanan).
  4. Pemakaian seperti itu juga boleh menyebabkan seseorang itu dikecam dan dihina oleh mereka yang menganggapnya sebagai sutera asli (sebenar). Oleh itu, adalah lebih baik untuk seseorang lelaki itu menjauhi daripada memakainya bagi mengelakkan timbulnya keburukan-keburukan yang tidak diingini pada masa akan datang. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/110-111).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Bertarikh: 19 Oktober 2023 bersamaan 4 Rabiulakhir 1445