#3659: Hukum Bercakap Ketika Solat Dalam Keadaan Terlupa, Jahil atau Dipaksa

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum bercakap ketika solat dalam keadaan terlupa, jahil atau dipaksa atau seumpamanya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Solat adalah perbuatan yang diperintahkan oleh Allah SWT kepada hamba-hambanya. Solat ini meliputi perkara rukun, perkara sunat dan perkara yang membatalkan solat tersebut.

Secara asasnya kita mengetahui bahawa bercakap selain daripada bacaan-bacaan di dalam solat akan membawa kepada batalnya solat. Syeikh Salim al-Hadrami menyenaraikan 14 perkara yang membatalkan solat, salah satunya ialah menuturkan perkataan meskipun perkataan itu hanya terdiri daripada dua huruf. (Lihat al-Mujtaba fi Syarh Safinah al-Naja, 151).

Asal bagi larangan mengeluarkan perkataan selain daripada bacaan solat adalah berdasarkan firman Allah SWT:

‏‏حَافِظُوا عَلَى الصَّلَوَاتِ وَالصَّلاَةِ الْوُسْطَى وَقُومُوا لِلَّهِ قَانِتِينَ‏

Maksudnya: Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardhu, khasnya sembahyang Wusta (sembahyang Asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk. 

(Surah al-Baqarah: 238)

Ibn Kathir berkata: Ayat ini merupakan arahan untuk meninggalkan bercakap semasa solat kerana ia bertentangan dengan tuntutan berdiam diri dalam solat. Ketika seseorang diperintahkan untuk khusyu’ dalam solat, maksudnya adalah arahan untuk berdiam diri, dan bercakap akan bertentangan dengan tuntutan khusyu’ ini. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 1/496)

Diriwayatkan daripada Zaid bin Arqam, katanya:

إِنْ كُنَّا لَنَتَكَلَّمُ فِي الصَّلاَةِ عَلَى عَهْدِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، يُكَلِّمُ أَحَدُنَا صَاحِبَهُ بِحَاجَتِهِ، حَتَّى نَزَلَتْ: {حَافِظُوا عَلَى الصَّلَوَاتِ، وَالصَّلاَةِ الوُسْطَى، وَقُومُوا لِلَّهِ قَانِتِينَ}، فَأُمِرْنَا بِالسُّكُوتِ.

Maksudnya: “Sungguh kami pernah berbicara ketika sedang solat pada zaman Nabi SAW, hingga ada antara kami yang berbicara kepada sahabatnya tentang keperluannya, sehingga kemudian turunlah ayat: “حَافِظُوا عَلَى الصَّلَوَاتِ، وَالصَّلاَةِ الوُسْطَى، وَقُومُوا لِلَّهِ قَانِتِينَ” (Bermaksud: “Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala solat fardhu, khasnya solat Wusta (solat Asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam solat kamu) dengan taat dan khusyuk.” (Surah al-Baqarah: 238) Setelah itu, kami diperintahkan untuk diam (ketika solat).

Riwayat al-Bukhari (1200) dan Muslim (539)

Berdasarkan nas di atas, para fuqaha’ bersepakat menyatakan bahawa bercakap selain bacaan di dalam solat adalah membatalkan solat. Begitu juga para fuqaha’ daripada mazhab al-Syafi’i, mazhab Hanafi dan mazhab Hanbali menyatakan bahawa perkataan yang terdiri daripada dua huruf membatalkan solat. Namun begitu, mazhab al-Syafi’i menyatakan bahawa perkataan yang dituturkan ketika solat kerana terlupa dan orang yang tidak tahu dengan pengharaman ini terutama yang baru memeluk Islam, atau tinggal berjauhan daripada para ulama’, atau terlepas cakap yang mana perkataan itu secara uruf adalah ringan, maka dimaafkan. (Lihat Mausua’h al-Fiqhiyah, 27/117-118).

Disebut dalam Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram (2/40-41), Para ulama bersepakat bahawa orang yang bercakap secara sengaja, tanpa maslahat dalam solat, adalah terbatal solatnya, sekiranya dia mengetahui pengharamannya. Namun, mereka berbeza pendapat dalam hal orang yang lalai, yang tidak tahu (jahil), yang terpaksa, yang tertidur, yang memperingatkan bagi orang buta dan orang yang bercakap demi kemasalahatan:

  • Mazhab Hanafi dan Hanbali berpendapat bahawa solat menjadi batal dalam semua situasi yang disebutkan di atas, berdasarkan hadith larangan bercakap ketika solat dan juga hadith riwayat daripada Abdullah bin Mas’ud, katanya:

كُنَّا نُسَلِّمُ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ فِي الصَّلاَةِ، فَيَرُدُّ عَلَيْنَا، فَلَمَّا رَجَعْنَا مِنْ عِنْدِ النَّجَاشِيِّ سَلَّمْنَا عَلَيْهِ، فَلَمْ يَرُدَّ عَلَيْنَا، وَقَالَ: «إِنَّ فِي الصَّلاَةِ شُغْلًا»

Maksudnya:  Kami pernah memberi salam kepada Nabi SAW ketika Baginda sedang solat dan Baginda menjawab  salam kami. Ketika kami kembali dari (negeri) al-Najasyi, kami memberi salam kepada Baginda, tetapi Baginda tidak menjawab salam kami (setelah selesai solat). Kemudian Baginda bersabda: “Sesungguhnya di dalam solat itu ada kesibukan (yang besar dalam bermunajat dengan Allah).”

Riwayat al-Bukhari (1199) dan Muslim (538)

  • Imam Malik dan Imam al-Syafi’i berpendapat bahawa sah solat orang yang bercakap, tidak tahu (jahil), atau lupa bahawa dia dalam solat, atau dia menyangka yang solatnya telah selesai dengan memberi salam dan bercakap, sama ada percakapan itu yang diucapkan berkaitan dengan solat atau tidak, sama ada seseorang itu imam atau makmum, sesungguhnya solat mereka tetap sah dan boleh diteruskan, dan solat kedua boleh dibina dan diteruskan di atas solat yang pertama. Pendapat kedua ini merupakan satu pendapat daripada Imam Ahmad, dan dipilih oleh Syeikh al-Islam, dan kebanyakan daripada kalangan ulama’ muhaqqiq. Hal ini sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

 إِنَّ اللَّهَ قَدْ تَجَاوَزَ عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأَ، وَالنِّسْيَانَ، وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengampunkan bagi umatku akan kesilapan, lupa dan apa yang dipaksakan ke atasnya.”

Riwayat Ibn Majah (2043)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa solat orang yang bercakap dengan sengaja ketika solat adalah terbatal, manakala bagi orang bercakap ketika solat dalam keadaan terlupa, jahil atau dipaksa atau seumpamanya, maka ia dimaafkan kerana kesilapan dan kejahilannya dan solat tersebut adalah sah.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisi-Mu, dan berilah kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami.”

Surah al-Kahfi (10)

Bertarikh: 19 Oktober 2023 bersamaan 4 Rabiulakhir 1445