#3660: Nafkah Kepada Kaum Kerabat

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum memberikan nafkah kepada kaum kerabat? Jika wajib, siapakah kaum kerabat yang wajib diberikan nafkah itu?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SW:

لِيُنفِقْ ذُو سَعَةٍ مِّن سَعَتِهِ ۖ وَمَن قُدِرَ عَلَيْهِ رِزْقُهُ فَلْيُنفِقْ مِمَّا آتَاهُ اللَّهُ ۚ لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا مَا آتَاهَا ۚ سَيَجْعَلُ اللَّهُ بَعْدَ عُسْرٍ يُسْرًا

Maksudnya: “Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.”

(Surah al-Talaq: 7)

Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat, nafkah adalah sara hidup, dari segi kewangan, makanan, dan lain-lain yang diperlukan untuk hidup. Menurut istilah syara‘ pula, nafkah merujuk kepada makanan, pakaian, tempat tinggal dan selainnya. Ia dinamakan demikian kerana dikeluarkan atau digunakan untuk keperluan itu. (Lihat Hasyiyah al-Bajuri ‘ala Ibn Qasim, 2/185)

Kerabat Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat pula merujuk kepada mereka dekat (rapat) dalam perhubungan kekeluargaan.

Kewajiban Nafkah Kepada Kaum Kerabat

Berbalik kepada persoalan yang diajukan, memberikan nafkah kepada kaum kerabat merupakan kewajiban bagi mereka yang berkemampuan menurut Mazhab Syafi‘i. Al-Khatib al-Syirbini menyebutkan, diwajibkan ke atas lelaki atau perempuan memberikan nafkah kepada kedua ibu bapa atau atuk neneknya yang merdeka, dan juga anak-anak atau cucu-cucunya yang merdeka.

Kewajiban berbuat yang demikian kepada kedua ibu bapa adalah berdasarkan firman Allah SWT:

وَصَاحِبْهُمَا فِي الدُّنْيَا مَعْرُوفًا ۖ

Maksudnya: “Dan bergaulah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik.”

(Surah Luqman: 15)

Dan antara contoh perkara yang baik adalah memberikan mereka kecukupan mengikut hajat keperluan mereka. Dalam masalah ini juga, Imam Ibn al-Munzir telah menukilkan ijma‘ ulama’, bahawa nafkah kedua ibu bapa yang tidak berkerja adalah wajib pada  harta si anak, begitu juga atuk neneknya termasuk  dalam umum kewajiban ini.

Dan kewajiban berbuat yang demikian kepada anak-anak juga jelas berdasarkan firman Allah SWT:

فَإِنْ أَرْضَعْنَ لَكُمْ فَآتُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ ۖ

Maksudnya: “Kemudian jika mereka menyusukan anak untuk kamu, maka berikanlah kepada mereka upahnya.”

(Surah al-Talaq: 6)

Kewajiban memberikan upah kepada ibu susuan itu membawa maksud kewajiban memberikan nafkah kepada anak-anak. Ini juga berdasarkan riwayat Ummu al-Mu’minin ‘Aisyah R.Anha bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ مِنْ أَطْيَبِ مَا أَكَلَ الرَّجُلُ مِنْ كَسْبِهِ وَوَلَدُهُ مِنْ كَسْبِهِ ‏

Maksudnya: “Sesungguhnya sebaik-baik apa yang dimakan oleh seseorang  adalah dari hasil usahanya dan anaknya adalah dari usahanya.”

Riwayat Abu Dawud (3528), al-Tirmizi (1358) dan al-Nasa’ie (4451)

Fuqaha’ al-Syafi‘iyyah juga berhujjah dengan riwayat Ummu al-Mu’minin ‘Aisyah R.Anha, katanya:

قَالَتْ هِنْدٌ أُمُّ مُعَاوِيَةَ لِرَسُولِ اللَّهِ ﷺ: إِنَّ أَبَا سُفْيَانَ رَجُلٌ شَحِيحٌ، فَهَلْ عَلَيَّ جُنَاحٌ أَنْ آخُذَ مِنْ مَالِهِ سِرًّا؟ قَالَ: خُذِي أَنْتِ وَبَنُوكِ مَا يَكْفِيكِ بِالْمَعْرُوفِ

Maksudnya: “Hindun Ummu Mu‘awiyah mengadu kepada Rasulullah SAW: ‘Sesungguhnya Abu Sufyan merupakan seorang lelaki yang sangat kedekut, maka adakah aku berdosa jika aku mengambil hartanya secara senyap-senyap?’ Rasulullah SAW bersabda: ‘Ambillah untuk kamu dan anakmu secukupnya dengan cara yang sewajarnya’.”

Riwayat al-Bukhari (2211) dan Muslim (1714)

Al-Khatib al-Syirbini menyebutkan, cucu-cucu juga termasuk dalam kalangan anak-anak juga sepertimana atuk nenek termasuk seperti kedua ibu bapa. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 5/183)

Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari menyebutkan, kewajiban memberi nafkah kepada kaum kerabat, mereka adalah anak-anak dan ke bawah serta ibu bapa dan ke atas sahaja. Kewajiban ini tidak termasuk untuk abang, kayak, pakcik, makcik, ahli-ahli waris yang lelaki dan wanita. (Lihat Asna al-Matalib, 3/442)

Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji juga telah menyebutkan, bahawa kaum kerabat yang layak mendapat nafkah wajib ini terbahagi kepada 2:

  • Ibu bapa dan mereka yang ke atas (atuk nenek).
  • Anak-anak dan mereka yang ke bawah (cucu-cucu). (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/173)

Jelas berdasarkan kalam fuqaha’ yang kami bawakan di atas, bahawa  kaum kerabat yang wajib diberikan nafkah menurut Mazhab Syafi‘i ada 4 golongan:

  • Ibu dan Bapa.
  • Atuk dan Nenek, serta yang ke atas.
  • Anak-anak.
  • Cucu, serta yang ke bawah.

Kewajiban memberikan nafkah ini juga diikat dengan 2 syarat, iaitu kemampuan pemberi nafkah dan kaum kerabat tersebut tidak mampu dan berhajat kepada nafkah. Dan kewajiban itu akan gugur sekiranya kaum kerabat ini mereka yang mampu untuk mendapatkan kecukupan mengikut hajat keperluan mereka. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 5/184-185)

Semoga kita memperoleh kecukupan dari segi harta agar segala kewajiban dapat ditunaikan sesuai dengan ketetapan syara‘. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 19 Oktober 2023 bersamaan 4 Rabiulakhir 1445