#3663: Terpaksa Guna Sutera Kerana Sakit

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bolehkah seseorang yang sakit terutamanya kulit yang sensitif atau alergik untuk menggunakan pakaian sutera? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, pertamanya, sutera diharamkan untuk dipakai ke atas golongan lelaki dan diharuskan pemakaiannya ke atas golongan perempuan. Hal ini berdasarkan sabda Nabi SAW:

أحلَّ الذهبُ والحريرُ لإناثِ أُمتي، وحُرِّم على ذكورِها

Maksudnya: “Dihalalkan emas dan sutera bagi wanita dalam kalangan umatku, dan diharamkan bagi kaum lelakinya.

Riwayat al-Nasa’i (5163)

Al-Syaukani menyatakan, hadith ini merupakan dalil yang digunakan oleh jumhur ulama yang berpendapat bahawa sutera dan emas adalah haram bagi lelaki dan harus bagi wanita. (Lihat Nail al-Autar, 2/98).

Dalam riwayat lain, Nabi SAW bersabda:

أَنَّهُ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَخَذَ فِي يَمِينِهِ قِطْعَةَ حَرِيرٍ وَفِي شِمَالِهِ قِطْعَةَ ذَهَبٍ وَقَالَ: هَذَانِ حَرَامٌ عَلَى ذُكُورِ أُمَّتِي حِلٌّ لِإِنَاثِهِمْ

Maksudnya: “Nabi Muhammad SAW mengambil sutera dan dipegangnya dengan tangan kanan. Lalu Baginda mengambil emas dan dipegangnya dengan tangan kiri. Kemudian Baginda bersabda: ‘Kedua-duanya ini (sutera dan emas) haram untuk kaum lelaki dalam kalangan umatku, dan halal untuk kaum wanitanya.’

Riwayat al-Bukhari (2921) dan Muslim (2076)

Al-Ramli menyebutkan, diharamkan ke atas lelaki memakai sutera tulen atau sutera  bercampur  yang kadar suteranya  lebih  banyak melainkan ke atas kanak-kanak. Beliau menyebutkan lagi, diharamkan  lelaki dan khunsa memakai sutera tulen atau sutera. Sekiranya sutera tulen  atau kadar suteranya lebih banyak (dominan) daripada campuran kain lain, mereka (lelaki dan khunsa) tidak boleh memakai sutera dan dibaj (sejenis sutera). Berbeza pula material kain yang selainnya lebih banyak atau  kadar kainnya sama  rata  dengan sutera, maka  tidak haram  kerana tidak dinamakan baju sutera.

Seterusnya memakai sutera dibenarkan hanya pada situasi darurat seperti tiada baju melainkan sutera dan pada situasi keperluan seperti mengalami penyakit kulit. Kanak-kanak lelaki boleh memakai sutera  dan  penjaganya boleh menggayakan anak lelakinya walaupun sudah mencapai had umur mumayyiz. (Lihat Ghayah al-Bayan fi Syarh Zubad Ibn Ruslan, hlm. 183).

Selain daripada itu, sebahagian ulama ada menyebutkan hikmah pengharaman sutera bagi kaum lelaki. Di antara yang disebutkan, kerana Islam adalah agama jihad dan kekuatan. Maka Islam juga menjaga sifat kelelakian kaum lelaki daripada segala perkara yang menunjukkan kelemahan dan kelembutan. Sedangkan sutera itu sifatnya lembut dan melambangkan kewanitaan. Hal ini  berbeza dengan wanita yang dihalalkan memakai sutera kerana Allah menciptakannya dengan sifat kelembutan yang sukakan kecantikan dan kewajipannya untuk berhias demi kesenangan suaminya. (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 373-374).

Keduanya, pengharaman sutera itu pula tidak hanya terhad kepada pemakaiannya sahaja. Akan tetapi turut terpakai kepada penggunaannya selain sebagai pakaian. Ini adalah sebagaimana disebutkan oleh Ibn Hajar al-Haitami bahawa diharamkan bagi lelaki untuk menjadikan sutera sebagai pakaian, alas untuk duduk atau bersandar, alas untuk tidur dan segala jenis penggunaan. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 3/20; al-Iqna‘, 1/198).

Begitu juga sebahagian ulama yang lain turut menyebutkan bahawa hukum menggunakan sutera sebagai selimut, cadar atau alas untuk solat adalah seperti hukum memakai sutera iaitu diharamkan bagi lelaki dan diharuskan bagi wanita. Ini adalah pandangan jumhur ulama daripada mazhab Syafi‘i, Maliki dan Hanbali. (Lihat ‘Umdah al-Qari, 22/13-14; al-Iqna‘, 1/198, Kassyaf al-Qina‘, 1/273).

Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Huzaifah R.A, katanya:

نَهَانَا النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ نَشْرَبَ فِي آنِيَةِ الذَّهَبِ وَالفِضَّةِ، أَوْ أَنْ نَأْكُلَ فِيهَا، وَعَنْ لُبْسِ الحَرِيرِ وَالدِّيبَاجِ، وَأَنْ نَجْلِسَ عَلَيْهِ

Maksudnya: “Nabi SAW melarang kami meminum air dan makan dalam bekas emas dan perak, juga (melarang) daripada memakai sutera atau sutera halus serta duduk di atasnya (beralaskan dengannya).

Riwayat al-Bukhari (5837)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebutkan dalam bab ‘mengambil sutera sebagai alas’: “Hukumnya (menjadikan sutera sebagai alas) adalah sama seperti hukum (memakai sutera) dari sudut pengharaman dan keharusan — yakni diharamkan bagi kaum lelaki dan diharuskan bagi kaum perempuan.” (Lihat Fath al-Bari, 10/291; Irsyad al-Sari, 8/440).

Syeikh Abdullah al-Bassam ketika mensyarahkan hadith di atas menyebutkan, di antara faedah yang dapat diambil daripadanya adalah dilarang untuk duduk di atas sutera (bagi lelaki) dan suatu larangan itu menunjukkan hukumnya adalah haram. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/112).

Ketiganya, meskipun pemakaian sutera adalah diharamkan ke atas golongan lelaki, tetapi di sana terdapat pengecualian diberikan kepada mereka (golongan lelaki) untuk memakainya dalam keadaan atau situasi tertentu. Ini adalah sebagaimana yang disebutkan oleh al-Ramli bahawa memakai sutera dibenarkan (bagi golongan lelaki) hanya pada situasi darurat seperti tiada baju melainkan sutera dan pada situasi keperluan seperti mengalami penyakit kulit. (Lihat Ghayah al-Bayan fi Syarh Zubad Ibn Ruslan, hlm. 183).

Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Anas R.A bahawa:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَخَّصَ لِعَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ عَوْفٍ، وَالزُّبَيْرِ فِي قَمِيصٍ مِنْ حَرِيرٍ، مِنْ حِكَّةٍ كَانَتْ بِهِمَا.

Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW memberi keringanan kepada ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf dan al-Zubair untuk memakai baju yang diperbuat daripada sutera kerana penyakit gatal kulit (yang ada pada mereka).

Riwayat al-Bukhari (2919) dan Muslim (2076)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebutkan dengan menukilkan pandangan al-Tabari, di mana beliau menyatakan dalil hadith yang menunjukkan  larangan bagi kaum lelaki yang menggunakan sutera tidak termasuk orang yang mempunyai penyakit yang boleh berkurangan dengan hanya memakai pakaian sutera. (Lihat Fath al-Bari, 10/295).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa seseorang lelaki yang sakit terutamanya kulit yang sensitif atau alergik untuk menggunakan pakaian sutera jika hal itu dapat mengurangkan kesakitan yang dialaminya. Manakala pemakaiannya ke atas golongan wanita pula adalah tidak menjadi masalah kerana pada asalnya hukumnya adalah diharuskan ke atas mereka. Hal ini adalah sebagaimana pengecualian yang diberikan kepada Abd al-Rahman bin ‘Auf dan al-Zubair seperti mana yang thabit dalam nas yang sahih.

Sekalipun begitu, keharusan tersebut terikat atau terhad selama mana dia masih mengalami masalah kulit atau penyakit tersebut. Sekiranya dia sudah sembuh, maka hukumnya kembali kepada hukum asal, iaitu diharamkan ke atas golongan lelaki untuk memakai atau menggunakan sutera. Ini adalah bertepatan dengan kaedah:

 Hal ini adalah bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyebutkan:

إِذَا زَالَتِ العِلَّةُ زَالَ الحُكْمُ

Maksudnya:Apabila hilang ‘illahnya, maka tiadalah hukum tersebut.”

Begitu juga kaedah fiqh lain menyebutkan:

الحُكْمُ يَدُورُ مَعَ عِلَّتِهِ وُجُودًا وَعَدَمًا

Maksudnya: “Sesuatu hukum berlegar bersama-sama ‘illahnya ketika ia ada dan tiada.”

Menurut Ibn Qayyim al-Jauziyyah, kaedah ini bermaksud: Apabila Allah mengaitkan sesuatu hukum dengan sebab ataupun ‘illah tertentu, maka hukum tersebut akan hilang apabila hilangnya sebab atau ‘illah. (Lihat I‘lam al-Muwaqqi‘in, 4/80).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ زَوَالِ نِعْمَتِكَ، وَتَحَوُّلِ عَافِيَتِكَ، وَفُجَاءَةِ نِقْمَتِكَ، وَجَمِيعِ سَخَطِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada hilangnya kenikmatan yang telah Engkau berikan, daripada berubahnya kesihatan yang telah Engkau anugerahkan, daripada seksa-Mu (bencana) yang datang secara tiba-tiba, dan daripada segala bentuk kemurkaan-Mu.”

Bertarikh: 19 Oktober 2023 bersamaan 4 Rabiulakhir 1445