#3666: Berkahwin Boleh Menundukkan Pandangan dan Menjaga Kemaluan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin mengenai maksud hadith berkahwin boleh menundukkan pandangan dan menjaga kemaluan, bolehkah Dato’ syarahkan hadith tersebut. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Nikah menurut Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud sebuah akad (perjanjian) yang mengandungi lafaz ijab dan kabul yang menghalalkan pasangan lelaki dan perempuan untuk melakukan persetubuhan.

Perkataan nikah berasal dari perkataan Arab (نَكَحَ يَنْكِحُ نَكْحاً ونِكَاحاً) yang bermaksud bernikah dan perkataan (الاخْتِلَاطُ) yang bermaksud bercampur. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i, 2/34)

Dari istilah syarak, nikah ialah suatu akad yang menghalalkan istimta’ (bersetubuh atau berseronok-seronok) di antara suami isteri dengan cara yang dibenarkan oleh syarak. Masyarakat arab menggunakan perkataan nikah dengan makna akad yang juga membawa maksud persetubuhan serta berseronok-seronok. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i, 2/671)

Lafaz nikah ada disebut di dalam firman Allah SWT:

فَانْكِحُوا مَا طَابَ لَكُمْ مِنَ النِّسَاءِ

Maksudnya: “…maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain)…”

(Surah al-Nisa’: 3)

Dalam ayat ini, Allah telah mensyariatkan keharusan pernikahan untuk seluruh umat Islam malah menggalakkannya. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 16/125)

Perkahwinan atau pernikahan adalah sangat dituntut di dalam Islam. Sudah menjadi fitrah manusia untuk saling berkasih sayang ini diperjelaskan di dalam Al-Quran melalui firman Allah SWT:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ

Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang.”

(Surah al-Rum: 21)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menjelaskan bahawa ayat ini merupakan antara ayat-ayat Allah — yakni bukti dan tanda-tanda — yang menunjukkan kepada al-Ba‘th — yakni kebangkitan, — di mana Dia menciptakan untuk kamu pasangan-pasangan daripada jenis manusia juga, agar kamu dapat mewujudkan ketenangan dan kesenangan. Dia juga menumbuhkan rasa cinta dan kasih sayang antara suami isteri. (Lihat al-Tafsir al-Wajiz, hlm. 407)

Pernikahan sememangnya dianjurkan dalam Islam dengan syarat mestilah berlandaskan kepada syariah yang telah ditetapkan. Pernikahan yang sah dan sempurna adalah pernikahan yang memenuhi rukun-rukun dan syarat-syarat yang diletakkan syara’. Terdapat juga beberapa jenis pernikahan yang dilarang dalam Islam seperti nikah mut’ah (yang diamalkan pengikut ajaran Syiah), nikah muaqqat (nikah kontrak) dan lain-lain. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiah, 41/325)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami ingin menyatakan bahawa dalam Islam, perkahwinan sangat dianjurkan kerana ia merupakan fitrah yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Bagi sesiapa yang mampu untuk membina sebuah keluarga, adalah suatu tindakan yang baik baginya untuk berkahwin. Ini kerana perkahwinan membantu menjaga kehormatan diri, memelihara akhlak yang mulia, serta membantu seseorang untuk menahan pandangan dari perkara-perkara yang diharamkan. Selain itu, perkahwinan juga merupakan salah satu cara untuk melengkapkan separuh agama dan menunaikan tanggungjawab sosial dalam masyarakat. Oleh itu, memasuki alam perkahwinan adalah tindakan yang patut dan  digalakkan dalam Islam.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud R.A, Nabi SAW bersabda:

يَا مَعْشَرَ الشَّبَابِ مَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكُمُ الْبَاءَةَ فَلْيَتَزَوَّجْ فَإِنَّهُ أَغَضُّ لِلْبَصَرِ وَأَحْصَنُ لِلْفَرْجِ وَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَعَلَيْهِ بِالصَّوْمِ فَإِنَّهُ لَهُ وِجَاءٌ

Maksudnya: “Wahai para pemuda! Sesiapa di antara kamu telah mampu (pembiayaan) berkahwin, maka bernikahlah. Kerana nikah itu dapat menundukkan mata dan memelihara faraj (kelamin). Dan sesiapa yang belum mampu, maka hendaklah berpuasa kerana puasa itu dapat menjadi perisai baginya (dalam membendung syahwat)”

Riwayat al-Bukhari (5065) dan Muslim (3466)

Apa yang dapat difahami melalui hadith ini adalah seperti berikut:

  • Menjaga Kesucian (al-‘iffah) adalah suatu kewajipan, dan sebaliknya, perbuatan yang tidak senonoh adalah diharamkan. Kesucian berkait rapat dengan kuatnya nafsu syahwat bersama dengan kelemahan iman. Pemuda lebih kuat syahwatnya daripada orang yang lebih tua. Oleh itu, Nabi Muhammad SAW memberikan nasihat untuk menjaga kesucian. Bagi sesiapa yang mampu untuk menikah, termasuk mampu dalam mas kahwin dan tanggungan hidup, hendaklah dia berkahwin. Bagi mereka yang tidak mampu, hendaklah mereka berpuasa, kerana puasa memberi ganjaran serta dapat mencegah  daripada perbuatan dosa, dimana ia  dapat menahan syahwat jima’ dan melemahkannya, . Yang demikian dapat dihalang dengan meninggalkan  makanan dan minuman. Oleh itu, puasa adalah satu jalan untuk mengawal syahwat yang kuat.
  • Syeikh Islam Ibn Taimiyyah menyatakan bahawa: Kemampuan untuk berkahwin adalah kemampuan untuk memberikan nafkah, bukanlah kemampuan untuk melakukan hubungan seks semata-mata. Oleh itu, khitab ini hanya ditujukan kepada mereka yang mampu untuk melakukan  hubungan seks.
  • “أَغَضُّ لِلْبَصَرِ وَأَحْصَنُ لِلْفَرْج” Iaitu menjaga pandangan mata dan memelihara kehormatan diri, merupakan dalil bagi wajibnya menjaga pandangan mata dan menjaga kehormatan diri. Ia juga menunjukkan bahawa haramnya memandang perkara yang haram, dan tidak menjaga kehormatan diri. Yang demikian merupakan perkara yang disepakati dalam kalangan ulama. (Lihat Taudih al-Ahkam min Bulugh al-Maram,5/215-216)

Firman Allah SWT:

قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka.

(Surah al-Nur: 30)

Begitu juga firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ

Maksudnya: “(Dan golongan yang beriman itu) adalah mereka yang memelihara kemaluan mereka.

(Surah al-Mukminun: 5)

Syeikh Fauzan dalam kitabnya Minhah al-’Allam menyatakan bahawa: Antara hikmah besar dalam perkahwinan, iaitu menjaga kedua-dua pasangan dan melindungi mereka daripada perbuatan yang diharamkan, ini hanya dapat dicapai melalui perkahwinan, dan ini adalah sebahagian daripada manfaat besar perkahwinan. (Lihat Minhah al-’Allam, 7/174)

Justeru jelaslah kepada kita bahawa  perkahwinan merupakan benteng dan ia dapat mencegah seseorang itu dari terjerumus dalam perbuatan keji dan munkar yang diharamkan oleh syara’ seperti melihat kepada perkara-perkara  yang diharamkan dan sebagainya. Dengan perkahwinan, ia juga  dapat  menjaga kehormatan dan maruah  diri seseorang.

Diriwayatkan daripada Anas Bin Malik bahawa Raulullah SAW  bersabda:

إِذَا تَزَوَّجَ الْعَبْدُ فَقَدِ اسْتَكْمَلَ نِصْفَ دِينِهِ؛ فَلْيَتَّقِ اللهَ فِي النِّصْفِ الْبَاقِي

Maksudnya: Apabila seorang hamba itu berkahwin, maka sesungguhnya dia telah berusaha menyempurnakan sebahagian agamanya, oleh itu hendaklah dia bertaqwa kepada Allah pada sebahagian lagi yang berbaki.

Riwayat al-Baihaqi (5486), al-Tabarani dalam Mu’jam al-Awsat (7647)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Wallahu a’lam.

 

Bertarikh: 19 Oktober 2023 bersamaan 4 Rabiulakhir 1445