Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum ketawa dalam solat?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Solat adalah perbuatan yang diperintahkan oleh Allah SWT kepada hamba-hambanya. Solat ini meliputi perkara rukun, perkara sunat dan perkara yang membatalkan solat tersebut.
Secara asasnya kita mengetahui bahawa bercakap selain daripada bacaan-bacaan di dalam solat akan membawa kepada batalnya solat. Asal bagi larangan mengeluarkan perkataan selain daripada bacaan solat adalah berdasarkan firman Allah SWT:
حَافِظُوا عَلَى الصَّلَوَاتِ وَالصَّلاَةِ الْوُسْطَى وَقُومُوا لِلَّهِ قَانِتِينَ
Maksudnya: Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardhu, khasnya sembahyang Wusta (sembahyang Asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk.
(Surah al-Baqarah: 238)
Diriwayatkan daripada Jabir R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
القَهْقَهَةُ تَنْقُضُ الصَّلاةَ ولا تَنْقُضُ الوُضُوءَ
Maksudnya: “Ketawa itu membatalkan solat dan tidak membatalkan wudhu’”
Riwayat al-Daraqutni, (1/173), al-Baihaqi dalam al-Khilafiyat (677) dan al-Dailami dalam al-Firdaus (3894). Al-Buhuti dalam Kassyaf al-Qina’ (1/401) menyatakan sanad hadith ini dhaif.
Menjawab persoalan di atas, Syeikh Abdullah al-Bassam menukilkan daripada Syeikh al-Islam, katanya: “Yang paling zahir bahawa solat terbatal dengan ketawa kerana tindakan ketawa itu seperti merendahkan martabat solat dan bermain-main dengannya dan perbuatan itu menafikan maksud Ibadah.” Manakala Ibn al-Munzir berkata bahawa ulama’ bersepakat bahawa ketawa membatalkan solat. (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 2/42)
Ibnu Rif’ah berkata:“Sesungguhnya ketawa yang disengajakan membatalkan solat kerana ia menafikan bagi solat dengan lebih dahsyat berbanding dengan berkata-kata, maka batalnya solat disebabkan ketawa adalah lebih utama. Dan ini barang yang telah dinaskan al-Buwaiti ketika dia mengatakan: Sesiapa yang ketawa dalam solatnya hendaklah mengulanginya. القهقهة ialah ketawa yang mengeluarkan suara.” (Lihat Kifayah al-Nabih fi Syarh al-Tanbih, 3/408)
Dalam hal senyum dalam solat pula, Ibn al-Munzir berkata: Para ulama’ selain Ibn Sirin telah bersepakat bahawa senyum ketika solat tidak membatalkan solat. (Lihat al-Ausat fi al-Sunan wa al-Ijma’ wa al-Ikhtilaf, 3/253)
Ibn Qudamah pula berkata: Kebanyakan ulama’ menyatakan bahawa tersenyum ketika solat tidak membatalkan solat. (Lihat al-Mughni, 2/451)
Imam al-Nawawi berkata: Jumhur ulama’ menyatakan tidak mengapa tersenyum ketika dalam solat.” (Lihat al-Majmu’, 4/489)
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa ketawa sehingga mengeluarkan suara ketika dalam solat adalah membatalkan solat sebagaimana yang disebut oleh majoriti para ulama’, manakala dalam hal tersenyum ketika solat adalah tidak membatalkan solat.
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahua`lam.
Kami akhiri dengan doa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”
Surah Ibrahim (40)
Bertarikh: 19 Oktober 2023 bersamaan 4 Rabiulakhir 1445