#3668: Menzahirkan Nikmat Allah Yang Dikurniakan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bolehkah kita menzahirkan nikmat yang Allah kurniakan kepada kita? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, sebenarnya menzahirkan nikmat Allah SWT yang dikurniakan-Nya kepada para hamba-Nya termasuk dalam perkara yang disukai oleh Allah SWT. Hal ini kerana ia termasuk dalam salah satu bentuk syukur seorang hamba kepada Allah SWT. Ini adalah sebagaimana firman-Nya:

وَأَمَّا بِنِعْمَةِ رَبِّكَ فَحَدِّثْ

Maksudnya: “Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepada-Nya.

(Surah al-Dhuha: 11)

Al-Qurtubi ketika mentafsirkan ayat ini menyebutkan, sebarkanlah apa yang Allah SWT kurniakan kepada kamu dengan perasaan syukur dan pujian kepada Allah. Menyebut-nyebut pelbagai nikmat Allah dan mengiktiraf nikmat tersebut adalah satu bentuk kesyukuran. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 20/102).

Selain itu, di sana juga terdapat riwayat daripada ‘Imran bin Husain R.A bahawa Nabi SAW bersabda:

إنَّ اللهَ يُحِبُّ إِذَا أنْعَمَ عَلَى عَبْدِهِ نِعْمَةً، أنْ يَرَى أثَرَ نِعْمَتِهِ عَلَيْهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT menyukai apabila Dia memberi nikmat (atau kurniaan) ke atas hamba-Nya, agar terlihat kesan nikmat yang diberikan-Nya itu padanya.”

Riwayat al-Baihaqi (3/271)

Syeikh Abdullah al-Bassam dalam kitabnya menilai hadith ini sebagai hasan dengan syawahidnya. Di antara hadith yang menjadi syawahidnya ialah:

  • Hadith Abdullah bin ‘Amr, diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi (2819) dan beliau menilainya sebagai hasan. Begitu juga ia turut diriwayatkan oleh al-Hakim (4/15).
  • Hadith Abu Hurairah, diriwayatkan oleh Imam Ahmad (8045) dan juga al-Baihaqi dalam al-Syu‘ab (5/163).
  • Hadith Abu al-Ahwas daripada bapanya, diriwayatkan oleh Imam Abu Daud (4063) dan al-Nasa’i (5224). Justeru, kesemua hadith-hadith ini saling menguatkan atau menyokong antara satu sama lain, menjadikan ia sebagai hasan. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/118).

Kemudian, Syeikh Abdullah al-Bassam menyatakan, di antara faedah yang boleh diambil daripada hadith ini adalah digalakkan (sunat) untuk menzahirkan atau menunjukkan nikmat yang dikurniakan oleh Allah kepada hamba-Nya, apabila Dia memberikan nikmat tersebut dan meluaskannya ke atas hamba itu. Nikmat itu boleh dizahirkan melalui cara seseorang berpakaian, makanan yang dimakan, minuman yang diminum, tempat tinggal, dan setiap aspek lain yang diharuskan dalam kehidupan.

Selain itu, maksud dibolehkan seseorang itu menzahirkan nikmat Allah yang dikurniakan kepada-Nya adalah tanpa dengan niat untuk sombong, berbangga diri atau merendah-rendahkan hati orang miskin. Inilah sebenarnya yang dimaksudkan dan makna yang dikehendaki dalam hadith di atas dan hal itu diikat dengan nas-nas lain yang membawa makna ini.

Adapun bagi mereka yang tidak memiliki kemampuan dari sudut harta, tidak semestinya mesti menzahirkan nikmat atau menunjukkan diri dengan tindakan palsu atau kepura-puraan. Sebaliknya, dia sepatutnya berpakaian dan memberi makan mengikut kemampuan dirinya atau sejauh yang mampu dari pihaknya berdasarkan kepada nikmat dan kurniaan yang diberikan oleh Allah SWT kepada-Nya. Firman Allah SWT:

لِيُنفِقْ ذُو سَعَةٍ مِّن سَعَتِهِ ۖ وَمَن قُدِرَ عَلَيْهِ رِزْقُهُ فَلْيُنفِقْ مِمَّا آتَاهُ اللَّهُ ۚ لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا مَا آتَاهَا ۚ سَيَجْعَلُ اللَّهُ بَعْدَ عُسْرٍ يُسْرًا

Maksudnya: “Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.”

(Surah al-Talaq: 7)

Selain daripada itu, hadith ini juga mengandungi pengisbatan sifat mahabbah kepada Allah SWT dengan pengisbatan secara hakiki yang sesuai dengan keagungan Allah dan kebesaran-Nya. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/118-119).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada perbincangan dan kenyataan di atas, kami berpendapat bahawa tidak ada masalah bagi seseorang itu untuk menzahirkan nikmat yang dikurniakan Allah kepadanya melalui cara berpakaian, makanan dan minuman, tempat tinggal dan seumpamanya, mahupun menzahirkannya dalam bentuk bersedekah, memberi orang makan dan lain-lain. Kesemuanya adalah dibolehkan, bahkan digalakkan untuk dia melakukannya sebagai suatu bentuk syukur kepada Allah SWT. Sekalipun begitu, keharusan itu terikat selagi mana penzahiran nikmat-nikmat itu bukan bertujuan untuk berbangga-bangga diri, sombong atau merendah-rendahkan orang lain.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَدْخِلْنِي بِرَحْمَتِكَ فِي عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku – dengan limpah rahmat-Mu – dalam kumpulan hamba-hamba-Mu yang soleh.”

Surah al-Naml (19)

Bertarikh: 19 Oktober 2023 bersamaan 4 Rabiulakhir 1445