#3672: Puasa Sunat Bersama Rakyat Palestin

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Terdapat beberapa poster telah tersebar luas mengajak umat Islam berpuasa pada hari Khamis, 19 Oktober 2023, sebagai solidariti terhadap Palestin. Adakah dibolehkan berpuasa sunat untuk menunjukkan solidariti bersama rakyat Palestin? Atau ia adalah bid’ah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, sikap saudara yang cakna dan prihatin tentang isu Palestin ialah amat terpuji. Daripada Huzaifah bin al-Yaman R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ لَمْ يَهْتَمَّ بِأَمْرِ الْمُسْلِمِينَ فَلَيْسَ مِنْهُمْ

Maksudnya: “Barangsiapa yang tidak mengambil berat urusan orang Islam maka dia bukanlah daripada kalangan mereka.”

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (7/270) dan al-Hakim dalam al-Mustadrak (8115). Al-Iraqi dalam takhrij al-Ihya’ (2/261) menyatakan isnadnya dha’if. Begitu juga yang dinyatakan dalam Dha’if al-Targhib (1099)

Isu ini telah menjadi keutamaan bagi umat Islam kerana termasuk dalam membantu saudara-saudara seislam yang dizalimi dan ditindas oleh rejim zionis sehingga hospital pun mereka bom. Tanpa mengenal erti kemanusiaan jauh sekali dengan sifat ihsan.

Sejujurnya, memberi bantuan dan pertolongan kepada rakyat Palestin adalah salah satu daripada keutamaan kita pada masa ini. Ini berdasarkan banyak nas antaranya:

Firman Allah SWT:

 وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.”

(Surah al-Ma’idah: 2)

Al-Tabari menyatakan: Sesungguhnya wahai orang-orang yang beriman, hendaklah tolong-menolong satu sama lain dalam kebajikan.  Kebajikan itu ialah melaksanakan apa yang diperintahkan Allah untuk dilakukan dan ‘taqwa’, pula ialah menjauhi apa yang diperintahkan Allah untuk dijauhi dan meninggalkan perbuatan dosa. (Lihat Jami’ al-Bayan, 9/490)

Ingatlah sabda Rasulullah SAW:

وَاَللَّهُ فِي عَوْنِ الْعَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيهِ

Maksudnya: “Allah menolong seorang hamba selagi hamba itu menolong saudaranya.”

Riwayat Muslim (2699), Abu Dawud (4946), al-Tirmizi (1425), Ibn Majah (225) dan Ahmad (7427)

Daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

المُسْلِمُ أَخُو المُسْلِمِ لاَ يَظْلِمُهُ وَلاَ يُسْلِمُهُ، وَمَنْ كَانَ فِي حَاجَةِ أَخِيهِ كَانَ اللَّهُ فِي حَاجَتِهِ، وَمَنْ فَرَّجَ عَنْ مُسْلِمٍ كُرْبَةً، فَرَّجَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرُبَاتِ يَوْمِ القِيَامَةِ.

Maksudnya: “Seorang muslim adalah saudara muslim yang lain, tidak boleh menzaliminya dan tidak membiarkannya dizalimi. Barang siapa yang mengusahakan keperluan saudaranya, maka Allah akan memenuhi keperluannya. Barang siapa melapangkan satu kesusahan seorang muslim, maka Allah akan melapangkan satu kesusahan di antara kesusahan-kesusahannya pada hari Kiamat.”

Riwayat al-Bukhari (2442) dan Muslim (2580)

Menjawab persoalan di atas, kami katakan berpuasa pada hari Isnin dan Khamis adalah disunatkan. Kebetulan 19 Oktober 2023 jatuh pada hari Khamis dan ia disunatkan berpuasa bagi orang Islam.

Keduanya, membaca sirah dan juga saranan para ulama bahawa salah satu daripada doa untuk kita adukan kepada Tuhan adalah dengan cara kita berpuasa seperti yang diajar oleh fuqaha untuk solat istisqa’ atau minta hujan dimulakan dengan puasa pada hari Sabtu, Ahad, Isnin dan melakukan solat pada pagi Isnin sebagaimana yang disebut.

Begitu juga, pada puasa itu terdapatnya doa yang dimustajabkan sebagaimana hadith Nabi SAW:

ثَلاَثَةٌ لاَ تُرَدُّ دَعْوَتُهُمُ الصَّائِمُ حَتَّى يُفْطِرَ وَالإِمَامُ الْعَادِلُ وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ يَرْفَعُهَا اللَّهُ فَوْقَ الْغَمَامِ وَيَفْتَحُ لَهَا أَبْوَابَ السَّمَاءِ وَيَقُولُ الرَّبُّ وَعِزَّتِي لأَنْصُرَنَّكَ وَلَوْ بَعْدَ حِينٍ

Maksudnya: “Tiga doa tidak akan ditolak; doa orang yang berpuasa sehingga berbuka, doa pemerintah yang adil dan doa orang yang terkena zalim. Doanya Allah angkatnya lebih tinggi daripada awan dan dibuka baginya pintu-pintu langit seraya Tuhan berfirman Demi kemuliaanKu, pasti aku bantu walaupun selepas seketika.”

Riwayat al-Tirmizi (2526), Ibn Majah (1752) dan Ahmad (8030). Syeikh Ahmad Syakir menyatakan isnadnya sahih dalam takhrij Musnad Ahmad (15/189)

Justeru, kami berpendapat puasa tersebut tidaklah menjadi kesalahan atau disebut sebagai bid’ah. Ini kerana dengan menghimpunkan banyak nas, jelas menunjukkan galakan supaya berpuasa bahkan ini sebahagian daripada usaha untuk dimakbulkan doa oleh Allah SWT apabila kita munajat kepada-Nya dan berdoa kepada-Nya. Tambahan pula, ibadat puasa termasuk dalam ibadat yang digalakkan kepada umat Islam.

Marilah sama-sama kita berdoa untuk saudara kita yang sedang dizalimi dan ditindas di bumi Gaza, Palestin.

اللَّهُمَّ مُنْزِلَ الكِتَابِ، وَمُجْرِيَ السَّحَابِ، وَهَازِمَ الأَحْزَابِ، اهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ

Maksudnya: “Ya Allah yang menurunkan Kitab, yang menjalankan awan, yang menghancurkan pasukan musuh, kalahkan mereka dan bantulah kami menewaskan mereka.”

 Riwayat al-Bukhari (2965)

اللَّهُمَّ أَنْجِ الْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya:  “Ya Allah selamatkanlah orang-orang yang lemah dari kalangan orang-orang yang beriman.”

 Riwayat al-Bukhari (6393)

Bertarikh: 20 Oktober 2023 bersamaan 5 Rabiulakhir 1445