#3674: : Tasbih Untuk Lelaki Dan Menepuk Bagi Wanita Untuk Menegur Dalam Solat

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. benarkah untuk menegur imam dalam solat dengan bertasbih untuk lelaki dan menepuk bagi wanita, dan bolehkan terangkan dalil berkenaan hal itu?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan ini, ulama Mazhab Syafie berhujah dengan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

‏ التَّسْبِيحُ لِلرِّجَالِ وَالتَّصْفِيقُ لِلنِّسَاءِ ‏‏

Maksudnya: “Bertasbih untuk lelaki, dan bertepuk untuk wanita”

Riwayat al-Bukhari (1203)

Kisah di sebalik hadith ini adalah di mana “Suatu hari Nabi SAW keluar untuk menyelesaikan masalah yang terjadi di antara Bani ‘Amr bin ‘Auf bin al-Harith. Kemudian tiba waktu solat. Maka Bilal menemui Abu Bakar R.Anhuma, lalu berkata: “Nabi SAW mempunyai kekangan (lewat untuk menjadi imam solat), apakah engkau boleh mengimamkan solat berjemaah?” Abu Bakar menjawab: “Boleh, jika kamu semua mengkehendaki.” Maka Bilal melaungkan iqamah, dan Abu Bakar maju ke hadapan untuk mengimamkan solat. Kemudian Nabi SAW tiba dan berjalan lalu mencelah di antara saf-saf sehingga sampai di saf pertama. Maka orang ramai memberi isyarat dengan al-Tasfih (التَّصْفِيحُ) iaitu dengan tepukan tangan. Ketika itu Abu Bakar tidak berpaling daripada solatnya. Namun ketika bunyi tepukan semakin banyak, Abu Bakar berpaling. Ketika itu Abu Bakar melihat Nabi SAW berada dalam saf dan Baginda memberi isyarat kepada Abu Bakar agar dia tetap pada posisinya. Abu Bakar mengangkat kedua tangannya lalu mengucapkan hamdalah kemudian dia bergerak ke belakang, lalu Nabi SAW bergerak ke hadapan dan meneruskan solat. Setelah Rasulullah SAW selesai daripada solat, baginda bersabda:

مَا بَالُكُمْ وَنَابَكُمْ شَيْءٌ فِي صَلَاتِكُمْ فَجَعَلْتُمْ تُصَفِّقُونَ؟ إِذَا نَابَ أَحَدَكُمْ شَيْءٌ فِي صَلَاتِهِ فَلْيُسَبِّحِ فَإِنَّمَا التَّسْبِيحُ لِلرِّجَالِ وَالتَّصْفِيقُ لِلنِّسَاءِ

Maksudnya: “Mengapa kamu apabila mendapati sesuatu dalam solat kamu sehingga kamu semua bertepuk tangan? Jika salah seorang dari kamu mendapati sesuatu dalam solatnya, maka hendaklah dia bertasbih. Sesungguhnya tasbih adalah untuk kaum lelaki dan tepuk tangan adalah untuk kaum wanita.”

Kemudian baginda SAW bertanya kepada Abu Bakar:

لِمَ رَفَعْتَ يَدَيْكَ؟ مَا مَنَعَكَ أَنْ تَثْبُتَ حِينَ أَشَرْتُ إِلَيْكَ؟

Maksudnya: “Mengapa kamu mengangkat kedua-dua tanganmu? Apa yang menghalang kamu daripada tetap di tempatmu ketika aku memberikan isyarat kepadamu?”

Abu Bakar menjawab:

رَفَعْتُ يَدَيَّ؛ لِأَنِّي حَمِدْتُ عَلَى مَا رَأَيْتُ مِنْكَ، وَلَمْ يَكُنْ يَنْبَغِي لِابْنِ أَبِي قُحَافَةَ أَنْ يَؤُمَّ رَسُولَ اللهِ

Maksudnya:Aku mengangkat kedua-dua tangan aku kerana aku bersyukur atas apa yang aku lihat daripadamu, dan seorang anak lelaki yang berasal dari suku Abi Quhafah tidak sepatutnya menjadi imam kepada Rasulullah.” (Lihat Sahih al-Bukhari, 2/62; Musnad Ahmad, 37/508 ; Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 2/43)

Syeikh Abdullah bin Abd al-Rahman al-Bassam berkata: Apa yang diperoleh daripada hadith ini adalah disunatkan bagi lelaki untuk bertasbih, jika mereka ingin menegur sesuatu yang tidak betul dalam solat mereka dengan mengucap “Subhanallah.” Manakala disunatkan bagi wanita untuk bertepuk tangan jika mereka menegur sesuatu yang tidak betul dalam solat mereka, dan ini adalah cara yang lebih sesuai untuk mereka, apatah lagi mereka berada dalam ibadah. Arahan bertasbih dan semua ini adalah untuk menjauhkan percakapan dalam solat daripada perkara-perkara yang bukan daripada jenis solat itu sendiri, kerana solat adalah tempat bermunajat dengan Allah Yang Maha Suci dan Maha Tinggi. Oleh itu, apabila ada keperluan untuk berbicara, dibenarkan perkara yang sejajar dengan jenis solat itu, iaitu bertasbih. (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 2/43)

Berdasarkan hadith ini ulama’ berpendapat:

  • Imam al-Nawawi menyebut, bahawa di sisi Mazhab al-Syafi’i, bertasbih untuk orang lelaki dan bertepuk bagi orang perempuan. (Lihat al-Majmu’, 4/13)
  • Imam Mawardi juga berpendapat bahawa bertepuk adalah cara wanita menegur imam, kerana suara wanita adalah aurat, bimbang menjadi fitnah ke atas orang yang mendengar. Dan beliau menyebut bahawa bertepuk lebih tepat berbanding tasbih keatas wanita berdasarkan hadith di atas. (Lihat al-Hawi al-Kabir, 2/162)
  • Menurut Imam al-Zarkasyi pula, menepuk untuk menegur imam adalah dalam keadaan wujudnya lelaki-lelaki ajnabi; adapun jika jemaah solat dan imam terdiri daripada wanita atau lelaki-lelaki mahram, maka hendaklah mereka bertasbih secara jahar (kuat dan terang). (Lihat Mughni al-Muhtaj 1/418)

Inilah juga fatwa yang dikemukakan oleh Syeikh Nuh ‘Ali Salman al-Qudhah dan Syeikh Abdullah bin Baz, dimana harus bagi wanita menegur imam juga yang hadir hanyalah suami, wanita atau lelaki-lelaki mahram. Bahkan Syeikh Ibn Baz mengharuskan wanita menegur imam dalam solat jemaah jika sekiranya tiada lelaki yang berbuat demikian. Suara wanita bukanlah aurat, dan aurat hanyalah jika melembut-lembutkan dan melayukan suara, dan inilah yang dilarang.[1]

  • Manakala pendapat Mazhab Imam Malik menyatakan bahawa lelaki dan perempuan bertasbih di dalam solat, dan melarang wanita bertepuk di dalam solat. (Lihat Fath al-Qadir, 1/356)

Maka berdasarkan perbincangan ulama di atas, jelas menurut pendapat Mazhab al-Syafi’i, bahawa menegur imam dengan cara bertasbih hanya untuk lelaki manakala perempuan dengan cara bertepuk.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

Surah Ibrahim (40)

Wallahua`lam.

[1] (Lihat http://aliftaa.jo/Question3.aspx?QuestionId=2202#.XE5-sVwzZPZ  )

Bertarikh: 20 Oktober 2023 bersamaan 5 Rabiulakhir 1445