#3675: Suami Memberi Nafkah dari Sumber yang Haram dan Syubhah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum rezeki seorang isteri (suri rumah) apabila pendapatan suaminya bercampur dengan sumber yang syubhah dan juga haram? Setelah ditegur dan dinasihati si suami dan si suami enggan berubah, adakah si isteri perlu meminta cerai untuk menjaga dirinya daripada memakan nafkah yang diberi suaminya?

Jawapan:

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Kami mulakan dengan hadith daripada Abu ‘Abdillah, Nu’man bin Basyir R.Anhuma, beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ الحَلالَ بَيِّنٌ وَإِنَّ الحَرَامَ بَيِّنٌ وَبَيْنَهُمَا أُمُوْرٌ مُشْتَبِهَاتٌ لاَ يَعْلَمُهُنَّ كَثِيْرٌ مِنَ النَّاسِ، فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ فَقَدِ اسْتَبْرأَ لِدِيْنِهِ وعِرْضِهِ، وَمَنْ وَقَعَ فِي الشُّبُهَاتِ وَقَعَ فِي الحَرَامِ كَالرَّاعِي يَرْعَى حَوْلَ الحِمَى يُوشِكُ أَنْ يَرْتَعَ فِيْهِ. أَلَا وَإِنَّ لِكُلِّ مَلِكٍ حِمًى. أَلا وَإِنَّ حِمَى اللهِ مَحَارِمُهُ، أَلَا وإِنَّ فِي الجَسَدِ مُضْغَةً إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الجَسَدُ كُلُّهُ وإذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الجَسَدُ كُلُّهُ أَلَا وَهِيَ القَلْبُ

Maksudnya: “Sesungguhnya  yang  halal  itu  jelas  dan  yang  haram  itu  jelas.  Di antara  keduanya  terdapat  perkara-perkara  yang  syubhah  (samar-samar)  yang  tidak diketahui  oleh  sebahagian  manusia.  Maka  sesiapa  yang  menjauhi  perkara  syubhah bermakna  dia  telah  menyelamatkan  agama  dan  kehormatannya. Dan siapa yang terjerumus dalam perkara syubhat, maka dibimbangi akan terjerumus dalam perkara yang diharamkan.  Sebagaimana  penggembala  yang  membawa  haiwan  gembalaannya disekitar  padang  larangan,  maka  lambat  laun  dia  mungkin  akan  memasukinya. Ketahuilah bahawa setiap raja memiliki larangan dan larangan Allah adalah apa yang Dia haramkan.  Ketahuilah  bahawa  dalam  diri  ini  terdapat  segumpal  daging,  jika  ia baik maka baiklah seluruh tubuh ini dan jika ia buruk, maka buruklah seluruh tubuh; ketahuilah bahawa ia adalah hati.”

Riwayat al-Bukhari (52) dan Muslim (1599)

Kami nyatakan pendapat Dr Yusuf al-Qaradhawi: “Di sini, kami menegaskan bahawa mengetahui yang halal dan haram secara umum sahaja masih tidak memadai. Asas halal dan haram sememangnya tidak lari bagi setiap Muslim, akan tetapi masih terdapat segelintir umat Islam terjerumus ke dalam perkara yang diharamkan seolah-olah mereka sedang menerokai perjalanan untuk jatuh ke lembah neraka, sedangkan mereka semua mengetahui apa yang mereka lakukan.

Yang penting di sini, seseorang itu mestilah mempunyai sifat takwa kepada Allah SWT yang menjadi asas bagi semua permasalahan hidup.  Mereka juga boleh menggunakan ungkapan lain yang sering kedengaran sejak akhir-akhir ini seperti: Seseorang itu mestilah mempunyai kesedaran yang tinggi yang boleh menahan orang yang beragama Islam pada batasan halal serta melindungi mereka daripada melalui jalan yang haram.

Apabila seseorang Islam sudah dilengkapi dengan sesuatu ilmu yang menyedarkan tentang batasan agama dan syariatnya, di samping adanya kesedaran yang jitu berkenaan perihal menjaga diri daripada melalui batasan itu supaya tidak mendekatinya, maka pada ketika itu akan lengkaplah semua kebaikan pada dirinya.” (Lihat al-Kafi Syarh Hadith 40, hlm. 78)

Nafkah dari segi bahasa ialah mengeluarkan, iaitu pembiayaan belanja seseorang terhadap ahli keluarganya. Manakala dari segi syarak ialah makanan, pakaian, tempat tinggal dan selainnya. Ia di namakan Nafaqah kerana dikeluarkan atau digunakan untuk keperluan itu. ( Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 4/274 )

Di dalam Sunnah, terdapat hadith yang diriwayatkan daripada Mu’awiyah al-Qusyairi RA, bahawa beliau telah bertanya kepada Nabi SAW: “Wahai Rasulullah, apakah hak isteri salah seorang dari kami yang menjadi kewajipan suaminya?” Maka Rasulullah SAW menjawab:

أَنْ تُطْعِمَهَا إِذَا طَعِمَتْ ، وَتَكْسُوَهَا إِذَا اُكْتَسَيَتْ ، أَوْ اكْتَسَبَتْ ، وَلَا تَضْرِبْ الْوَجْهَ ، وَلَا تَقْبَحُ ، وَلَا تُهْجَرُ إِلَّا فِي الْبَيْتِ

Maksudnya: “Engkau memberi makan kepadanya, jika engkau makan. Engkau memberi pakaian kepadanya, jika engkau berpakaian. Janganlah engkau pukul wajahnya, janganlah engkau memburukkannya, dan janganlah engkau meninggalkannya kecuali di dalam rumah.”

Riwayat Abu Dawud (2142), Ibn Majah (1850) dan Ahmad (20013)

Islam menuntut kepada penganutnya untuk sentiasa mencari rezeki yang halal lagi baik dalam memenuhi keperluan seharian. Hal ini bertetapan dengan firman Allah SWT berikut :

يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا

Maksudnya : “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik”

(Surah al-Baqarah: 168)

Syeikh al-Maraghi di dalam tafsirnya menyatakan bahawa : “Makanlah rezeki yang diperolehi secara halal dan bukanlah barangan seperti riba’, suht (yang di usahakan secara haram), dan barangan curi. Di samping itu, rezeki itu hendaklah sedap dimakan, tidak kotor, sama ada kerana zatnya sendiri, kerana rosak atau berubah akibat terlalu lama disimpan.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 4/1673)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan seorang Muslim yang baik wajib memberi nafkah kepada isteri dan anak-anaknya dari sumber yang halal. Kami membahagikan jawapn kepada dua:

  1. Sekiranya jelas sumber nafkah yang diberi itu dari sumber yang haram, maka tidak keluarganya makan dari sumber yang haram itu kecuali dalam keadaan darurat maka dibolehkan untuk mengambilnya dengan kadar yang diperlukan sahaja.
  2. Jika sumbernya tidak jelas dan bercampur antara halal dan haram atau diketahui lebih banyak daripada sumber haram, tidak diharamkan anda memakannya namun ia dimakruhkan Inilah pendapat para ulama’ al-Syafi’iyyah antaranya Imam al-Nawawi. Beliau menyebutkan:

مَنْ ‌أَكْثَرُ ‌مَالِهِ ‌حَرَامٌ، كُرِهَتْ إِجَابَتُهُ كَمَا تُكْرَهُ مُعَامَلَتُهُ.

Maksudnya: Sesiapa yang hartanya lebih banyak daripada sumber yang haram, makruh untuk menerima pemberian daripadanya sebagaimana makruh melakukan apa-apa transaksi dengannya.

Namun begitu, kami nasihatkan janganlah berputus asa dalam memberi nasihat kepada suami anda agar tidak mendapatkan rezeki dengan cara yang haram/ syubhah. Ingatlah rezeki yang baik itu adalah rezeki yang halal dan darinya akan perolehi keberkatan.

Manakala dari sudut permohonan cerai, kami berpendapat sebaiknya perkara ini dibincang bersama terlebih dahulu agar tidak tersalah langkah dan memberi kesan kepada anak-anak di kemudian hari. Namun, sekiranya tidak ada cara lain, maka boleh dirujuk di mahkamah syariah bagi mendapatkan nasihat dan pandangan.

Ingatlah meskipun perceraian itu halal, namun ia perkara yang dibenci Allah SWT. Sabda nabi SAW:

 أَبْغَضُ الْحَلَالِ إِلَى اللَّهِ الطَّلَاقِ

Maksudnya: “Perkara halal yang paling dimurkai Allah adalah talak.”

Riwayat Abu Daud (2178) dan Ibn Majah (2018)

Oleh itu, Islam meraikan perasaan wanita terhadap suaminya dengan membenarkan wanita tersebut untuk menuntut pembubaran perkahwinannya apabila dia itu tidak lagi menyukai suaminya dan bimbang perasaan benci itu akan menyebabkannya dia derhaka kepada suaminya.

Semoga isu ini dapat diselesaikan dengan tenang dan harmoni. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Bertarikh: 20 Oktober 2023 bersamaan 5 Rabiulakhir 1445