Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada membela seekor burung Kakak Tua sejak dia masih kecil lagi. Apabila sudah meningkat dewasa, saya tertanya-tanya adakah perbuatan saya ini salah kerana burung tersebut sentiasa dikurung di dalam sangkar. Mohon penjelasan.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Burung kakak tua atau cockatoo, (keluarga Cacatuidae), adalah salah satu daripada 21 spesies burung nuri berjambul (order Psittaciformes) yang terdapat di Australia serta di New Guinea dan Kepulauan Solomon. Kebanyakan berwarna putih dengan sentuhan merah atau kuning; ada juga yang berwarna hitam. Semua memiliki paruh yang besar dan berbentuk seperti pedang untuk memecahkan kacang, menggali akar, atau mengorek ulat dari kayu; pemakanan dibantu oleh lidah yang kuat. Burung kakak tua adalah burung pohon yang bersarang di lubang; kadang-kadang mereka membentuk kumpulan besar yang bising dan riuh. Oleh kerana mereka menunjukkan penampilan yang menarik, kreatif, dan penyayang, banyak yang dipelihara sebagai haiwan kesayangan. Sesetengahnya boleh hidup lebih dari 50 tahun.
Kebiasaannya, apabila seseorang itu membela burung, dia akan meletakkan burung tersebut di dalam sangkar bagi mengelakkan ia terbang dan lari dari rumah. Perbuatan ini adalah dibenarkan kerana tidak terdapat sebarang larangan syara‘ padanya, bahkan warid sebuah kisah yang masyhur bahawa seorang sahabat bernama Abu Talhah R.A, saudara seibu dengan Anas R.A, dia mempunyai seorang anak yang membela burung dinamakan al-Nughair di dalam sangkar dan dia sering bermain dengan burung tersebut. Pada suatu hari, burung tersebut mati dan anak itu pun bersedih, maka Rasulullah SAW bergurau dengan tujuan menggembirakannya. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A, katanya:
إِنْ كَانَ النَّبِيُّ ﷺ لَيُخَالِطُنَا، حَتَّى يَقُولَ لِأَخٍ لِي صَغِيرٍ: يَا أَبَا عُمَيْرٍ، مَا فَعَلَ النُّغَيْرُ
Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW beramah mesra dengan kami sehinggakan Baginda pernah berkata (dalam bentuk gurauan) kepada saudaraku yang masih kecil: ‘Wahai Abu ‘Umair, apakah yang burung pipit kamu lakukan itu?’.”
Riwayat al-Bukhari (6129)
Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani menukilkan sebuah riwayat lain daripada Anas bin Malik R.A, dari jalur Rib‘i, Rasulullah SAW bertanya kepada Ummu Sulaim R.Anha:
يَا أُمَّ سُلَيْمٍ، مَا لِي أَرَى ابْنَكِ خَائِرَ النَّفْسِ. قَالَتْ: يَا رَسُولَ اللهِ، مَاتَتْ صَعْوَتُهُ الَّتِي كَانَتْ يَلْعَبُ بِهَا. فَجَعَلَ النَّبيُّ ﷺ يَقُولُ: يَا أَبَا عُمَيْرٍ، مَا فَعَلَ النُّغَيْرُ؟
Maksudnya: “Wahai Ummu Sulaim, aku tidak pernah nampak anakmu kelihatan lemah begini. Ummu Sulaim berkata: ‘Wahai Rasulullah, burung pipitnya yang selalu dia main dengannya telah mati.’ Lalu Nabi SAW sabda: ‘Wahai Abu ‘Umair, apakah yang burung pipit kamu lakukan itu?’.” (Lihat Fath al-Bari, 10/583)
Syeikh ‘Abd al-‘Aziz bin ‘Abdullah Ibn Baz pernah ditanya tentang masalah mengurung burung di dalam sangkar, beliau menjawab: “Perkara ini tidak menjadi masalah sekiranya disediakan untuk ia keperluan asasi seperti makanan dan minuman. Ini kerana hukum asal pada perkara seperti ini adalah halal, dan tidak ada dalil yang menyelisihinya berdasarkan pengetahuan kami.” (Lihat Fatawa Ulama’ al-Balad al-Haram, hlm. 1793)
Akan tetapi, hukum halal membela burung di dalam sangkar ini boleh berubah kepada haram sekiranya keperluan asas binatang tersebut tidak dititik beratkan. Hal ini kerana Islam datang untuk menjaga 5 maqasid utama, dan salah satunya adalah menjaga nyawa. Dalam sebuah hadith sahih riwayat Ibn ‘Umar R.A, Rasulullah SAW bersabda:
عُذِّبَتِ امْرَأَةٌ فِي هِرَّةٍ رَبَطَتْهَا حَتَّى مَاتَتْ، فَدَخَلَتْ فِيهَا النَّارَ، لاَ هِيَ أَطْعَمَتْهَا وَلاَ سَقَتْهَا، إِذْ حَبَسَتْهَا، وَلاَ هِيَ تَرَكَتْهَا تَأْكُلُ مِنْ خَشَاشِ الأَرْضِ
Maksudnya: “Seorang wanita diazab kerana seekor kucing yang dikurungnya sehingga mati. Maka dia masuk neraka disebabkannya. Dia tidak memberinya makan dan tidak pula memberinya minum ketika dia mengurungnya, dan dia tidak pula membiarkannya memakan haiwan-haiwan kecil yang berada di tanah.”
Riwayat al-Bukhari (3482)
Syeikh ‘Abdullah bin ‘Abd al-Rahman al-Bassam berkata, ini merupakan dalil bahawa wajib menunaikan keperluan binatang peliharaan kerana sebab wanita di dalam hadith itu dimasukkan ke dalam neraka kerana dia meninggalkan kucingnya tanpa menunaikan keperluannya, dan menahannya dari mencari makanan sendiri. Maka, jika menunaikan keperluan ini dituntut pada kucing yang bukan peliharaannya, maka terlebih utama jika kucing tersebut merupakan peliharaannya. Inilah pandangan yang dipilih oleh majoriti fuqaha’.
Dan dapat juga difahami melalui hadith ini, keharusan memelihara burung sebagai perhiasan seperti burung pipit, burung kakak tua dan selainnya di dalam sangkar, sekiranya ia diberikan makanan dan minuman, serta tidak diseksa. (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 6/47)
Oleh yang demikian, kami katakan bahawa tidak menjadi masalah jika saudara yang bertanya ingin memelihara burung kakak tua yang diletakkan di dalam sangkar, akan tetapi pastikan saudara melakukan perkara yang berikut:
- Saiz sangkar tersebut sesuai dengan saiz burung itu.
- Memberikan keperluan asas kepadanya seperti makan dan minum.
- Memastikan fitrah burung itu tercapai dengan memeliharanya secara berpasangan.
- Tidak menyeksa burung peliharaan tersebut.
Kami berharap penerangan ringkas ini dapat memberikan kita kefahaman yang baik, seterusnya mengamalkan sesuatu berlandaskan nas-nas syara‘. Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ وَالأَدْوَاءِ
Maksudnya: “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”
Wallahu a‘lam
Bertarikh: 20 Oktober 2023 bersamaan 5 Rabiulakhir 1445