#3679: Ucapan Kepada Pengantin Baru

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya apakah ucapan terbaik kepada pengantin baru ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Perkahwinan adalah satu akad yang suci, ia diibaratkan sebagai satu ikatan yang kuat (مِيثَاقاً غَلِيظًا). Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَأَخَذْنَ مِنْكُمْ مِيثَاقًا غَلِيظًا

Maksudnya: “Mereka (para wanita itu) telah mengambil perjanjian yang berat dari kamu.”

(Surah al-Nisa’: 21)

Syeikh Mutawalli al-Sya‘rawi meyebutkan ketika menafsirkan (مِيثَاقاً غَلِيظًا) bahawa dengan ikatan perkahwinan ini, akan dihalalkan bagi wanita perkara-perkara yang tidak pernah dihalalkan baginya melainkan dengan ikatan ini. Hal yang demikian kerana termasuklah dalam ikatan ini keharusan melihat aurat, yang mana ia merupakan perkara yang berat (غَلِيظٌ). Jika sekiranya perkahwinan itu bukanlah satu ikatan yang berat, maka Allah SWT tidak akan menghalalkan melihat aurat. Kerana itulah Allah SWT menyebutkan (وَقَدْ أَفْضَىٰ بَعْضُكُمْ إِلَىٰ بَعْضٍ), ifdha’ (إِفْضَاءٌ) yang bermaksud pendedahan (kerana dibenarkan mendedahkan aura tantara suami isteri).[1]

Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin menyebutkan di dalam tafsirnya bahawa tiada akad yang setanding dengan akad perkahwinan. Sesungguhnya akad yang paling berat dan paling berisiko adalah akad perkahwinan. Hal ini kerana ia membawa banyak tanggungjawab seperti sahnya hubungan mahram, hubungan kekeluargaan, kewajipan nafkah, dan banyak tanggungjawab lain. (Lihat Tafsir al-Quran al-Karim, 1/161)

Perkahwinan atau pernikahan adalah sangat dituntut di dalam Islam. Sudah menjadi fitrah manusia untuk saling berkasih sayang ini diperjelaskan di dalam Al-Quran melalui firman Allah SWT:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً

Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang.”

(Surah al-Rum: 21)

Menjawab bagi persoalan di atas kami islam amat menganjurkan memberi ucapan dan yang baik kepada pengantin baru ketika menghadiri majlis walimah. Yang demikian juga merupakan adab yang  diajar oleh Rasulullah SAW sebagaimana dapat dilihat melalui hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa beliau berkata:

 أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا رَفَّأَ الإِنْسَانَ إِذَا تَزَوَّجَ، قَالَ: بَارَكَ اللَّهُ لَكَ، وَبَارَكَ عَلَيْكَ، وَجَمَعَ بَيْنَكُمَا فِي الخَيْرِ

Maksudnya: “Bahawa Nabi SAW apabila hendak memberikan ucapan selamat kepada orang yang menikah, baginda mendoakan: Semoga Allah memberkatimu dan menetapkan berkat atasmu, serta mengumpulkan engkau berdua dalam kebaikan.

Riwayat Abu Dawud (2130), dan al-Tirmidzi (1091)

Dapat difahami melalui hadith ini bahawa rasulullah SAW berdoa untuk seseorang yang telah berkahwin, Baginda berdoa dengan doa-doa yang baik dan mulia, dengan  mendoakan keberkatan ke atas mereka, dan  menyatukan mereka dan pasangan mereka dalam kebaikan. Selain itu juga kalimah “الخير” iaitu kebaikan yang merangkumi makna kebahagiaan, kesejahteraan, kehidupan yang bahagia, dan mendapatkan anak-anak yang soleh.

Oleh itu, bagi sesiapa yang hadir semasa majlis akad perkahwinan dilakukan, disyorkan agar dia berdoa dengan doa berikut untuk pasangan yang baru berkahwin. Ini lebih baik daripada doa pada zaman jahiliah yang mengatakan ‘بالرفاء والبنين’ (dengan kesejahteraan dan anak-anak). Doa ini adalah doa yang kurang dan tidak mencukupi juga dengan ucapan-ucapan seperti ‘mabrūk’ yang biasa digunakan oleh orang ramai  sebagai ucapan kepada pengantin. Oleh itu, lebih baik untuk mendoakan dengan doa yang mulia yang diajarkan oleh nabi  kerana ia merangkumi makna-makna kebaikan dan kebahagiaan. (Lihat Taudih al-Ahkam Min Bulugh al-Maram,5/239)

Antara faedah yang dapat diambil daripada hadith di atas adalah seperti berikut:

  • Keutamaan berdoa untuk pasangan yang baru berkahwin agar diberkati.
  • Seorang Muslim perlu menunjukkan kegembiraannya atas kebahagiaan saudaranya.
  • Nabi Muhammad SAW sangat berusaha dalam mendidik umatnya tentang hal-hal yang penting dalam agama dan kehidupan dunia mereka.
  • Keberkatan hanya dapat dicari dari Allah Yang Maha Kuasa.[2]

Telah dinyatakan oleh Zakariya al-Ansori al-Syafi’ bahawa: Disunatkan untuk mendoakan kepada kedua pasangan pengantin dengan mengucapkan :بَارَكَ اللَّهُ لَكَ، وَبَارَكَ عَلَيْكَ، وَجَمَعَ بَيْنَكُمَا فِي الخَيْرِ. Iaitu Semoga Allah menghimpunkan kalian dalam kebaikan. (Lihat Athna al-Matalib,3/117)

Sebagai kesimpulannya dalam konteks perkahwinan, Islam mengajarkan bahawa satu daripada adab yang penting ialah mendoakan kebaikan dan keberkatan kepada pasangan pengantin. Dengan doa ini, kita berharap agar mereka diberkati dengan kebahagiaan dalam menempuh perjalanan hidup mereka sebagai suami dan isteri serta dikurniakan zuriat yang soleh.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Wallahua’lam

[1]  Lihat https://www.youtube.com/watch?v=MCNayNyS7Iw. – Diakses pada 19 Oktober 2023

[2]  Lihat:https://www.alukah.net/sharia/0/155093/– Diakses pada 19 Oktober 2023

Bertarikh: 20 Oktober 2023 bersamaan 5 Rabiulakhir 1445