Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Dahulu saya sering ke perkuburan, dan membaca surah yasin, dengan niat untuk sedekahkan pahala bacaan yasin tersebut, untuk mereka yang telah pergi. Kemudian saya ditegur, bahawa perbuatan saya itu hanyalah sia-sia. Kerana sedekah pahala bacaan yasin, tidak sampai kepada mereka yang telah meninggal dunia. Yang saya boleh lakukan, hanyalah berdoa. Dan saya juga tidak perlu hadir ke kubur, berdoa di rumah sahaja sudah memadai. Persoalan saya, apakah amalan yang boleh saya panjangkan kepada si mati? Terutamanya ahli keluarga sendiri. Terima kasih
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Membaca surah Yasin adalah satu ibadah dan mendapat pahala bagi sesiapa yang membacanya kerana ia merupakan satu surah daripada surah-surah di dalam al-Quran. Selain itu, hadith Nabi SAW juga menunjukkan bahawa sesiapa yang membaca al-Quran akan mendapat pahala yang besar. Daripada Abdullah bin Mas’ud RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَن قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ ، وَالْحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا ، لَا أَقُوْلُ آلم حَرْفٌ ، وَلَكِنْ أَلِفٌ حَرْفٌ وَلَامٌ حَرْفٌ وَمِيْمٌ حَرْفٌ
Maksudnya: “Sesiapa yang membaca satu huruf di dalam al-Quran maka baginya satu kebaikan dan setiap kebaikan itu digandakan menjadi sepuluh kebaikan yang semisal dengannya. Aku tidak mengatakan “الم” satu huruf akan tetapi Alif satu huruf, Laam satu huruf dan Miim satu huruf”.
Riwayat al-Tirmizi (2910)
Terdapat sebuah hadith yang dinilai sahih oleh Ibn Hibban walaupun status menjadi perselisihan oleh para ahli hadith, namun Ibn Hibban meletakkan hadith ini di dalam kitabnya Sahih Ibn Hibban sebagimana yang diriwayatkan daripada Jundub bin Abdillah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ قَرَأَ يس فِي لَيْلَةٍ ابْتِغَاءَ وَجْهِ اللَّهِ غُفِرَ لَهُ
Maksudnya: “Sesiapa yang membaca surah Yasin pada malam hari untuk mencari redha Allah maka akan diampunkan dosanya”.
Riwayat Ibn Hibban (2574). Syeikh Syuaib al-Arnaut dalam Takhrij Sahih Ibn Hibban (2574) menyatakan bahawa para perawinya thiqah tetapi al-Hasan melakukan tadlis dengan ‘an’anah.
Berkenaan isu ini, kami telah jawab dalam artikel sebelum ini:
#1608: Menghadiahkan Bacaan al-Quran kepada Orang yang Masih Hidup[1]
#1568: Menghadiahkan Bacaan al-Fatihah kepada Si Mati[2]
Kesimpulan
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan umumnya, menghadiahkan pahala bacaan al-Quran kepada orang Islam yang telah meninggal dunia termasuk dalam perkara yang diperselisihi oleh para ulama. Namun, pendapat yang kuat adalah pahala bacaan al-Quran yang dihadiahkan kepada mereka memberi manfaat dan sampai kepada mereka. Inilah pendapat Imam Ahmad bin Hanbal dan sebahagian ulama yang lain serta sebahagian ulama mazhab Syafi‘I sebagaimana yang telah dinukilkan oleh Imam al-Nawawi. (Lihat al-Azkar, hlm. 164-165).
Selain itu, Dr Muhammad ‘Abd al-Sami‘, Setiausaha Jawatankuasa Fatwa Dar al-Ifta’ berpendapat, tidak ada halangan untuk membaca al-Fatihah dan menghadiahkan pahalanya kepada si mati, sama ada untuk setiap orang mati secara berasingan atau beberapa orang sekaligus. Semua itu adalah diharuskan.
Manakala, menziarahi kubur adalah dituntut di dalam Islam kerana dengannya kita akan lebih mengingati kematian. Sabda Nabi SAW:
اسْتَأْذَنْتُ رَبِّي فِي أَنْ أَسْتَغْفِرَ لَهَا فَلَمْ يُؤْذَنْ لِي وَاسْتَأْذَنْتُهُ فِي أَنْ أَزُورَ قَبْرَهَا فَأُذِنَ لِي فَزُورُوا الْقُبُورَ فَإِنَّهَا تُذَكِّرُ الْمَوْتَ
Maksudnya: “Aku meminta izin daripasa Tuhanku untuk aku beristighfar baginya (bagi ibuku), maka Dia tidak memberi keizinan kepadaku, dan aku meminta izin untuk menziarahi kuburnya maka Dia (Allah) membenarkanku, maka ziarahilah kubur kerana ia boleh mengingatkan kepada kematian”.
Riwayat Muslim (976)
Justeru itu, kami nyatakan hukum menghadiahkan bacaan al-Quran kepada mereka yang telah meninggal dunia adalah sampai pahalanya kepada si mati. Begitu juga, tidak menjadi masalah untuk menziarahi kubur kerana dengannya kita akan lebih insaf dan ingat pada kematian. Dengan menziarahi kubur ahli keluarga kita juga, kita dapat memastikan kuburnya terjaga, tidak bersemak-samun dan kotor. Akhir kalam ingatlah sabda Nabi SAW:
إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ: إِلاَّ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ
Maksudnya: “Apabila matinya seorang manusia, maka terputuslah pahala amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya, atau anak soleh yang sentiasa mendoakannya.”
Riwayat Muslim (4310), Abu Dawud (2882), al-Nasa’i (6445) dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (12635)
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”
Wallahu a‘lam.
[1] https://maktabahalbakri.com/1608-menghadiahkan-bacaan-al-quran-kepada-orang-yang-masih-hidup/
[2] https://maktabahalbakri.com/1568-menghadiahkan-bacaan-al-fatihah-kepada-si-mati/
Bertarikh: 20 Oktober 2023 bersamaan 5 Rabiulakhir 1445