#3683: Menuntut Fasakh Kerana Suami Sukar Beri Nafkah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah perempuan atau isteri boleh menuntut agar difasakhkan nikahnya apabila suami sukar memberi nafkah?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pertamanya, nafkah isteri merupakan kewajiban ke atas suami sekalipun isteri itu seorang yang kaya. Ini jelas dalam firman Allah SWT:

لِيُنفِقْ ذُو سَعَةٍ مِّن سَعَتِهِ ۖ وَمَن قُدِرَ عَلَيْهِ رِزْقُهُ فَلْيُنفِقْ مِمَّا آتَاهُ اللَّهُ ۚ لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا مَا آتَاهَا ۚ سَيَجْعَلُ اللَّهُ بَعْدَ عُسْرٍ يُسْرًا

Maksudnya: “Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.”

(Surah al-Talaq: 7)

Di dalam al-Sunnah, terdapat hadith yang diriwayatkan daripada Mu‘awiyah al-Qusyairi R.A, bahawa beliau telah bertanya kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, apakah hak isteri salah seorang dari kami yang menjadi kewajipan suaminya?” Maka Rasulullah SAW menjawab:

أَنْ تُطْعِمَهَا إِذَا طَعِمْتَ، وَتَكْسُوَهَا إِذَا اكْتَسَيْتَ – أَوِ اكْتَسَبْتَ – وَلاَ تَضْرِبِ الْوَجْهَ، وَلاَ تُقَبِّحْ، وَلاَ تَهْجُرْ إِلاَّ فِي الْبَيْتِ

Maksudnya: “Engkau memberi makan kepadanya, jika engkau makan. Engkau memberi pakaian kepadanya, jika engkau berpakaian. Janganlah engkau pukul wajahnya, janganlah engkau memburukkannya, dan janganlah engkau meninggalkannya kecuali di dalam rumah.”

Riwayat Abu Dawud (2142), Ibn Majah (1850) dan Ahmad (20013)

Dalam hadith yang lain, daripada Jabir R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda dalam khutbah haji al-wada‘:

فَاتَّقُوا اللَّهَ فِى النِّسَاءِ فَإِنَّكُمْ أَخَذْتُمُوهُنَّ بِأَمَانِ اللَّهِ وَاسْتَحْلَلْتُمْ فُرُوجَهُنَّ بِكَلِمَةِ اللَّهِ وَلَكُمْ عَلَيْهِنَّ أَنْ لاَ يُوطِئْنَ فُرُشَكُمْ أَحَدًا تَكْرَهُونَهُ. فَإِنْ فَعَلْنَ ذَلِكَ فَاضْرِبُوهُنَّ ضَرْبًا غَيْرَ مُبَرِّحٍ وَلَهُنَّ عَلَيْكُمْ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ وَقَدْ تَرَكْتُ فِيكُمْ مَا لَنْ تَضِلُّوا بَعْدَهُ إِنِ اعْتَصَمْتُمْ بِهِ كِتَابَ اللَّهِ

Maksudnya: “Bertaqwalah kepada Allah dalam mengendalikan urusan kaum wanita. Kamu mengambil mereka dengan amanah Allah dan dihalalkan bagi kamu kemaluan mereka dengan kalimah Allah. Hak kamu yang wajib ditunaikan oleh isteri kamu ialah mereka tidak membenarkan orang yang kamu benci masuk ke tempat tidurmu. Jika mereka melakukannya, pukullah mereka dengan cara yang tidak menyakitkan. Kewajiban kamu pula ialah memberikan nafkah dan pakaian yang sepatutnya kepada mereka. Sesungguhnya, aku tinggalkan satu perkara yang kamu tidak akan sesat selama-lamanya, selagi kamu berpegang dengannya, iaitu kitab Allah.”

Riwayat  Muslim (1218)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menyatakan bahawa majoriti ulama mengatakan nafkah yang wajib diberi kepada isteri itu ialah tujuh perkara iaitu:

  • Makanan
  • Barang-barang dapur
  • Pakaian
  • Tempat tinggal
  • Alat-alat untuk membersihkan diri
  • Barangan rumah
  • Pembantu kepada isteri jika sekiranya kebiasaannya isteri mempunyai pembantu. (Lihat al-Fiqh al-Islam wa Adillatuh, 10/7349)

Menuntut Fasakh Kerana Suami Sukar Beri Nafkah

Berbalik kepada persoalan yang diajukan, ulama’ berbeza pendapat berkenaan hak seorang isteri menuntut fasakh apabila suaminya sukar menyediakan nafkah wajib baginya, dan isteri tersebut tidak redha dengan perkara tersebut serta tidak mampu untuk kekal bersama suaminya.

Pendapat Pertama:

Isteri tersebut tidak berhak untuk menuntut fasakh, dengan syarat suami tersebut tidak melarang isterinya untuk bekerja agar dapat memenuhi hajat keperluan sehariannya.

Inilah pandangan yang dipegang oleh fuqaha’ al-Hanafiyyah, Ibn Syubrumah, Hammad bin Abi Sulaiman, ‘Ata’, al-Zuhri, al-Hasan al-Basri, Ibn Abi Ya‘la dan lain-lain.

Pendapat Kedua:

Isteri tersebut berhak menuntut fasakh, dan jika si suami enggan menceraikan isterinya, maka hakim berkuasa untuk memisahkan mereka.

Inilah pandangan yang dipegang oleh jumhur fuqaha’ dari kalangan al-Syafi‘iyyah, al-Malikiyyah dan yang sahih menurut al-Hanabilah. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 41/66)

Jumhur berhujjah dengan firman Allah SWT:

فَإِمْسَاكٌ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌ بِإِحْسَانٍ ۗ

Maksudnya: “Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik.”

(Surah al-Baqarah: 229)

Imam Ibn Hajar al-Haitami dan Imam Syams al-Din al-Ramli menyebutkan, jika si isteri tidak mampu bersabar dengan suami yang sukar memberi nafkah, sama ada sejak dari awal dia tidak sabar atau pada akhirnya dia hilang kesabaran, si isteri berhak menuntut fasakh menurut pandangan yang lebih sahih. Ini berdasarkan khabar yang diriwayatkan oleh al-Daruqutni dan al-Baihaqi tentang keadaan lelaki yang tidak mempunyai apa-apa untuk diberikan sebagai nafkah kepada isterinya agar dipisahkan mereka.

Saidina ‘Umar R.A telah berhukum dengan hukum ini, dan tidak ada seorang pun sahabat yang menyelisihi beliau. Dinukilkan daripada Ibn al-Musayyib, katanya: “Sesungguhnya ini adalah sunnah, dan lebih awla difasakhkan jika melibatkan masalah mati pucuk. Dan tidak boleh menuntut fasakh jika tidak mampu beri ketidak mampuan itu pada nafkah yang telah lalu, atau tidak mampu menyediakan pembantu rumah.” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 8/336; Nihayah al-Muhtaj, 7/212)

Syeikh ‘Abdullah bin ‘Abd al-Rahman al-Bassam menukilkan kalam Imam Ibn al-Munzir, katanya: “Telah thabit bahawa ‘Umar menuliskan kepada anggota tenteranya agar memberikan nafkah kepada isteri mereka atau menceraikan mereka. Maka jika thabit suami itu sukar memberikan nafkah, maka isteri berhak menuntut fasakh tanpa ditangguhkan.” (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 6/52)

Kesimpulan

Natijah dari perbincangan yang kami bawakan di atas, sekiranya suami menghadapi kesukaran sehingga tidak mampu untuk menunaikan dan menyediakan nafkah buat isteri, maka syara‘ memberikan kebenaran kepada isteri tersebut untuk menuntut fasakh jika tidak mampu bersabar dengan keadaan tersebut.

Akan tetapi, kami menasihatkan agar setiap pasangan suami isteri yang menghadapi masalah ekonomi rumahtangga atau lainnya, berbincanglah dengan baik terlebih dahulu agar keduanya dapat sama-sama mencapai kata putus yang terbaik. Ingatlah bahawa penceraian itu bukan sahaja memberikan kesan kepada pasangan, bahkan orang sekeliling yang terdekat turut menerima kesannya terutamanya anak-anak dan ahli keluarga yang lain.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 20 Oktober 2023 bersamaan 5 Rabiulakhir 1445