Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Gula adalah musuh negara no 1 dan rakyat Malaysia merupakan juara bagi diabetes dan obesiti dalam dunia. Bukankah sudah tiba masa untuk para mufti memainkan peranan untuk mengeluarkan fatwa pengharaman pengambilan gula secara berlebihan agar membendung penyakit ini dari terus bermaharajalela.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Definisi Gula
Gula adalah karbohidrat ringkas yang membekalkan sumber tenaga segera yang mudah diserap oleh tubuh. Secara semulajadi, gula boleh didapati dalam makanan yang mengandungi karbohidrat seperti nasi, mi, roti, pasta dan ubi-ubian. Gula juga terdapat dalam buah-buahan dalam bentuk fruktosa, dan susu dalam bentuk laktosa. (Lihat Portal Kementerian Kesihatan Malaysia)[1]
Kesan Mengambil Gula Berlebihan
Antara kesan berlebihan dalam mengambil gula adalah seperti peningkatan berat badan (obesiti), diabetes, darah tinggi, mati pucuk dan sakit jantung.
Saranan bagi Mengatasi Masalah Mengambil Gula Berlebihan
- Makan makanan yang rendah gula.
- Tidak mengambil makanan bergula sebelum tidur.
- Banyakkan minum air kosong dan kurangkan minum air manis seperti berkarbonat,kordial, cendol dan air batu campur (ABC).
Kesimpulan
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan dalam isu ini, ia sebenarnya bergantung kepada cara pengambilan gula seseorang itu dalam kehidupan seharian. Meskipun gula itu jika dipandang banyak keburukan, namun hakikatnya banyak kegunaannya. Antaranya:
- Tanpa gula (glukosa), sel-sel di dalam badan tidak mampu berfungsi dengan baik.
- Sel otak gagal berfungsi yang akhirnya menjadikan seseorang itu boleh hilang kewarasan/ pengsan. (Lihat Portal Hello Doktor)[2]
- Dapat merawat tekanan.
Dari sini kita dapat lihat bahawa semuanya bergantung kepada diri sendiri sama ada memilih yang baik untuk tubuh badan kita ataupun makan dan minum sesuatu benda itu secara berlebihan. Oleh sebab itu, Allah berfirman:
وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلَا تُسْرِفُوا ۚ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ
Maksudnya: “Dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.”
Surah al-A’raf (31)
Oleh kerana itu, kami nasihatkan berpada-padalah dalam mengambil apa-apa makan dan minum khususnya yang boleh mendatangkan mudharat jika berlebihan. Penggunaan gula itu sendiri tidak salah kerana ada kebaikannya, namun janganlah sehingga berlebihan kerana sudah tentu suatu yang berlebihan itu akan memudaratkan seseorang. Atas asas itu, kami nyatakan hukum mengambil gula itu kembali kepada hukum asal yakni harus. Namun jika ia diambil secara berlebihan hukumnya berdosa. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:
وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ
Maksudnya: Dan janganlah kamu mencampakkan (diri kamu) dengan tangan-tangan kamu ke arah kebinasaan.
Surah al-Baqarah (195)
Imam al-Baghawi menyatakan, menurut satu pandangan (التَّهْلُكَةُ) iaitu termasuk setiap perkara yang mengarahkan kepada kerosakan, serta larangan supaya jangan melakukan perkara tersebut. Selain itu, (التَّهْلُكَةُ) sesuatu perkara yang perlu berwaspada dan berhati-hati daripadanya. (Lihat Tafsir a-Baghawi, 1/215)
Syeikh al-Sa’di menyebut (التَّهْلُكَةُ) adalah perbuatan yang menyebabkan terjadinya kerosakan pada jasad atau ruh. Oleh itu, ianya termasuk dalam pelbagai perkara, di antaranya adalah menjadikan sesuatu perkara sebagai masalah atau kesusahan. (Lihat Tafsir al-Sa’di, 1/90)
Akhir kalam, marilah sama-sama kita berdoa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنَ البَرَصِ، وَالْجُنُونِ، وَالْجُذَامِ، وَمِنْ سَيِّئِ الْأَسْقَامِ
Maksudnya: “Ya Allah, kami berlindung dengan-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan penyakit-penyakit yang buruk.”
[1] http://www.myhealth.gov.my/fakta-mengenai-gula-2/
[2] https://hellodoktor.com/kencing-manis/diabetes-jenis-dua/memahami-gula-di-dalam-darah/
Bertarikh: 20 Oktober 2023 bersamaan 5 Rabiulakhir 1445