#3689: Hadith tentang Haji untuk Syubrumah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh ustaz jelaskan berkenaan hadith Syubrumah dalam pelaksanaan ibadah haji?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami kemukakan hadith daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, katanya:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَمِعَ رَجُلاً يَقُولُ : لَبَّيْكَ عَنْ شُبْرُمَةَ ، قَالَ : مَنْ شُبْرُمَةُ ؟ قَالَ : أَخٌ لِي – أَوْ قَرِيبٌ لِي – قَالَ : حَجَجْتَ عَنْ نَفْسِكَ ؟ قَالَ : لاَ ، قَالَ : حُجَّ عَنْ نَفْسِكَ، ثُمَّ حُجَّ عَنْ شُبْرُمَةَ.

Maksudnya: “Bahawa Nabi SAW mendengar seorang lelaki berkata: ‘لَبَّيْكَ عَنْ شُبْرُمَةَ’ (“Aku menyahut seruan-Mu bagi pihak Syubrumah.”) Lalu Nabi SAW bertanya: “Siapa Syubrumah?” Dia menjawab: “Saudara lelakiku – atau kerabatku.” Rasulullah SAW bertanya lagi: “Sudahkah engkau menunaikan haji untuk dirimu?” Dia menjawab: “Belum.” Lalu Nabi SAW berkata: “Tunaikanlah haji untuk dirimu dahulu. Kemudian barulah tunaikan haji untuk Syubrumah.”

Riwayat Abu Daud (1811) dan Ibn Majah (2903). Isnad hadith ini sahih sebagaimana dinyatakan oleh Syeikh Syu’aib al-Arna’ut dalam takhrij Sunan Abi Dawud.

Berdasarkan hadith di atas, Syeikh al-’Azim Abadi menukilkan bahawa al-Hafiz Ibn Hajar menjelaskan dalam al-Talkhis seperti berikut:

أَنَّهُ لَا يَجُوزُ لِمَنْ لَمْ يَحُجَّ عَنْ نَفْسِهِ أَنْ يَحُجَّ عَنْ غَيْرِهِ وَسَوَاءً كَانَ مُسْتَطِيعًا أَوْ غَيْرَ مُسْتَطِيعٍ لِأَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَمْ يَسْتَفْصِلْ هَذَا الرَّجُلَ الَّذِي سَمِعَهُ يُلَبِّي عَنْ شُبْرُمَةَ

Maksudnya: “Tidak dibolehkan untuk seseorang yang belum melaksanakn haji untuk dirinya sendiri, untuk mengerjakan haji bagi orang lain, sama ada seseorang itu berkemampuan atau tidak. Ini kerana, Nabi SAW tidak memperincikan keadaan lelaki yang melakukan haji untuk Syubrumah.” (Lihat ‘Aun al-Ma’bud Syarh Sunan Abi Dawud, 5/174)

Berdasarkan hadith di atas juga, Syeikh Abdullah al-Bassam menyebut:

  • Disunatkan menyebut nama orang yang dihajikan ketika bertalbiyah, berdasarkan iqrar (pengakuan) Nabi SAW terhadap talbiyahnya lelaki tersebut.
  • Hukumnya boleh bagi seseorang untuk menghajikan kerabatnya sama ada yang masih hidup atau yang sudah meninggal dunia. Namun dalam situasi haji yang hukumnya sunat bagi seseorang, maka boleh melakukan haji bagi untuk orang tersebut sama ada dia dalam keadaan mampu atau tidak dalam melaksanakannya. Sedangkan dalam situasi haji yang hukumnya fardhu bagi seseorang, maka dia tidak boleh dihajikan sehingga dia benar-benar tidak mampu melaksanakan haji dengan dirinya sendiri.
  • Orang yang menghajikan seseorang (wakil) disyaratkan pernah melakukan kewajiban haji.
  • Haji adalah suatu amalan yang syaratnya sebagai mendekatkan diri (kepada Allah) bagi pelakunya. Disebabkan itu, tidak boleh menyewa seseeorang untuk menggantikan dirinya untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Sekiranya ibadah ini dilakukan hanya untuk kepentingan dunia belaka, maka hajinya tidak dikatakan sebagai ibadah kepada Allah SWT, tetapi hanya sekadar perbuatan mewakilkan yang bertujuan untuk memberikan kemanfaatan bagi saudara sesama Muslim, sama ada kerana hubungan tali kekerabatan, atau persahabatan, atau selainnya. Bagi orang tersebut (yang diwakilkan) mendapatkan tujuan melaksanakan haji ke Baitullah al-Haram, mengunjungi Masy’aril Haram; hajinya menjadi lillahi ta’ala (kerana Allah) meskipun melalui sebab (diwakilkan). (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 4/18)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman kepada kita dalam agama. Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

Bertarikh: 20 Oktober 2023 bersamaan 5 Rabiulakhir 1445