Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya apa doa yang sepatutnya dibaca oleh suami kepada isteri selepas berkahwin ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Perkahwinan adalah satu akad yang suci, ia diibaratkan sebagai satu ikatan yang kuat (مِيثَاقاً غَلِيظًا). Ini berdasarkan firman Allah SWT:
وَأَخَذْنَ مِنْكُمْ مِيثَاقًا غَلِيظًا
Maksudnya: “Mereka (para wanita itu) telah mengambil perjanjian yang berat dari kamu.”
(Surah al-Nisa’: 21)
Syeikh Mutawalli al-Sya‘rawi meyebutkan ketika menafsirkan (مِيثَاقاً غَلِيظًا) bahawa dengan ikatan perkahwinan ini, akan dihalalkan bagi wanita perkara-perkara yang tidak pernah dihalalkan baginya melainkan dengan ikatan ini. Hal yang demikian kerana termasuklah dalam ikatan ini keharusan melihat aurat, yang mana ia merupakan perkara yang berat (غَلِيظٌ). Jika sekiranya perkahwinan itu bukanlah satu ikatan yang berat, maka Allah SWT tidak akan menghalalkan melihat aurat. Kerana itulah Allah SWT menyebutkan (وَقَدْ أَفْضَىٰ بَعْضُكُمْ إِلَىٰ بَعْضٍ), ifdha’ (إِفْضَاءٌ) yang bermaksud pendedahan (kerana dibenarkan mendedahkan aura tantara suami isteri).[1]
Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin menyebutkan di dalam tafsirnya bahawa tiada akad yang setanding dengan akad perkahwinan. Sesungguhnya akad yang paling berat dan paling berisiko adalah akad perkahwinan. Hal ini kerana ia membawa banyak tanggungjawab seperti sahnya hubungan mahram, hubungan kekeluargaan, kewajipan nafkah, dan banyak tanggungjawab lain. (Lihat Tafsir al-Quran al-Karim, 1/161)
Perkahwinan atau pernikahan adalah sangat dituntut di dalam Islam. Sudah menjadi fitrah manusia untuk saling berkasih sayang ini diperjelaskan di dalam Al-Quran melalui firman Allah SWT:
وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً
Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang.”
(Surah al-Rum: 21)
Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan antara perkara sunnat yang dianjurkan untuk dilakukan oleh suami setelah selesai mengakad nikah adalah mendoakan isteri dengan meletakkan tangan di atas ubun-ubunnya dengan membacakan :
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ خَيْرَهَا وَخَيْرَ مَا جَبَلْتَهَا عَلَيْهِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّهَا وَشَرِّ مَا جَبَلْتَهَا عَلَيْ
Maksudnya: Ya Allah! Aku memohon kepada-Mu kebaikan isteriku ini yang Engkau telah ciptakan atasnya, dan aku berlindung dengan-Mu daripada keburukan yang Engkau telah ciptakan atasnya.
Riwayat Abu Dawud (2160), Ibn Majah (2252,1918)
Begitu juga amalan sunnat ini boleh dilihat melalui hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah Bin Mas’d bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا تَزَوَّجَ أَحَدُكُمْ، وَدَخَلَ عَلَى أَهْلِهِ فَلْيَضَعْ يَدَهُ عَلَى رَأْسِهَا، وَلْيَقُلْ: اللَّهُمَّ بَارِكْ لِي فِي أَهْلِي، وَبَارِكْ لِأَهْلِي فِيَّ، وارْزُقْنِي مِنْهَا، وَارْزُقْهَا مِنِّي، وَاجْمَعْ بَيْنَنَا مَا جَمَعْتَ فيِ خَيرٍ، فَإِذَا فَرَّقْتَ بَيْنَنَا، فَفَرِّقْ عَلَى خَيْرٍ
Maksudnya: Apabila salah seorang daripada kalian berkahwin kemudian dia masuk ke tempat isterinya makan letakkanlah tangan ke atas kepalanya dan bacalah doa: Ya Allah! Berkatilah diriku dengan apa yang ada pada keluargaku, dan berkatilah keluargaku dengan apa yang ada pada diriku. Ya Allah! Rezekikanlah aku daripada apa yang ada pada keluargaku, den rezekikanlah mereka daripada apa yang ada padaku. Ya Allah! Satukanlah antara kami dengan pertemuan ke arah kebaikan, dan, jika engkau takdirkan perpisahan, pisahkanlah kami (juga) ke arah kebaikan
Riwayat Abd al-Razzaq di dalam Musannafnya (10460) , al-Tabarani di dalam al-Mu’jam al-Kabir (8993).
Syeikh Ibn Baz menyatakan bahawa: Apabila seorang lelaki memasuki bilik isterinya untuk pertama kalinya, dia mengambil tangan dan meletakkan di atas kepala isterinya serta berdoa: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu kebaikannya dan segala kebaikan yang Engkau anugerahkan kepadanya. Aku berlindung kepada-Mu dari segala kejahatan yang ada padanya dan segala kejahatan yang Engkau anugerahkan kepadanya.”
Dia juga boleh berdoa dengan doa lain untuk memohon kebaikan untuk isterinya, meminta agar dia menjadi isteri yang solehah, dan memohon untuk mendapatkan keturunan yang baik. Semua doa ini adalah sah dan dianjurkan. Namun, apa yang telah warid dalam hadith adalah seperti yang di nyatakan di atas. Sekiranya dia mendirikan solat dua rakaat dan berdoa kepada Allah maka itulah amalan yang baik sebagaimana yang diriwayatkan oleh salaf.[2]
Justeru kami katakan antara perkara yang amat dianjurkan oleh suami ketika selesai melangsungkan akad perkahwinan adalah dengan mendoakan agar dikurniakan kebaikan dengan kehadiran isteri sebagai teman hidup dan berlindung dari segala keburukan yang mendatang. Kami akhiri dengan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ رَزَقَهُ اللهُ امْرَأَةً صَالِحَةً، فَقَدْ أَعَانَهُ عَلَى شَطْرِ دِينِهِ
Maksudnya: “Siapa yang Allah rezekikan padanya isteri yang solehah, maka sebenarnya Allah telah membantunya pada separuh agamanya.”
Riwayat al-Hakim (2681) dan al-Baihaqi (5487) di dalam Syu‘ab al-Iman. Al-Albani menghukum hadith ini (1916) bertaraf Hasan li Ghairih di dalam Sahih al-Taghrib.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan marilah sama-sama kita berdoa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
Wallahua’lam
[1] Lihat https://www.youtube.com/watch?v=MCNayNyS7Iw. – Diakses pada 19 Oktober 2023
[2] Lihat https://binbaz.org.sa/fatwas/7384/%D9% – Diakses pada 19 Oktober 2023
Bertarikh: 20 Oktober 2023 bersamaan 5 Rabiulakhir 1445