#3691: Tahi Bayi Lelaki Bawah Dua Tahun

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan.  Sepengetahuan saya bayi lelaki yang berusia kurang dua tahun, yang hanya menyusu susu ibunya, najisnya dikira sebagai najis ringan (mukhaffafah), betul kan? Jadi, adakah tahinya itu boleh dibasuh dengan hanya dipercikkan air selepas dihilangkan atau dilap dengan tisu? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ

Maksudnya:SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.

(Surah al-Baqarah: 222)

Ertinya, Allah suka kepada orang yang bersih daripada hadas dan kekotoran, sama ada kekotoran zahir atau batin. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/71).

Dalam menjawab soalan di atas, pertamanya, najis mukhaffafah ialah najis yang ringan. Ia dinamakan sedemikian kerana Allah telah memberi keringanan pada hukumnya. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 134).

Selain itu, Imam al-Nawawi menyebutkan, tiada khilaf dalam kalangan ulama berkenaan kenajisan najis mukhaffafah. Malah terdapat sebahagian dalam kalangan ulama mazhab Syafi‘i menukilkan bahawa para ulama telah ijma‘ akan perkara ini dan tiada seorang pun yang menyelisihinya melainkan Daud al-Zahiri. Al-Khattabi dan ulama selainnya menyatakan, bukanlah bermaksud apabila dibenarkan membersihkan air kencing bayi lelaki bawah dua tahun dengan hanya al-Nadh (النَّضْح)[1] disebabkan oleh ia tidak dianggap sebagai najis, akan tetapi kerana kelonggaran (yakni keringanan yang diberikan oleh syarak) bagi membersihkannya. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 3/195).

Walau bagaimanapun, najis tersebut hanya dikira sebagai najis mukhaffafah sekiranya memenuhi kesemua empat syarat yang berikut:

  • Ia adalah air kencing.
  • Ia adalah bahan buangan daripada bayi lelaki.
  • Bayi tersebut belum lagi berumur dua tahun.
  • Bayi tersebut belum lagi memakan apa-apa makanan yang mengenyangkan selain daripada menyusu.

Sekiranya tidak cukup salah satu daripada syarat-syarat tersebut, maka ia termasuk dalam kategori najis sederhana (mutawassitah). (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 134).

Justeru, berdasarkan kepada syarat-syarat di atas, jelaslah bahawa hanya air kencing yang termasuk dalam kategori najis mukhaffafah, manakala selainnya seperti tahi dan seumpamanya tidak termasuk dalam najis tersebut sekalipun ia memenuhi tiga syarat yang berbaki.

Keduanya, berkenaan cara membersihkan atau menyucikan najis mukhaffafah pula adalah dengan dipercikkan air ke atasnya dengan memastikan percikkan tersebut mengenai semua kawasan atau kesan air kencing tersebut. Selain itu, disyaratkan juga bahawa air tersebut mestilah lebih banyak daripada air kencing meskipun tidak mengalir.

Hal ini adalah sebagaimana difahami melalui kenyataan Habib Hasan al-Kaff bahawa najis mukhaffafah boleh dibersihkan dengan cara merenjiskan air ke atas kesan air kencing tersebut dengan syarat air itu mestilah lebih banyak daripada air kencing, dan tidak disyaratkan air tersebut mengalir sehinggalah hilang ain najis serta sifat-sifatnya — yakni bau, rasa dan warna. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 134).

Begitu juga, Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari turut menyatakan, najis mukhaffafah boleh dibersihkan dengan memercikkan air ke atasnya sekira-kira rata dan melebihinya (yakni air tersebut mesti lebih banyak daripada air kencing) sekalipun tidak mengalir. (Lihat Fath al-Wahhab, 1/25).

Bagi yang berkeinginan untuk mendapatkan maklumat tambahan dan penjelasan lanjut mengenai perbahasan cara membersihkan najis ringan (mukhaffafah), maka bolehlah merujuk artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: #700 Cara Membersihkan Najis Mukhaffafah.[2]

Oleh yang demikian, najis mukhaffafah masih lagi belum dikira suci dengan hanya dibersihkan atau dilap dengan tisu. Ini kerana ia mesti dipercikkan air ke atasnya dan dipastikan air tersebut mestilah lebih banyak daripada air kencing meskipun tidak mengalir.

Kesimpulannya

Berbalik kepada soalan yang diajukan, jelaslah bahawa tahi bayi lelaki bawah dua tahun yang hanya menyusu susu ibunya tidak termasuk dalam kategori najis mukhaffafah, sebaliknya ia termasuk dalam kategori najis mutawassitah. Oleh itu, jika ia dibersihkan sebagaimana cara menyucikan najis mukhaffafah, maka masih lagi belum boleh dianggap sebagai suci dan bersih. Tidak cukup dengan hanya mengelapnya dengan tisu lalu memercikkan air pada bahagian tersebut.

Dalam erti kata lain, cara bagi menyucikannya mestilah sebagaimana cara membersihkan najis mutawassitah iaitu dengan menggunakan air mutlak sehingga hilang ‘ain dan sifat-sifatnya — iaitu bau, rasa dan warna. Penjelasan lanjut berkenaan cara membersihkan atau menyucikan najis mutawassitah, bolehlah merujuk kepada artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: #713 Cara Membersihkan Najis Mutawassitah.[3]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

[1] Imam al-Nawawi mendefinisikan al-Nadh “النَّضْح” sebagai menggenangi dan memperbanyakkan air sekalipun air tersebut tidak mengalir. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 3/195).

[2] Lihat https://maktabahalbakri.com/700-cara-membersihkan-najis-mukhaffafah/. Diakses pada 20 April 2023.

[3] Lihat https://maktabahalbakri.com/713-cara-membersihkan-najis-mutawassitah/. Diakses pada 19 Oktober 2023.

Bertarikh: 20 Oktober 2023 bersamaan 5 Rabiulakhir 1445