Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah pemandu e-hailing boleh menjamakkan solat dengan alasan berjalan lebih dua marhalah? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Secara umumnya, solat secara jamak mahupun secara qasar termasuk dalam bentuk rukhsah atau kemudahan yang diberikan kepada orang yang bermusafir ketika bersolat. Justeru, dia boleh melakukan solat yang empat rakaat, iaitu Zuhur, Asar dan Isyak dengan dua rakaat sahaja. Begitu juga dia boleh menghimpunkan (secara jamak) dua solat ketika menunaikannya iaitu antara solat Zuhur dan Asar dan antara solat Maghrib dan Isyak. Di antara dalil disyariatkan qasar ialah firman Allah SWT:
وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِي الْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ
Maksudnya: “Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa “mengqasarkan” (memendekkan) sembahyang.”
(Surah al-Nisa’: 101)
Ungkapan فَلَيۡسَ عَلَيۡكُمۡ جُنَاحٌ yang bermaksud “maka tidaklah berdosa” difahami oleh para ulama ia digunakan bagi menunjukkan keharusan. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/339)
Manakala di antara dalil disyariatkan jamak pula adalah berdasarkan hadith, daripada Ibn Abbas R.Anhuma, katanya:
كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَجْمَعُ بَيْنَ صَلاَةِ الظُّهْرِ وَالعَصْرِ، إِذَا كَانَ عَلَى ظَهْرِ سَيْرٍ وَيَجْمَعُ بَيْنَ المَغْرِبِ وَالعِشَاءِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW pernah menjamakkan solat Zohor dan Asar apabila Baginda dalam perjalanan, dan Baginda turut menjamakkan antara solat Maghrib dan Isyak.”
Riwayat al-Bukhari (1107)
Dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa musafir bererti seseorang yang melakukan perjalanan jauh melebihi dua marhalah. Dua marhalah ini digunakan bagi jarak yang dibolehkan seseorang itu melaksanakan solat secara qasar dan jamak solat bagi yang bermusafir. Dalam erti kata lain, ia adalah ukuran perjalanan yang dibolehkan seseorang itu melaksanakan solat secara qasar dan jamak.
Secara umumnya, para ulama berselisih pendapat dalam menentukan ukuran dua marhalah tersebut. Namun, nilaian jarak semasa mengikut sukatan moden berdasarkan kilometer adalah seperti berikut:
- Menurut Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili, dua marhalah itu bersamaan 88.704 km. (Lihat al-Wajiz, 1/266).
- Syeikh Muhammad Ali al-Sabuni menganggarkan 84 km. (Lihat al-Fiqh al-Syafi‘i al-Muyassar, 131)
- Menurut Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff, dua marhalah itu bersamaan lebih kurang 82 km dan lebih. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 315).
- Menurut pengarang al-Fiqh al-Manhaji, dua marhalah seperti yang ditakrifkan secara taqriban, adalah lebih 81 kilometer. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/187).
Selain itu, Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-118 yang bersidang pada 16 hingga 17 Februari 2021 telah membincangkan mengenai Hukum Penentuan Kadar Dua Marhalah, Qaryah Dan Balad Dari Perspektif Fiqh Semasa. Lalu di antara keputusannya, penyelarasan kadar dua (2) marhalah adalah 81 km (taqribi).[1]
Sekiranya sudah sabit permusafiran tersebut, maka dibolehkan baginya untuk mendapat kemudahan (rukhsah) bagi menjamakkan atau mengqasarkan solatnya. Hal ini kerana dalil-dalil menunjukkan kepada keharusan melakukan jamak dan qasar bagi orang yang bermusafir. Ini adalah seperti mana hadith Mu‘az bin Jabal R.A, katanya:
خَرَجْنا مع رَسولِ اللهِ ﷺ في غَزْوَةِ تَبُوكَ، فَكانَ يُصَلِّي الظُّهْرَ والعَصْرَ جَمِيعًا، والمَغْرِبَ والعِشاءَ جَمِيعًا
Maksudnya: “Kami keluar bersama Rasulullah SAW ekspedisi peperangan Tabuk. Lalu Baginda SAW menunaikan solat Zuhur dan Asar secara jamak, dan begitu juga solat Maghrib dan Isyak secara jamak.”
Riwayat Muslim (706)
Seterusnya dinyatakan juga bahawa di antara syarat lain bagi membolehkan seseorang yang bermusafir itu melakukan solat secara jamak dan qasar ialah perjalanan tersebut tidak bertujuan maksiat. Justeru, tidak diambil kira perjalanan musafir untuk berniaga arak, mengamalkan riba’ atau menyamun. Ini kerana solat secara jamak dan qasar merupakan keringanan yang disyariatkan untuk menunaikan sesuatu tanggungjawab, dan ia tidak boleh terkait dengan sebarang maksiat.
Begitu juga perjalanan itu tentu tempat tujuannya. Oleh itu, orang yang merayau-rayau tanpa tujuan ke tempat yang tertentu, dan orang yang mengikut ketuanya tanpa mengetahui ke mana hendak dibawanya, perjalanan mereka tidak mengharuskan qasar (dan jamak) kecuali setelah menjangkau jarak perjalanan yang jauh. Ini kerana telah diyakini jauh perjalanannya.
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa pemandu e-hailing yang perjalanannya melebihi dua marhalah iaitu sekira-sekira 81 kilometer atau lebih boleh menjamakkan dan mengqasarkan solatnya kerana dia sudah dikira sebagai musafir. Sekalipun begitu, disyaratkan bahawa perjalanan yang dilakukannya itu tidak bertujuan maksiat seperti bermusafir untuk berniaga arak, mengamalkan riba’, menyamun dan seumpamanya.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”
Surah Ibrahim (40)
[1] Lihat https://i-fiqh.islam.gov.my/portal/view.php?id=16590. Diakses pada 19 Oktober 2023.
Bertarikh: 20 Oktober 2023 bersamaan 5 Rabiulakhir 1445