#3699: Mereka yang Diutamakan Infaq Harta Kepadanya

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Kalau seseorang itu mempunyai wang dan harta yang banyak, siapakah yang lebih utama untuk dia infaq dan belanjakan harta kepadanya?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan  firman Allah SWT:

وَمَثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمُ ابْتِغَاءَ مَرْضَاتِ اللَّـهِ وَتَثْبِيتًا مِّنْ أَنفُسِهِمْ كَمَثَلِ جَنَّةٍ بِرَبْوَةٍ أَصَابَهَا وَابِلٌ فَآتَتْ أُكُلَهَا ضِعْفَيْنِ فَإِن لَّمْ يُصِبْهَا وَابِلٌ فَطَلٌّ ۗ وَاللَّـهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ

Maksudnya: “Dan bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredhaan Allah dan kerana meneguhkan (iman dan perasaan ikhlas) yang timbul dari jiwa mereka, adalah seperti sebuah kebun di tempat yang tinggi, yang ditimpa hujan lebat, lalu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda. Kalau ia tidak ditimpa hujan lebat maka hujan renyai-renyai pun (cukup untuk menyiramnya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa melihat akan apa yang kamu lakukan.”

(Surah al-Baqarah: 265)

Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebutkan, gambaran infaq mereka ini sama ada yang banyak mahupun sedikit adalah bagaikan kebun yang memiliki tanah yang baik dan subur. Pepohondan tumbuhannya berkembang dengan baik. Kebun ini terletak di dataran yang tinggi, yang memperoleh sinar matahari dan pengudaraan yang baik serta disirami oleh hujan yang lebat sehingga tumbuh-tumbuhannya menghasilkan buah dua kali ganda lebih banyak berbanding yang lain. Jika kebun itu disirami oleh hujan gerimis, maka hal itu pun sudah mencukupi dan mampu menjadikan pohon-pohonnya tumbuh dengan baik dan tetap menghasilkan buah yang melimpah. Hal ini disebabkan tanahnya yang subur dan kedudukannya yang strategik. Manakala sebab kenapa kebun yang dijadikan perumpamaan di sini adalah kebun yang berada di rabwah (dataran tinggi), kerana pohon dan tumbuhan yang ada di kawasan tinggi lebih baik dan buah yang dihasilkannya juga lebih baik.

Allah SWT dengan kemurahan-Nya mengembangkan infaq yang dikeluarkan oleh orang-orang yang ikhlas dan memberi mereka balasan yang lebih banyak seperti sebuah kebun yang menghasilkan buah dua kali ganda lebih banyak berbanding buah yang dihasilkan kebun-kebun yang lain. Hal ini bertujuan memujuk hati dan fikiran kita. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 2/80)

Melihat kepada persoalan di atas, syara‘ telah menyebutkan tentang mereka yang awla untuk kita infaq dan bersedekah harta kepada mereka secara umum. Syari‘at Islam menekankan agar kita mengutamakan kebajikan yang paling hampir dengan kita terlebih dahulu, iaitulah diri sendiri, kemudian ahli keluarga sendiri kerana mereka adalah insan yang hampir dengan kita, dan barulah kepada orang lain yang memerlukan.

Firman Allah SWT:

وَآتِ ذَا الْقُرْبَىٰ حَقَّهُ وَالْمِسْكِينَ وَابْنَ السَّبِيلِ وَلَا تُبَذِّرْ تَبْذِيرًا

Maksudnya: “Dan berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau.”

(Surah al-Isra’: 26)

Ini juga sebagaimana dalam hadith Abu Hurairah R.A, katanya:

جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبيِّ ﷺ فقَالَ: يَا رَسُولَ اللهِ عِنْدِي دِيْنارٌ. قَالَ: أَنْفِقْهُ عَلَى نَفْسِكَ. قَالَ: عِنْدِي آخَرُ. قَالَ: أنْفِقْهُ عَلى وَلَدِكَ. قَالَ: عِنْدِي آخَرُ؟ قَالَ: أنْفِقْهُ عَلَى أهْلِكَ. قَالَ: عِنْدِي آخَرُ؟ قَالَ: أنْفِقْهُ عَلَى خَادمِكَ. قَالَ: عِنْدِي آخَرُ؟ قَالَ: أنْتَ أَعْلَمُ

Maksudnya: “Seorang lelaki telah datang bertemu Nabi SAW lalu berkata: ‘Wahai Rasulullah, aku ada satu dinar.’ Baginda SAW bersabda: ‘Jadikan nafkah untuk dirimu.’ Lelaki tersebut berkata lagi: ‘Aku ada satu dinar lagi.’ Baginda SAW bersabda: ‘Berikan sebagai nafkah kepada anakmu.’ Lelaki tersebut berkata lagi: ‘Aku ada satu dinar lagi.’ Baginda SAW bersabda: ‘Berikan sebagai nafkah kepada Isterimu.’ Lelaki tersebut berkata lagi: ‘Aku ada satu dinar lagi.’ Baginda SAW bersabda: ‘Berikan sebagai nafkah kepada pembantu kamu.’ Lelaki tersebut berkata lagi: ‘Aku ada satu dinar lagi.’ Baginda SAW bersabda: ‘Engkau lebih tahu (ia untuk siapa)’.”

Riwayat Abu Dawud (1691), al-Nasa’ie (2535), Ahmad (7413) dan Ibn Hibban (3337)

Syeikh ‘Abdullah bin ‘Abd al-Rahman al-Bassam mengatakan, lelaki yang bertanya itu memaksudkan infaq sebagai sedekah wang dinar yang dimilikinya, maka Rasulullah SAW memberitahu mengikut turutan dari yang lebih awla.  (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 6/53)

Diriwayatkan juga daripada Jabir bin ‘Abdullah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ابْدَأْ بِنَفْسِكَ فَتَصَدَّقْ عَلَيْهَا، فَإِنْ فَضَلَ شَيْءٌ فَلأَهْلِكَ، فَإِنْ فَضَلَ عَنْ أَهْلِكَ شَيْءٌ فَلِذِي قَرَابَتِكَ، فَإِنْ فَضَلَ عَنْ ذِي قَرَابَتِكَ شَيْءٌ، فَهَكَذَا وَهَكَذَا. يقولُ: فَبيْنَ يَدَيْكَ وَعَنْ يَمِينِكَ وَعَنْ شِمالِكَ

Maksudnya: “Mulakanlah dari dirimu sendiri dan bersedekahlah (menabung) untuk dirimu. Jika ada lebihan dari itu, maka ianya untuk keluargamu (anak dan isterimu). Jika ada lebihan dari itu, maka ianya untuk kerabat dekatmu. Jika ada lebihan dari itu, maka ianya untuk tujuan ini dan itu, yang ada di hadapanmu, di kanan dan di kirimu.”

Riwayat Muslim (997) dan al-Nasa’ie (2546)

Imam al-Nawawi menyebutkan, antara faedah yang dapat diperoleh dari hadith ini adalah, apabila terdapat beberapa hak yang perlu ditunaikan maka perlu diutamakan yang paling penting kemudian yang terpenting seterusnya. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 7/83)

Perlu difahami bahawa nafkah dan infaq (sedekah) adalah dua perkara yang berbeza. Ini kerana, nafkah bersifat wajib manakala sedekah bersifat sunat. Untuk itu, jika seorang suami itu tidak memberi nafkah kepada isterinya maka suami tersebut telah melakukan dosa.

Akan tetapi, jika seorang suami itu tidak memberi infaq kepada isterinya, maka dia tidak dikira berdosa kerana infaq itu bukanlah suatu kewajiban. Adapun ganjaran atau pahala bagi seorang suami yang menginfaqkan harta kepada isteri atau keluarganya adalah lebih  baik daripada infaq kepada orang lain.

Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

دِينَارٌ أَنْفَقْتَهُ فِي سَبِيلِ اللهِ وَدِينَارٌ أَنْفَقْتَهُ فِي رَقَبَةٍ، وَدِينَارٌ تَصَدَّقْتَ بِهِ عَلَى مِسْكِينٍ، وَدِينَارٌ أَنْفَقْتَهُ عَلَى أَهْلِكَ، أَعْظَمُهَا أَجْرًا الَّذِي أَنْفَقْتَهُ عَلَى أَهْلِكَ

Maksudnya: “Dan dinar (harta) yang kamu belanjakan di jalan Allah dan dinar yang kamu berikan kepada hamba (untuk membebaskan) dan dinar yang kamu sedekahkan kepada orang miskin serta dinar yang kamu sedekahkan kepada keluargamu. Maka yang paling besar ganjaran pahalanya adalah yang kamu sedekahkan kepada keluargamu.”

Riwayat Muslim (995)

Imam al-Nawawi mengatakan, pemberian infaq kepada ahli keluarga adalah lebih afdhal berbanding memberi kepada orang asing (yang tidak mempunyai pertalian keluarga) jika mereka (ahli keluarga) berhajat kepadanya. Tambahan pula, ahli keluarga perlu diraikan hak mereka berdasarkan pertalian silaturrahim sekalipun pertalian tersebut jauh. Ini kerana, Rasulullah SAW memerintahkan Abu Talhah R.A untuk memberikan sedekahnya kepada ahli keluarganya, maka beliau memberikannya kepada Ubai bin Ka‘ab R.A dan Hassan bin Thabit R.A. Kedua sahabat ini berhimpun pada nasab datuk yang ke-7. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 86/7)

Dalam pada itu, tuntutan untuk memberi infaq sedekah kepada selain daripada ahli keluarga, terutamanya pada keadaan yang memerlukan amatlah digalakkan oleh syara‘. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

مَّثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنبُلَةٍ مِّائَةُ حَبَّةٍ ۗ وَاللَّـهُ يُضَاعِفُ لِمَن يَشَاءُ ۗ وَاللَّـهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya: “Perbandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai dan tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas kurniaan-Nya lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya.”

(Surah al-Baqarah: 261)

Kesimpulan

Secara keseluruhannya, dapat kita fahami bahawa syara‘ telah menggariskan senarai mereka yang perlu diutamakan oleh kita untuk menghulurkan infaq kepadanya, lebih-lebih lagi jika dia mempunyai wang dan harta yang banyak.

Pertamanya, gunakan dan infaqkan harta kita untuk diri sendiri terlebih dahulu, dari segi kepentingan, keperluan atau kehendak peribadi. Seterusnya, digalakkan untuk mengutamakan anak-anak dan isteri kerana mereka merupakan orang yang paling dekat dengan kita, kemudian ahli keluarga lain yang terdekat seperti ibu bapa dan adik-beradik yang lain. Kemudian, barulah infaq itu diberikan kepada mereka yang memerlukan dari golongan faqir miskin.

Sekiranya ahli keluarga kita merupakan orang yang berharta dan tidak berhajat kepada wang sedekah, maka lebih awla untuk diutamakan mereka yang memerlukan dari golongan faqir miskin.

Semoga Allah SWT memberkati harta kekayaan yang kita peroleh serta melimpahkan lagi pemberiannya kepada kita, seterusnya mengurniakan sifat kemurahan hati untuk senantiasa berinfaq dan bersedekah kepada mereka yang memerlukan. Dan moga-moga, kita sentiasa mengucapkan lafaz syukur atas segala nikmat kurniaan Ilahi.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَدْخِلْنِي بِرَحْمَتِكَ فِي عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku – dengan limpah rahmat-Mu – dalam kumpulan hamba-hamba-Mu yang soleh.”

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 20 Oktober 2023 bersamaan 5 Rabiulakhir 1445