#3702: Jamak Qasar: Musafir 1 Hari

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya bermusafir dari Batang Kali ke Melaka pada hari Jumaat dan akan kembali ke batang kali pada hari sabtu keesokan harinya. Soalan saya boleh ke saya jamak qasar solat saya sekiranya saya sampai ke Melaka sebelum masuk waktu Zohor hari Jumaat dan juga boleh ke saya jamak qasar solat saya waktu Maghrib dan Isyak pada hari Jumaat itu di Melaka?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Solat jamak dan qasar adalah merupakan rukhsah yang diberikan oleh Allah SWT. Ia merupakan kemudahan yang dianugerahkan kepada umat Islam agar mereka boleh menunaikan ibadat solat di mana sahaja mereka berada. Perkara ini dinyatakan oleh Allah SWT di dalam firmannya:

وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِي الْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ

Maksudnya: “Dan jika kamu bermusafir di muka bumi ini, maka tidak berdosa ke atas kamu untuk memendekkan solat (solat empat rakaat dijadikan kepada dua rakaat).”

(Surah al-Nisa’:101)

Imam al-Nawawi berkata: “Ayat ini mengaitkan hukum qasar dengan al-dorb `ala al-ardh (permusafiran). Justeru, jika seseorang ialah penduduk suatu kota maka dia boleh qasar apabila dia berpisah daripada bangunan yang dinisbah kepada kota tersebut.” (Lihat al-Majmu` Syarh al-Muhazzab, 4/346)

Terdapat syarat-syarat yang perlu dipenuhi untuk melakukan solat jamak dan qasar. Antara syarat-syarat tersebut:

  • Mestilah berada dalam keadaan bermusafir, iaitu perjalanan ke destinasi yang sekurang-kurangnya dua marhalah, iaitu sekitar 81 km.
  • Perjalanan musafir tersebut telah melepasi sempadan mukim seperti kawasan kampung, taman perumahan atau daerah mengikut uruf setempat.
  • Dia tidak mengikuti imam yang menunaikan solat sempurna empat rakaat jika dia ingin mengqasarkan solat.
  • Dia tidak berniat menetap selama empat hari atau lebih di tempat yang dituju, selain hari mula dia sampai dan hari dia akan keluar dari destinasi. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/186)

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan dibolehkan untuk anda melakukan solat secara jamak qasar kerana ia menepati syarat-syarat yang telah ditentukan syarak. Perjalanan dari Batang kali, Hulu Selangor ke Melaka dianggarkan dalam jarak 195 km yang mana telah mencapai jarak 2 marhalah (sekitar 81 km). Oleh itu, tidak menjadi masalah untuk anda jamak qasar ketika dalam perjalanan ke Melaka, ketika berada di Melaka dan dalam perjalanan pulang ke Batang Kali semula selagi mana anda tidak sampai ke tempat bermukim anda di Batang kali.

Semoga perbahasan ini, sedikit sebanyak dapat membantu kita dalam melaksanakan perintah Allah dalam kehidupan harian kita.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.

Surah Ibrahim (40)

Bertarikh: 20 Oktober 2023 bersamaan 5 Rabiulakhir 1445