Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. soalan saya adakah semua ilmu itu hukumnya harus dipelajari? Mohon penjelasan dari Dr terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ
Maksudnya: “Allah meninggikan darjat orang yang beriman di antara kamu, dan orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dalam kalangan kamu) — beberapa darjat.”
(Surah al-Mujadalah: 11)
Ayat di atas menunjukkan bahawa wujudnya ganjaran di akhirat dan kemuliaan di dunia. Maka dengan itu, diangkat orang yang beriman daripada orang yang tidak beriman dan orang yang alim daripada orang yang tidak alim. Ibn Mas‘ud R.A menyebutkan bahawa Allah SWT memuji para ulama dalam ayat ini, di mana Allah SWT mengangkat kedudukan orang beriman yang diberi ilmu pengetahuan lebih tinggi berbanding orang beriman yang tidak diberikan ilmu pengetahuan dengan beberapa darjat. (Lihat Tafsir al-Qurtubi,17/299)
Selain itu, ilmu juga adalah jambatan untuk seseorang itu ke Syurga. Hal ini kerana ilmu merupakan perkara yang penting untuk memastikan seseorang itu beramal dengan benar dan tepat sebagaimana yang dikehendaki oleh syarak. Oleh yang demikian, terdapat satu riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا، سَهَّلَ اللهُ لَهُ بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ
Maksudnya: “Sesiapa yang menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah SWT akan memudahkan baginya jalan untuk ke Syurga.”
Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan: Allah akan meninggikan darjat para ulama kerana keunggulan ilmu dan amal mereka, di dunia mahupun di akhirat (Lihat al-Wajiz, hlm.546)
Berkenaan isu menuntut ilmu juga, anda boleh rujuk ke artikel sebelum ini:
#2136: Ilmu Yang Perlu Dikuasai
#2871: Isu Gopoh Dalam Belajar Ilmu
Kesimpulan
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan menuntut ilmu itu yang bersifat fardhu ‘ain hukumnya wajib dan amat dituntut di dalam Islam. Pelajarilah ilmu sebanyak yang mungkin dan amalkanlah ia semampu yang boleh. Namun, kami ingin menasihatikan anda, dalam mempelajari dan mengamalkan sesuatu ilmu, sebaiknya ia diselidik atau dikaji (tabayyun) terlebih dahulu agar tidak tersalah sehingga menyebabkan penyelewengan/ bercampur aduk dan bercanggah dengan syariat Islam yang sebenar.
Kami juga ingin menukilkan pandangan Imam al-Ghazali Imam al-Ghazali: Ilmu terbahagi kepada dua jenis iaitu syar’iyyah dan bukan syar’iyyah. Ilmu syarak ialah ilmu yang diperolehi dari para nabi, manakala ilmu bukan syarak terbahagi kepada ilmu mahmudah (baik) dan juga ilmu mazmumah (buruk) dan juga mubah (harus).
Ilmu-ilmu mahmudah ini adalah ilmu yang berkaitan dengan kebaikan di dunia seperti ilmu perubatan dan ilmu perhitungan. Maka inilah yang tergolong dalam fardhu kifayah, iaitu bukan menjadi kewajipan namun ia menjadi keutamaan. Adapun fardhu kifayah kerana ia adalah ilmu yang diperlukan untuk menguruskan urusan dunia seperti perubatan, ia penting untuk menjaga keperluan badan dan jasmani, kemudian contoh lain adalah seperti ilmu perhitungan, ia juga penting dalam bidang muamalat dan juga pembahagian harta pusaka dan sebagainya. Dan kesemua ilmu ini sekiranya tidak ada yang mempelajarinya (atau hilang dari sesebuah negeri) maka akan mendatangkan kesusahan kepada para penduduknya. (Lihat: Ihya’ ‘Ulum al-Din; 1/16-17)
Semoga Allah memberikan kita kefahaman yang jelas dalam beragama dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Wallahua’lam
Bertarikh: 20 Oktober 2023 bersamaan 5 Rabiulakhir 1445