#3706: Tidak Baca Qunut ketika Solat Bersendirian?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. saya ingin bertanya ketika solat bersendirian, adakah dibolehkan untuk saya tidak qunut Subuh atau saya perlu/wajib juga mengikut negeri saya sekarang yang ada bacaan qunut Subuh walaupun ketika solat bersendirian?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Anas Bin Malik beliau berkata :

مَا زَالَ رُسُولُ اللهِ ﷺ يَقْنُتُ فِي صَلَاةِ الصُّبْحِ حَتَّى فَارَقَ الدُنْيَا

Maksudnya: Rasulullah SAW masih membaca doa qunut dalam solat subuh sehingga Baginda wafat.

Riwayat Ahmad (12657), Ibn Hajar al-A’sqalani menilai hadith ini sebagai Hasan dalam Futuhat al-Rabbaniyyah, hlm.2/287)

Kesimpulan

Berbalik kepada persoalan di atas, kami nyatakan hukum membaca doa qunut adalah sunat Aba’d menurut mazhab Syafi’e dan apabila seseorang itu tertinggal atau terlupa doa qunut, maka disunatkan untuknya sujud sahwi. Oleh itu, seseorang yang tidak membaca doa qunut, masih sah solatnya kerana hukum membaca qunut adalah sunat. Namun, nasihat kami sekiranya saudara menjadi imam di surau/masjid, maka alangkah baiknya saudara dapat membacanya ketika solat dan dapat mengikut uruf setempat kerana lazimnya masyarakat di Malaysia mengamalkan mazhab Syafi’e.

Kami mengambil kesempatan agar kita membaca qunut pada solat Subuh dan juga mendoakan untuk rakan-rakan kita di Gaza, Palestin agar Allah SWT selamatkan mereka dan memberi kekuatan kepada mereka menghadapi musuh rejim zionis.

Semoga Allah memberi kefahaman yang jelas dalam melakukan ibadah kepada-Nya dan memberi kemenangan kepada umat Islam. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ مُنْزِلَ الكِتَابِ، وَمُجْرِيَ السَّحَابِ، وَهَازِمَ الأَحْزَابِ، اهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ

Maksudnya: “Ya Allah yang menurunkan Kitab, yang menjalankan awan, yang menghancurkan pasukan musuh, kalahkan mereka dan bantulah kami menewaskan mereka.”

 Riwayat al-Bukhari (2965)

اللَّهُمَّ أَنْجِ الْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya:  “Ya Allah selamatkanlah orang-orang yang lemah dari kalangan orang-orang yang beriman.”

 Riwayat al-Bukhari (6393)

Bertarikh: 20 Oktober 2023 bersamaan 5 Rabiulakhir 1445