#3709: Lafaz Talak, “Baik Cerai Je”, Ketika Berseorangan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah jatuh talak sekiranya saya bercakap seorang diri dengan lafaz, “baik cerai je” disebabkan oleh selalu was-was dalam bab talak. Saya tidak ada gaduh apa malah membenci isteri sendiri pun tidak. Mohon pencerahan daripada Dato sangat-sangat. Jazakallah kheir.

Jawapan :

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Definisi Talak

Talak berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, bermaksud pelepasan ikatan nikah dengan ucapan talak, cerai, dan sebagainya oleh suami.

Lafaz talak terbahagi kepada dua iaitu sarih (jelas) dan kinayah (samar-samar). Bagi lafaz sarih ada tiga perkataan yang jika disebutkan jatuhlah talak, Perkataan tersebut ialah cerai, pisah dan lepas.

Imam al-Baijuri menyatakan, Talak yang sarih tidak memerlukan kepada niat. Iaitu niat jatuhnya talak. Kerana tidak ada dihtimal kepada selain daripada talak.” (Lihat Hasyiah al-Baijuri ‘ala Syarh Ibn al-Qasim ‘ala Matan Abu Syuja’, 2/263)

Berkenaan isu ini, kami telah jawab dalam artikel sebelum ini:

#1630: Lafaz Talak ‘’Lebih Baik Kita Berpisah’’[1]

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan dalam isu ini talak tidak jatuh kerana masih menyebut dengan kalimah “baik atau lebih baik” yang mungkin boleh dibuat andaian sama ada mahu bercerai atau sebaliknya.

Akan tetapi, kami berpandangan untuk merujuk kepada Mahkamah Syariah dan membuat permohonan pengesahan lafaz talak. Ini adalah satu usaha untuk membuktikan adakah si suami berniat untuk mentalakkan atau tidak. Perlu difahami juga, lafaz talak ini meskipun berseorangan, jika dilafazkan ia tetap akan jatuh tidak kira di mana sahaja isteri berada. Oleh sebab itu, lafaz talak ini tidak boleh dibuat main dan sewajarnya tidak bermudah-mudah untuk melafazkan  talak ini.

Kami juga nasihatkan agar membanyakkan membaca surah al-Nas serta berdoa.

قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ ‎﴿١﴾‏ مَلِكِ النَّاسِ ‎﴿٢﴾‏ إِلَٰهِ النَّاسِ ‎﴿٣﴾‏ مِن شَرِّ الْوَسْوَاسِ الْخَنَّاسِ ‎﴿٤﴾‏ الَّذِي يُوَسْوِسُ فِي صُدُورِ النَّاسِ ‎﴿٥﴾‏ مِنَ الْجِنَّةِ وَالنَّاسِ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku berlindung kepada (Allah) Pemulihara sekalian manusia. “Yang Menguasai sekalian manusia, “Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia, “Dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam, – “Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia, – “(Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia.

Surah al-Nas (1-6)

Akhir kalam, Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman yang tepat kepada kita dalam melaksanakan setiap titah perintah-Nya. Amin.

Kami menutup dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Surah al-Baqarah (201)

[1] https://maktabahalbakri.com/1629-lafaz-talak-lebih-baik-kita-berpisah/

Bertarikh: 20 Oktober 2023 bersamaan 5 Rabiulakhir 1445