#3711: Dalil Kain Kafan Berwarna Putih

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Sebenarnya adakah terdapat dalil atau hadith bahawa kain kafan itu bagusnya atau sebaiknya berwarna putih? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلِكُلِّ أُمَّةٍ أَجَلٌ ۖ فَإِذَا جَاءَ أَجَلُهُمْ لَا يَسْتَأْخِرُونَ سَاعَةً ۖ وَلَا يَسْتَقْدِمُونَ

Maksudnya: “Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan); maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaat pun, dan tidak dapat pula mereka didahulukan.

(Surah al-A‘raf: 34)

Setiap makhluk yang hidup di muka bumi ini pasti akan merasai mati, iaitu saat terputusnya perhubungan antara roh dan jasad serta detik permulaan ke alam akhirat. Allah SWT telah menentukan ajal seseorang sejak azali lagi dan apabila sampai masanya, ia tidak akan dipercepatkan atau dilewatkan walau sesaat pun. Malaikat Izrail ditugaskan untuk mencabut nyawa dan apabila nyawa sampai di kerongkong, segala pintu taubat telah ditutup dan segala penyesalan tidak berguna lagi.

Ketahuilah bahawa kehidupan manusia di dunia ini menentukan bagaimana pengakhirannya. Niat ikhlas kerana Allah, serta mengikut petunjuk yang ditinggal oleh Rasulullah SAW dan juga Istiqamah dalam ibadah dan amal soleh merupakan kunci utama untuk dapatkan pengakhiran yang baik, iaitu Husn al-Khatimah.

Dalam menjawab soalan di atas, pada asasnya sunnah untuk mengkafankan jenazah dengan kain putih. Hal ini adalah berdasarkan hadith daripada riwayat Ibn Abbas R.Anhuma, katanya: Rasulullah SAW bersabda:

الْبَسُوا مِنْ ثِيَابِكُمُ الْبَيَاضَ، فَإِنَّهَا مِنْ خَيْرِ ثِيَابِكُمْ، وَكَفِّنُوا فِيهَا مَوْتَاكُمْ

Maksudnya:Pakailah kamu pakaian yang berwarna putih kerana ia sebaik-baik pakaian, dan kafankanlah dengan pakaian putih tersebut mayat-mayat kamu.”

Riwayat Abu Daud (3878); al-Tirmizi (994); Ibn Majah (3566); Ahmad (2219); Imam al-Tirmizi menilainya sebagai hasan sahih.

Dalam  hadith lain, daripada riwayat Samurah bin Jundub R.A, katanya: Rasulullah SAW bersabda:

الْبَسُوا البَيَاضَ؛ فَإنَّهَا أَطْهَرُ وَأَطْيَبُ، وَكَفِّنُوا فِيهَا مَوْتَاكُمْ

Maksudnya:Pakailah pakaian berwarna putih kerana sesungguhnya ia adalah lebih suci dan lebih baik, begitu juga kafankanlah dengan pakaian putih itu mayat-mayat kamu.

Riwayat al-Tirmizi (2810) dan beliau menilainya sebagai hasan sahih; al-Nasa’i (1896); Ibn Majah (3567); Ahmad (20166)

Begitu juga riwayat daripada Aisyah R.Anha bahawa:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كُفِّنَ فِي ثَلاَثَةِ أَثْوَابٍ يَمَانِيَةٍ بِيضٍ

Maksudnya:Rasulullah SAW dikafankan dengan tiga kain berwarna putih yang berasal dari Yaman.”

Riwayat al-Bukhari (1264)

Imam al-Nawawi menyebutkan, lafaz “بِيضٍ” (putih) dalam hadith di atas adalah dalil yang menunjukkan suatu galakkan atau anjuran (sunat) untuk mengkafankan mayat dengan kain putih, dan ia merupakan perkara yang disepakati oleh para ulama.

Bukan itu sahaja, bahkan mengkafankan jenazah dengan kain berwarna selain warna putih adalah dibolehkan selagi mana ia adalah pakaian yang dibenarkan untuk dipakai ketika dia masih hidup dahulu tetapi dihukumkan sebagai makruh. Hal ini juga adalah sebagaimana disebutkan oleh Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith di atas bahawa dihukumkan sebagai makruh mengkafankan mayat dengan kain berwarna dan seumpamanya yang terdiri daripada pakaian perhiasan. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 7/8).

Sebenarnya kami telah membahaskan berkenaan warna kain kafan ini secara panjang lebar dalam artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: #1312: Kain Kafan Berwarna Selain Warna Putih[1] dan #1311: Kain Kafan dengan Kain Mahal.[2]

Sebagai kesimpulannya, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa sebaik-baik warna kain kafan adalah warna putih. Ini adalah sebagaimana nas-nas sahih yang kami telah sebutkan di atas. Bahkan sekalipun mengkafankan mayat dengan selain warna putih dibolehkan, namun mereka menghukumkannya sebagai makruh.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada seksa kubur, daripada azab api neraka, daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada fitnah al-Masih al-Dajjal.”

[1] Lihat https://maktabahalbakri.com/1319-kain-kafan-berwarna-selain-warna-putih/. Diakses pada 19 Oktober 2023.

[2] Lihat https://maktabahalbakri.com/1320-kain-kafan-dengan-kain-mahal/. Diakses pada 19 Oktober 2023.

Bertarikh: 20 Oktober 2023 bersamaan 5 Rabiulakhir 1445