#3713: Mahar Yang Membebankan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya  mengenai mas kahwin, apa nasihat Dato’ bagi ibubapa yang meletakkan mahar  yang terlalu tinggi sehingga membebankan pihak lelaki ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Islam merupakan satu agama yang memandang tinggi kemuliaan institusi perkahwinan, dan mengangkat darjat wanita ke tahap yang mulia. Salah satu bukti akan kenyataan ini dalam syari’at Islam dan hukum-hakam fiqh ialah pensyari’atan mahar dalam perkahwinan.

Definisi Mahar dan Konsepnya dalam Islam

Dari sudut bahasa, mahar bermaksud:

ما يَدْفَعُهُ الزَّوْجُ إِلَى زَوْجَتِهِ بِعَقْدِ الزَّوَاجِ

Maksudnya: “Apa yang dibayar oleh suami kepada isteri sebagai hadiah kepadanya dengan sebab ‘aqad nikah.” (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 39/151)

Menurut istilah syara’ pula mazhab Syafi’e telah mendefinisikan mahar dengan maksud:

هُوَ مَا وَجَبَ بِنِكَاحٍ أَوْ وَطْءٍ أَوْ تَفْوِيتِ بُضْعٍ قَهْرًا

Maksudnya: “Mahar adalah suatu yang diwajibkan dengan sebab pernikahan, atau persetubuhan, atau pemerkosaan.”(Lihat Mughni al-Muhtaj, 3/220)

Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji berkata: Mahar atau mas kahwin ialah “harta yang wajib diberikan oleh suami kepada isterinya dengan sebab akad nikah.” Mahar juga disebut sebagai al-sadaq dan hukumnya adalah wajib  sebaik sahaja sempurna akad nikah sama ada mas kahwin itu disebut dengan kadar tertentu ataupun tidak semasa akad tersebut. Jika terdapat permuafakatan menafikannya atau tidak menyebutnya, persetujuan tersebut batal dan mas kahwin tetap wajib diserahkan.”( Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/75)

Dalam istilah bahasa Melayu, merujuk kepada Kamus Dewan, mahar kahwin adalah merupakan pemberian yang diwajibkan daripada pengantin lelaki kepada pengantin perempuan.[1]

Dalil pensyari’atan mahar dapat dilihat melalui ayat al-Qur’an:

وَآتُوا النِّسَاءَ صَدُقَاتِهِنَّ نِحْلَةً فَإِنْ طِبْنَ لَكُمْ عَنْ شَيْءٍ مِنْهُ نَفْسًا فَكُلُوهُ هَنِيئًا مَرِيئًا

Maksudnya: “Dan berikanlah maskawin (mahar) kepada wanita (yang kamu nikahi) sebagai pemberian dengan penuh kerelaan. Kemudian jika mereka menyerahkan kepada kamu sebagian dari mas kahwin itu dengan senang hati, maka makanlah (ambillah) pemberian itu (sebagai makanan) yang sedap lagi baik akibatnya.”

(Surah al-Nisa’: 4)

Ibn Kathir berkata: Menurut Ibn Abbas, perkataan النحلة membawa maksud mahar. Ibn Zaid pula menjelaskan, ianya bermaksud sesuatu yang wajib diberikan kepada isteri disebabkan aqad nikah. Seorang lelaki wajib menyerahkan mahar kepada wanita sebagai hadiah dan pemberian ke atasnya dengan penuh kerelaaan hati. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/235)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa mahar adalah satu tanggungjawab yang wajib dipenuhi oleh suami terhadap isterinya disebabkan akad nikah yang dilakukan. Walaubagaimanapun, meletakkan mahar pada tahap yang terlalu tinggi sehingga  membebankan  pihak lelaki adalah sesuatu yang tidak wajar.

Oleh yang demikian, adalah tugas ibu bapa untuk memudahkan urusan perkahwinan anak-anak mereka dan tidak seharusnya membebankan  pihak lelaki, terutamanya dalam konteks keadaan ekonomi yang sukar pada masa kini. Mementingkan kemudahan, keadilan, dan kesejahteraan dalam perkahwinan adalah penting dalam Islam. Oleh itu, tindakan yang adil dan munasabah dalam menentukan mahar perlu diutamakan bagi menjaga kesejahteraan dan keharmonian dalam perkahwinan.

Dalam isu ini kami katakan syara’tidak meletakkan had dalam menuntukan mahar. Namun meletakkan mahar yang rendah merupakan sunnah yang dianjurkan dalam islam kerana ia boleh membawa keberkatan dalam rumahtangga. Yang demikian boleh dilihat melalui hadith yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَعْظَمُ النِّسَاءِ برَكةً أَيْسَرُهنَّ مؤنةً

Maksudnya:  Sebesar-besar keberkatan pada seseorang wanita itu ialah yang paling mudah maharnya.

Riwayat Ahmad (25162)

Diriwayatkan daripada Sahl bin Sa’ad RA katanya:

أَتَتِ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ امْرَأَةٌ، فَقَالَتْ: إِنَّهَا قَدْ وَهَبَتْ نَفْسَهَا لِلَّهِ وَلِرَسُولِهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: «مَا لِي فِي النِّسَاءِ مِنْ حَاجَةٍ»، فَقَالَ رَجُلٌ: زَوِّجْنِيهَا، قَالَ: «أَعْطِهَا ثَوْبًا»، قَالَ: لاَ أَجِدُ، قَالَ: «أَعْطِهَا وَلَوْ خَاتَمًا مِنْ حَدِيدٍ»،

Maksudnya: “Seorang perempuan menyerahkan dirinya untuk dikahwini oleh Nabi SAW kerana Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda: Aku tidak berhajat kepada perempuan. Lalu seorang lelaki berkata: Kahwinkanlah aku dengan perempuan itu. Sabda Baginda: “Engkau berikan perempuan itu sehelai pakaian.” Dia menjawab: “Aku tidak memilikinya. Lalu Baginda bersabda lagi: “Engkau berikanlah dia walaupun sebentuk cincin besi.”

Riwayat al-Bukhari (4741) dan Muslim (1425)

Imam Nawawi dalam menjelaskan hadis ini menyebut: “Hadis ini menunjukkan bahawa mahar itu boleh sedikit (bernilai rendah) dan boleh juga banyak (bernilai tinggi) apabila kedua pasangan saling redha, kerana cincin dari besi menunjukkan nilai mahar yang murah. Inilah pendapat dalam mazhab Syafi’i dan juga pendapat jumhur ulama dari kalangan salaf dan khalaf.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 9/190)

Kesan Mahar Yang Terlalu Tinggi

Kebaikan amnya menuntut agar mahar ini dipermudahkan serta diringankan.Ini kerana terdapat manfaat besar untuk pasangan suami isteri dan masyarakat secara keseluruhannya. Berapa ramai wanita yang tetap belum berkahwin kerana mahar yang terlalu tinggi! Dan berapa ramai lelaki muda yang masih belum berkeluarga kerana mahar yang melambung tinggi dan belanja yang melampaui batas, serta berlakunya  persetubuhan kedua-dua jantina  tanpa ada ikatan perkahwinan, yang pada akhirnya mendorong mereka ke arah perbuatan maksiat dan kemungkaran.

Selain itu juga  timbulnya berbagai kerosakan dan mudarat akibat daripada mahar yang terlalu tinggi  termasuk kerosakan pada  sosial, moral, kewangan, dan banyak lagi. Apabila mencapai tahap ini, maka yang kita lihat adalah perlunya campur tangan kerajaan untuk menyelesaikan isu ini dan memperbaiki keadaan dengan menetapkanya secara  adil. (Lihat Taudih al-Ahkam Min Bulugh al-Maram, 5/392-393)

Justeru kami katakan permudahkanlah urusan mahar dengan menetapkannya dengan adil dan munasabah serta tidak membebankan bakal pasangan. Ketahuilah bahawa mahar yang rendah itu akan membawa keberkatan dalam rumah tangga yang bakal dibina serta dapat meringankan beban suami selepas perkahwinan.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Wallahu a’lam.

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=mahar – Diakses pada 19 Oktober 2023

Bertarikh: 20 Oktober 2023 bersamaan 5 Rabiulakhir 1445