Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah kita akan ditanya di akhirat kelak kerana membantu ekonomi Israel yang akhirnya membunuh saudara seislam kita? Mohon pencerahan.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan mengucapkan takziah kepada sahabat-sahabat di Palestin terutamanya di Gaza dengan apa yang berlaku yang membawa kepada kehilangan nyawa, kecederaan dan kemusnahan tempat tinggal, harta benda yang sedang dilakukan oleh rejim zionis Israel. Semoga Allah SWT tabahkan mereka dan memberi bantuan kepada mereka.
Keduanya, kami nyatakan terlebih dahulu kehidupan kita di akhirat sudah tentu akan dihitung apa yang kita lakukan di muka bumi ini. Antaranya, firman Allah SWT:
وَوُضِعَ الْكِتَابُ فَتَرَى الْمُجْرِمِينَ مُشْفِقِينَ مِمَّا فِيهِ وَيَقُولُونَ يَا وَيْلَتَنَا مَالِ هَٰذَا الْكِتَابِ لَا يُغَادِرُ صَغِيرَةً وَلَا كَبِيرَةً إِلَّا أَحْصَاهَا ۚ وَوَجَدُوا مَا عَمِلُوا حَاضِرًا ۗ وَلَا يَظْلِمُ رَبُّكَ أَحَدًا
Maksudnya: “Dan “Kitab-kitab Amal” juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka akan berkata:” Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya!” Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya); dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorangpun.”
(Surah al-Kahfi: 49)
Firman Allah SWT:
فَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ ﴿٧﴾ وَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَهُ
Maksudnya: “Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!”
(Surah al-Zalzalah: 7-8)
Begitu juga, terdapat hadith, daripada Abu Barzah al-Aslami R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لَا تَزُولُ قَدَمَا عَبْدٍ يَوْمَ الْقِيَامَةِ حَتَّى يُسْأَلَ عَنْ عُمُرِهِ فِيمَا أَفْنَاهُ، وَعَنْ عِلْمِهِ فِيمَ فَعَلَ، وَعَنْ مَالِهِ مِنْ أَيْنَ اكْتَسَبَهُ وَفِيمَ أَنْفَقَهُ، وَعَنْ جِسْمِهِ فِيمَ أَبْلَاهُ
Maksudnya: “Dua kaki seorang hamba tidak akan bergerak (pada hari kiamat) sehingga dia ditanya tentang umurnya, ke mana dihabiskan, tentang ilmunya apakah yang telah dilakukan dengan ilmunya, tentang hartanya dari mana diperolehi dan ke mana dibelanjakan dan tentang tubuh badannya untuk apa digunakannya.”
Riwayat al-Tirmizi (2417)
Berdasarkan kepada nas-nas di atas, bermakna semua amalan yang kita lakukan di dunia akan dihitung dan dihisab serta dipertanyakan di hadapan Allah SWT.
Berbalik kepada soalan di atas, kami katakan tidak sewajarnya untuk kita menolong dengan membantu mereka apabila dengan jelas dan terang bantuan atau wang yang kita belanjakan atau berikan dihalakan untuk menumpahkan darah umat Islam dan memerangi mereka. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ
Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.”
(Surah al-Ma’idah: 2)
Adapun, jika syarikat tersebut dimiliki oleh umat Islam dan pada dasarnya hubungan yang amat kecil dengan induk sedangkan mereka berlepas diri dari membantu Israel seperti syarikat induk maka, perlulah dilihat dengan lebih mendalam. Ini kerana, jika membabitkan muamalat secara global ia sudah tentu terkait sedikit sebanyak dengan penglibatan dengan orang-orang yang bukan Islam. Begitu juga, perlulah kita meraikan beberapa perkara agar berlaku keharmonian dalam tindakan kita dengan hikmah, pengetahuan. Sebagai contoh, antaranya:
- Syarikat tersebut dimiliki oleh orang Islam.
- Syarikat tersebut membayar zakat.
- Syarikat tersebut banyak melaksanakan kebajikan atau derma amal.
- Syarikat tersebut mengambil ramai pekerja-pekerja Muslim yang mereka menjadikan kerja mereka sebagai pendapatan untuk menanggung kaum keluarga mereka.
- Syarikat tersebut memberi peluang perniagaan kepada franchiser untuk membina perniagaan dan kehidupan mereka di samping meluaskan lagi jaringan pekerjaan kepada kebanyakan umat Islam.
- Syarikat tersebut banyak mengambil sumber atau sources dari orang-orang Islam seperti bekalan ayam, telur dan lain-lain.
Ini sebahagian daripada timbangan yang perlu dilihat agar tindakan yang kita lakukan boleh menguntungkan umat Islam dari segi maslahatnya lebih banyak berbanding mudarat.
Menginsafi akan hakikat ini, kami nasihatkan pada diri kami untuk melihat semula sebarang tindakan yang kita lakukan kepada syarikat-syarikat yang dikatakan terbabit dalam membantu Israel. Kaedah ada menyebut:
إِنْ كُنْتَ نَاقَلاً فَعَلَيْكَ بِالتَصْحِيحِ، وَإِنْ كُنْتَ مُدَّعِيًا فَعَلَيْكَ بِالدَّلِيلِ
Maksudnya: “Jika kamu ingin menukilkan sesuatu, maka pastikan kesahihannya terlebih dahulu dan jika kamu ingin membuat dakwaan, maka hendaklah dengan mengemukakan bukti.”
Begitu juga, kami menasihatkan kepada syarikat yang dikatakan terbabit dengan bantuan kepada Israel untuk menjelaskan polisi sebenar yang mereka tiada kena-mengena secara langsung dengan hal tersebut.
Langkah yang dibuat oleh McDonalds Malaysia adalah baik untuk menerangkan polisi yang dilaksanakan di Malaysia. Kami syorkan juga oleh kerana McDonalds di Malaysia telah membayar zakat maka, bayarlah zakat kepada setiap negeri mengikut jumlah keuntungan yang didapati dalam negeri masing-masing agar zakat tersebut diumumkan kepada semua negeri di Malaysia.
Begitu juga, bantuan-bantuan yang diberikan kepada khalayak masyarakat di Malaysia perlu diwar-warkan yang menunjukkan mereka bebas melaksanakan aktiviti kebaikan mengikut kehendak mereka.
Kami percaya perniagaan yang dilakukan selagi mana mereka sebagai seorang Islam yang sudah tentu memahami hak saudara seislamnya yang lain akan berlepas diri dari tindakan rejim zionis Israel yang menjarah di bumi Palestin.
Marilah sama-sama kita membantu saudara kita di Palestin dan kami telah kemukakan banyak jawapan berkenaan isu ini. Akhir kalam, marilah kita munajat mendoakan untuk rakan-rakan di Palestin:
اللَّهُمَّ مُنْزِلَ الكِتَابِ، وَمُجْرِيَ السَّحَابِ، وَهَازِمَ الأَحْزَابِ، اهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ
Maksudnya: “Ya Allah yang menurunkan Kitab, yang menjalankan awan, yang menghancurkan pasukan musuh, kalahkan mereka dan bantulah kami menewaskan mereka.”
Riwayat al-Bukhari (2965)
اللَّهُمَّ أَنْجِ الْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ
Maksudnya: “Ya Allah selamatkanlah orang-orang yang lemah dari kalangan orang-orang yang beriman.”
Riwayat al-Bukhari (6393)
Bertarikh: 23 Oktober 2023 bersamaan 8 Rabiulakhir 1445