#3721: Hak Penjagaan Anak Kecil Bagi Ibu Saudara Sebelah Ibu

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada terbaca satu hadith berkenaan hak penjagaan anak. Benarkah sebenarnya yang lebih berhak mendapat penjagaan anak yang masih kecil sekiranya si ibu meninggal dunia adalah ibu saudara sebelah ibu?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pertamanya, penjagaan anak atau dari segi istilah syara’ disebut sebagai hadhanah (حَضَانَةٌ). Menurut istilah syara‘, ia bermaksud penjagaan individu yang tidak dapat berdikari serta mendidik atau mengasuhnya. (Lihat Minhaj al-Talibin, hlm. 266)

Melihat kepada persoalan yang diajukan oleh saudara, kami bawakan terlebih dahulu hadith tersebut agar dapat dibincangkan bersama. Dalam sebuah riwayat daripada al-Barra’ bin ‘Azib R.A, terjadi pertelingkahan di antara ‘Ali, Zaid dan Ja‘far R.Anhum untuk mendapatkan hak penjagaan anak perempuan Saidina Hamzah R.A. ‘Ali R.A berkata:

أَنَا أَحَقُّ بِهَا وَهِيَ ابْنَةُ عَمِّي

Maksudnya: “Aku lebih berhak terhadapnya, dia adalah anak perempuan bapa saudara belah bapaku.”

Kemudian Ja‘far R.A pula berkata:

ابْنَةُ عَمِّي وَخَالَتُهَا تَحْتِي

Maksudnya: “Dia juga anak perempuan bapa saudara belah bapaku dan ibu saudara belah ibunya pula adalah isteriku.”

Dan Zaid pula berkata:

ابْنَةُ أَخِي

Maksudnya: “Dia adalah anak saudara perempuanku.”

Maka Nabi SAW memutuskannya untuk ibu saudara belah ibunya, lalu Baginda bersabda:

الخَالَةُ بِمَنْزِلَةِ الأُمِّ

Maksudnya: “Ibu saudara (sebelah ibu) pada kedudukan yang sama dengan  ibu.”

Riwayat al-Bukhari (2699) dan Muslim (1783)

Dalam riwayat yang lain daripada Saidina ‘Ali bin Abi Talib R.A, katanya:

لَمَّا خَرَجْنَا مِنْ مَكَّةَ، اتَّبَعَتْنَا ابْنَةُ حَمْزَةَ تُنَادِي: يَا عَمِّ وَيَا عَمِّ. قَالَ فَتَنَاوَلْتُهَا بِيَدِهَا فَدَفَعْتُهَا إِلَى فَاطِمَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا فَقُلْتُ: دُونَكِ ابْنَةَ عَمِّكِ. قَالَ فَلَمَّا قَدِمْنَا الْمَدِينَةَ، اخْتَصَمْنَا فِيهَا أَنَا وَجَعْفَرٌ وَزَيْدُ بْنُ حَارِثَةَ، فَقَالَ جَعْفَرٌ: ابْنَةُ عَمِّي وَخَالَتُهَا عِنْدِي – يَعْنِي أَسْمَاءَ بِنْتَ عُمَيْسٍ. وَقَالَ زَيْدٌ: ابْنَةُ أَخِي. وَقُلْتُ: أَنَا أَخَذْتُهَا وَهِيَ ابْنَةُ عَمِّي. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ: أَمَّا أَنْتَ يَا جَعْفَرُ، فَأَشْبَهْتَ خَلْقِي وَخُلُقِي. وَأَمَّا أَنْتَ يَا عَلِيُّ، فَمِنِّي وَأَنَا مِنْكَ. وَأَمَّا أَنْتَ يَا زَيْدُ فَأَخُونَا وَمَوْلَانَا. وَالْجَارِيَةُ عِنْدَ خَالَتِهَا، فَإِنَّ الْخَالَةَ وَالِدَةٌ

Maksudnya: “Ketika mana kami keluar dari Makkah, anak perempuan Hamzah mengikuti kami dan memanggil-manggil: “Wahai pakcik! wahai pakcik!” Maka aku memegang tangannya dan menghulurkan kepada Fatimah R.Anha, lalu aku berpesan: “Ambillah anak perempuan bapa saudara belah bapamu ini.” Setelah kami tiba di Madinah, terjadi pertelingkahan di antara aku, Ja‘far dan Zaid bin Harithah untuk mendapatkannya (hak menjaganya). Maka Ja‘far berkata: “Dia anak perempuan bapa saudara belah bapaku dan ibu saudara belah ibunya pula adalah isteriku (yakni Asma’ binti ‘Umais).” Zaid pula berkata: “Dia adalah anak saudara perempuanku.” Aku pula berkata: “Aku (lebih berhak) mengambilnya, dia adalah anak perempuan bapa saudara belah bapaku.” Maka Rasulullah SAW bersabda: “Adapun engkau wahai Ja‘far, menyerupai bentuk fizikalku dan juga akhlakku. Dan engkau pula wahai ‘Ali, engkau sebahagian daripadaku dan aku sebahagian daripada engkau. Dan engkau pula wahai Zaid, engkau adalah saudara kami dan maula (bekas hamba) kami. Anak perempuan itu disisi (berhak dijaga) ibu saudaranya sebelah ibu, sesungguhnya ibu saudara sebelah ibu ibarat ibu kandung.”

Riwayat Ahmad (770)

Syeikh ‘Abdullah bin ‘Abd al-Rahman al-Bassam berkata, ibu didahulukan dalam hak penjagaan anak. Apabila ibu telah tiada, maka ibu saudara sebelah ibu akan menggantikan tempat ibu kerana ibu saudara sebelah ibu ini berasa lebih dekat dengan anak-anak kakaknya, maka perasaan keibuan itu hadir dalam diri ibu saudara, dan dia merasakan bahawa berbuat baik kepada anak-anak kakaknya umpama berbuat baik kepada kakaknya, maka belas kasihan dan penjagaannya bertambah, dan ini adalah perkara biasa dan diketahui.

Hadith ini juga menunjukkan bahawa ibu saudara sebelah ibu ini lebih didahulukan berbanding ayah kandung dalam hak penjagaan anak. Maka penyelesaian dari pertelingkahan yang berlaku dalam kalangan sahabat itu diputuskan oleh Rasulullah dengan memberikan hak penjagaan kepada Ja‘far R.A kerana isterinya merupakan ibu saudara sebelah ibu kepada anak perempuan Saidina Hamzah R.A. (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 6/67)

Imam Ibn al-Qayyim mengatakan berkenaan hadith ini, fiqh yang diperoleh dari kisah dalam hadith, ibu saudara sebelah ibu didahulukan ke atas sekalian kaum kerabat lain selepas ketiadaan ibu dan ayah. Hadith ini juga merupakan bukti mengapa ibu saudara sebelah ibu didahulukan berbanding ibu saudara sebelah ayah, dan didahulukan kerabat ibu sebelum kerabat ayah. Rasulullah SAW memutuskan hak penjagaannya (anak perempuan Saidina Hamzah R.A) bagi ibu saudara sebelah ibu sedangkan Safiyyah R.Anha ibu saudara sebelah bapanya masih hidup ketika itu. (Lihat Zad al-Ma‘ad, 3/331-332)

Apabila dilihat semula, hadith di atas juga menjadi bukti bahawa Islam lebih mendahulukan penjaga wanita dalam hak penjagaan anak berbanding penjaga lelaki. Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji berkata, hikmah di sebalik didahulukan hak penjagaan anak kepada wanita adalah apa yang kami katakan tentang ibu, kerana wanita selalunya lebih lembut dalam menjaga anak-anak dan melindungi mereka, lebih sabar dengan masalah mereka, dan lebih mampu memberikan belas kasihan dan kasih sayang yang mereka perlukan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/193)

Al-Khatib al-Syirbini menyebutkan, hak penjagaan anak adalah salah satu bentuk kepimpinan dan kekuasaan, tetapi wanita lebih layak untuk penjagaan anak kerana mereka lebih penyayang, lebih pandai mendidik, sabar dalam melaksanakannya, dan lebih banyak meluangkan masa untuk kanak-kanak itu. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 5/191)

Memetik Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, dalam bahagian 7 pada membincangkan tentang Hadhanah atau jagaan kanak-kanak. Disebutkan dalam seksyen 81 (2):

“Jika Mahkamah berpendapat bahawa ibu adalah hilang kelayakan di bawah Hukum Syara‘ dari mempunyai hak terhadap hadanah atau penjagaan anaknya, maka hak itu, tertakluk kepada subseksyen (3), hendaklah berpindah kepada salah seorang yang berikut mengikut susunan keutamaan yang berikut, iaitu:

  1. Nenek sebelah ibu hingga ke atas peringkatnya
  2. Bapa
  3. Nenek sebelah bapa hingga ke atas peringkatnya
  4. Kakak atau adik perempuan seibu sebapa
  5. Kakak atau adik perempuan seibu
  6. Kakak atau adik perempuan sebapa
  7. Anak perempuan dari kakak atau adik perempuan seibu sebapa
  8. Anak perempuan dari kakak atau adik seibu
  9. Anak perempuan dari kakak atau adik perempuan sebapa
  10. Ibu saudara sebelah ibu
  11. Ibu saudara sebelah bapa
  12. Waris lelaki yang boleh menjadi warisnya sebagai ‘asabah atau residuari

Dengan syarat penjagaan orang demikian tidak menjejaskan kebajikan kanak-kanak itu.”[1]

Oleh yang demikian, bukanlah yang dimaksudkan dari hadith di atas ibu saudara sebelah ibu itu lebih didahulukan berbanding ayah, akan tetapi ketika itu Saidina Hamzah R.A telah meninggal dunia. Dan mungkin tidak ada yang lain dari kalangan kaum kerabat yang masih hidup melainkan ibu saudara sebelah ibu dan ibu saudara sebelah ayah. Maka Rasulullah SAW mendahulukan ibu saudara sebelah ibu.

Semoga dengan pencerahan ini dapat memberikan sedikit maklumat bagi mereka diluar sana dalam memahami isu hak jagaan anak yang masih kecil sekiranya berlaku perceraian. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Wallahu a‘lam

[1] Lihat https://www.kpwkm.gov.my/kpwkm/uploads/files/Dokumen/Akta/Akta%20Undang-Undang%20Keluarga%20Islam%20(Wilayah-Wilayah%20Persekutuan)%201984%20(Akta%20303).pdf. Diakses pada 20 Oktober 2023.

Bertarikh: 23 Oktober 2023 bersamaan 8 Rabiulakhir 1445