Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya mengenai khutbah nikah, sekiranya perkahwinan yang dijalankan tanpa khutbah nikah, adakah sah nikah yang dijalankan tersebut. Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Nikah menurut Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud sebuah akad (perjanjian) yang mengandungi lafaz ijab dan kabul yang menghalalkan pasangan lelaki dan perempuan untuk melakukan persetubuhan.
Perkataan nikah berasal dari perkataan Arab (نَكَحَ يَنْكِحُ نَكْحاً ونِكَاحاً) yang bermaksud bernikah dan perkataan (الاخْتِلَاطُ) yang bermaksud bercampur. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i, 2/34)
Dari istilah syarak, nikah ialah suatu akad yang menghalalkan istimta’ (bersetubuh atau berseronok-seronok) di antara suami isteri dengan cara yang dibenarkan oleh syarak. Masyarakat arab menggunakan perkataan nikah dengan makna akad yang juga membawa maksud persetubuhan serta berseronok-seronok. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i, 2/671)
Lafaz nikah ada disebut di dalam firman Allah SWT:
فَانْكِحُوا مَا طَابَ لَكُمْ مِنَ النِّسَاءِ
Maksudnya: “…maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain)…”
(Surah al-Nisa’: 3)
Dalam ayat ini, Allah telah mensyariatkan keharusan pernikahan untuk seluruh umat Islam malah menggalakkannya. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 16/125)
Perkahwinan atau pernikahan adalah sangat dituntut di dalam Islam. Sudah menjadi fitrah manusia untuk saling berkasih sayang ini diperjelaskan di dalam Al-Quran melalui firman Allah SWT:
وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ
Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang.”
(Surah al-Rum: 21)
Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menjelaskan bahawa ayat ini merupakan antara ayat-ayat Allah — yakni bukti dan tanda-tanda — yang menunjukkan kepada al-Ba‘th — yakni kebangkitan, — di mana Dia menciptakan untuk kamu pasangan-pasangan daripada jenis manusia juga, agar kamu dapat mewujudkan ketenangan dan kesenangan. Dia juga menumbuhkan rasa cinta dan kasih sayang antara suami isteri. (Lihat al-Tafsir al-Wajiz, hlm. 407)
Pernikahan sememangnya dianjurkan dalam Islam dengan syarat mestilah berlandaskan kepada syariah yang telah ditetapkan. Pernikahan yang sah dan sempurna adalah pernikahan yang memenuhi rukun-rukun dan syarat-syarat yang diletakkan syara’. Terdapat juga beberapa jenis pernikahan yang dilarang dalam Islam seperti nikah mut’ah (yang diamalkan pengikut ajaran Syiah), nikah muaqqat (nikah kontrak) dan lain-lain. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiah, 41/325)
Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan dalam istilah fiqh, khutbah bererti ucapan yang disusun dengan isi kandungan nasihat dan penjelasan secara khusus. Khutbah disyariatkan dalam beberapa tempat seperti solat jumaat solat hari raya, solat istisqa dan juga dilaksanakannya ketika majlis perkahwinan. Bagi Majlis disunatkan juga diadakan khutbah sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud bahawa beliau berkata: Rasulullah SAW mengajar kepada kami tasyahud ketika memiliki hajat beliau bersabda:
إن الحمدَ للهِ نستعينُه، ونستغفرُه، ونعوذُ باللهِ مِن شرورِ أنفسِنا، مَن يهدِه اللهُ فلا مضلَ له، ومَن يُضْلِلْ فلا هاديَ له، وأشهدُ أن لا إلهَ إلا اللهُ وأشهدُ أن محمدًا عبدُه ورسولُه. قال: ويَقْرَأُ ثلاثَ آياتٍ
Maksudnya: “Sesungguhnya, segala puji bagi Allah kami minta pertolongan dengan-Nya, kami beristighfar kepada-Nya, dan kami minta berlindung dengan Allah dengan kejahatan diri kami. Maka, siapa yang Allah hidayatkannya, nescaya dia tidak akan sesat dan siapa yang disesatkan-Nya maka, dia tidak akan mendapat petunjuk. AKu bersaksi dan aku bersaksi bahawa tidak ada Tuhan melainkan Allah. Dan aku bersaksi bahawa Muhammad hamba-Nya dan rasul-Nya. Katanya: ‘Dan beliau membaca tiga ayat.’”
Riwayat Abu Dawud (2118), Tarmizi(1105) dan Ibn Majah (1892)
Dapat difahami melalui hadith ini adalah merupakan khutbah, yang dikenali sebagai khutbah hajah, ia disyorkan untuk disampaikan ketika memulakan hajat yang penting, seperti aqad perkahwinan.
Adapun tiga ayat yang dinyatakan dalam hadith adalah seperti berikut:
- يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
(Surah al-Imran:102)
- يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُم مِّن نَّفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالًا كَثِيرًا وَنِسَاءً ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالْأَرْحَامَ ۚ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًا
Maksudnya: Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya – Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya – zuriat keturunan – lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.
(Surah al-Nisa:1)
- يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَقُولُوا قَوْلًا سَدِيدًا ﴿٧٠﴾ يُصْلِحْ لَكُمْ أَعْمَالَكُمْ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَمَن يُطِعِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ فَازَ فَوْزًا عَظِيمًا
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah, dan katakanlah perkataan yang tepat – benar (dalam segala perkara), Supaya Ia memberi taufiq dengan menjayakan amal-amal kamu, dan mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah) sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya ia telah berjaya mencapai sebesar-besar kejayaan.
(Surah al-Ahzab:70-71)
(Lihat Taudih al-Ahkam Min Bulugh al-Maram, 5/242)
Dalam isu ini Ibn Qudamah menyatakan bahawa: Adalah disunatkan bagi individu yang mengakad nikah atau orang lain untuk memberikan khutbah sebelum melakukan ijab dan qabul. Akad perkahwinan boleh dilakukan selepas khutbah tersebut. Disyorkan untuk memberikan khutbah sebagaimana khutbah Abdullah bin Mas’ud seperti yang dinyatakan di atas. (Lihat al-Mughni, 7/62)
Begitu juga Ibn Battal menyatakan bahawa: Jumhur ulama berpandangan sunnah melakukan khutbah dalam majlis perkahwinan. Imam Maliki mengatakan: Itu adalah amalan lama, dan sesiapa yang memendekkan khutbah, maka ia semakin baik.” Ibnu Habib berkata, “Mereka biasanya menyukai untuk memuji Allah, berselawat kepada Nabi, dan kemudian memberikan khutbah tentang wanita. (Lihat Syarh al-Bukhari,13/260 )
Justeru kami katakan melakukan khutbah nikah dalam majlis akad perkahwinan merupakan amalan yang dianjurkan dalam islam bahkan para ulama menyatakan amalan tersebut merupakan amalan sunnah yang wajar diikut. Khutbah yang disampaikan adalah bertujuan untuk memberi peringatan dan nasihat kepada pasangan pengantin dalam melayari bahtera rumahtangga mengikut ketetapan syara’. Oleh yang demikian, kami katakan perkahwinan yang dijalankan tanpa khutbah adalah sah kerana ia bukanlah termasuk dalam rukun-rukun nikah.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
Wallahu a’lam.
Bertarikh: 23 Oktober 2023 bersamaan 8 Rabiulakhir 1445