Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Benarkah pandangan mata akan mengikuti ruh ketika meninggal dunia? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَلِكُلِّ أُمَّةٍ أَجَلٌ ۖ فَإِذَا جَاءَ أَجَلُهُمْ لَا يَسْتَأْخِرُونَ سَاعَةً ۖ وَلَا يَسْتَقْدِمُونَ
Maksudnya: “Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan); maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaat pun, dan tidak dapat pula mereka didahulukan.”
(Surah al-A‘raf: 34)
Setiap makhluk yang hidup di muka bumi ini pasti akan merasai mati, iaitu saat terputusnya perhubungan antara roh dan jasad serta detik permulaan ke alam akhirat. Allah SWT telah menentukan ajal seseorang sejak azali lagi dan apabila sampai masanya, ia tidak akan dipercepatkan atau dilewatkan walau sesaat pun. Malaikat Izrail ditugaskan untuk mencabut nyawa dan apabila nyawa sampai di kerongkong, segala pintu taubat telah ditutup dan segala penyesalan tidak berguna lagi.
Ketahuilah bahawa kehidupan manusia di dunia ini menentukan bagaimana pengakhirannya. Niat ikhlas kerana Allah, serta mengikut petunjuk yang ditinggal oleh Rasulullah SAW dan juga Istiqamah dalam ibadah dan amal soleh merupakan kunci utama untuk dapatkan pengakhiran yang baik, iaitu Husn al-Khatimah.
Begitu juga sesungguhnya Mukmin menanggung banyak kesusahan semasa menghadapi pengakhiran hayat dan saat-saat terakhirnya, dan dengan itu Allah akan menghapuskan sebahagian dosa-dosa yang masih ada pada dirinya. Ini adalah sebagaimana hadith bahawa Nabi SAW pernah bersabda:
إِنَّ الْعَبْدَ الصَّالِحَ لَيُعَالِجُ الْمَوْتَ وَسَكَرَاتِهِ
Maksudnya: “Sesungguhnya hamba yang soleh akan menghadapi (atau berhadapan dengan) kematian dan rasa sakit yang amat sangat — kerana kematian itu.” (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/139-140).
Terdapat riwayat daripada Aisyah R.Anha, beliau berkata: Sesungguhnya di hadapan Rasulullah SAW terdapat bekas kecil yang diperbuat daripada kulit atau kayu yang berisi air. Kemudian Baginda memasukkan tangannya ke dalam air itu, lalu mengusapkannya ke wajahnya dan bersabda:
لاَ إِلَهَ إِلَّا اللهُ، إِنَّ لِلْمَوْتِ سَكَرَاتٍ
Maksudnya: “Tiada Tuhan selain Allah. Sesungguhnya kematian itu memiliki rasa sakit yang amat sangat.”
Riwayat al-Bukhari (6510)
Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa benar, pandangan mata akan mengikuti ruh ketika meninggal dunia.
Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Ummu Salamah R.Anha, katanya:
دَخَلَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم عَلَى أبِي سَلَمَةَ، وَقَدْ شَقَّ بَصَرُهُ، فَأَغْمَضَهُ، ثُمَّ قَالَ: إنَّ الرُّوحَ إِذَا قُبِضَ. اتَّبَعَهُ البَصَرُ. فَضَجَّ نَاسٌ مِنْ أهْلِهِ، فَقَالَ: لاَ تَدْعُو علَى أَنْفُسِكُمْ إِلاَّ بِخَيْرٍ، فَإنَّ المَلاَئِكَةَ تُؤَمِّنُ علَى مَا تَقُولُونَ، ثُمَّ قَالَ: اللَّهُمَّ، اغْفِرْ لأَبِي سلَمَةَ، وَارْفَعْ دَرَجَتَهُ فِي الـمَهدِيِّينَ، وافْسَحْ لَهُ فِي قَبْرِهِ، وَنَوِّرْ لَهُ فِيهِ، وَاخْلُفْهُ فِي عَقِبِهِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW masuk menemui Abu Salamah (bagi menziarahinya). Ketika itu, matanya dalam keadaan terbeliak, maka Baginda pun menutupnya. Kemudian Baginda bersabda: ‘Sesungguhnya ruh apabila ia dicabut, penglihatan mata akan mengikutinya.’ Beberapa ahli keluarga Abu Salamah menangis dan meratap, lalu Rasulullah bersabda kepada mereka: ‘Janganlah kamu berdoa ke atas diri kamu melainkan kebaikan kerana (pada saat itu) malaikat (yang hadir pada saat kematian) akan mengaminkan apa sahaja yang kamu ucapkan.’ Kemudian Baginda berdoa: ‘Ya Allah berikanlah keampunan buat Abu Salamah, tinggikan darjatnya dalam kalangan mereka yang diberi petunjuk, lapangkanlah buatnya di dalam kuburnya, penuhilah di dalamnya cahaya dan jadikanlah penggantinya dalam memelihara anak cucunya yang ditinggalkannya.’”
Riwayat Muslim (920)
Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan lafaz “إِذَا قُبِضَ تَبِعَهُ الْبَصَرُ” menyatakan, maknanya adalah apabila ruh dicabut dari jasad, penglihatan akan mengikuti ruh tersebut ke mana ia pergi. Selain itu, beliau juga menyatakan bahawa hadith ini menjadi dalil yang menunjukkan kepada anjuran atau galakan (sunat) menutup mata mayat dan kaum Muslimin telah menyatakan ijma‘ akan perkara tersebut. Mereka menyebutkan, hikmahnya adalah supaya tidak menganggap sebagai buruk keadaan mayat yang mati dalam keadaan terbuka/terbeliak matanya jika tidak ditutupkan. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 6/223).
Seterusnya, Syeikh Abdullah al-Bassam juga ada menyebutkan beberapa faedah yang dapat diambil daripada hadith ini. Di antaranya, hadith ini menunjukkan kepada keharusan untuk melihat wajah mayat. Begitu juga disunatkan untuk menutup kedua mata mayat selepas kematiannya — jika ia dalam keadaan terbuka. Selain itu, dapat difahami bahawa kematian itu berlaku dengan terpisahnya ruh dari badan. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/152).
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ اجْعَلْ خَيْرَ أَعْمَارِنَا أَوَاخِرَهَا، وَخَيْرَ أَعْمَالِنَا خَوَاتِمَهَا، وَاجْعَلْ خَيْرَ أَيَّامِنَا يَوْمَ نَلْقَاكَ
Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah sebaik-baik umur kami adalah pada penghujungnya, dan sebaik-baik amalan kami sebagai penutupnya. Dan jadikanlah sebaik-baik hari kami, adalah hari dimana kami berjumpa dengan-Mu kelak.”
Bertarikh: 23 Oktober 2023 bersamaan 8 Rabiulakhir 1445