#3728: Hukum Tidak Meletakkan Sutrah Ketika Solat

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum meletakkan sutrah ketika solat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Sutrah dari segi bahasa bahawa bermaksud apa sahaja yang dapat menghalangi. Dalam istilah ilmu fiqh, sutrah bermaksud segala sesuatu yang tertegak di hadapan orang yang sedang solat. Ia sama ada dalam bentuk tongkat, tanah yang disusun, atau yang sepertinya bagi mencegah orang melintas di hadapannya. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 3/176-177)

Diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, katanya:

سُئِلَ رَسولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ عن سُتْرَةِ المُصَلِّي؟ فَقالَ: مِثْلُ مُؤْخِرَةِ الرَّحْلِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW pernah ditanya ketika perang Tabuk tentang batas (sutrah) bagi orang yang solat. Baginda menjawab: Seumpama bahagian belakang pelana.”

Riwayat Muslim (500)

Syeikh Abdullah al-Bassam berkata: Apa yang diperolehi daripada hadith ini:

  • Pensyariatan menggunakan sutrah semasa solat adalah sah, kerana manfaat-manfaat yang membantu dalam menjaga solat, menjaganya daripada perkara yang mengurangkan pahalanya, serta melindungi orang yang lalu dan menghindari perasaan sukar dan kesulitan.
  • Sutrah itu perlu dengan kadar sepanjang dan lebar belakang badan, jika memungkinkan.
  • Jika seseorang yang solat tidak mempunyai sutrah yang mencukupi, maka ia boleh menggunakan seperti selendang atau seumpama dengannya.
  • Jika seseorang tidak dapat mendapatkan sutrah, maka dia boleh menggunakan garis atau sesuatu yang dapat dia letakkan di hadapannya,. Maksudnya, orang yang solat mesti menggunakan apa yang tersedia dan sesuai dengan kemampuannya, kerana Allah SWT tidak membebani melainkan sesuai dengan kesanggupannya.
  • Pensyariatan menggunakan sutrah adalah ketika berada di permukiman dan dalam permusafiran, di padang dan dalam bangunan.
  • Pensyariatan sutrah telah ditetapkan oleh para Sahabat R.Anhum sebelum Perang Tabuk, pada tahun kesembilan Hijrah. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 2/64-65)

Dalam Fiqh al-Manhaji (1/392-393) disebutkan: “Sekatan (سُترَةٌ) adalah sebagai tanda pemisah di antara orang yang bersolat dengan orang yang lalu-lalang di hadapannya, seperti dinding, tiang, tongkat atau menghamparkan sejadah dan sebagainya. Jika tidak didapati apa-apa pun buatlah tanda garisan sahaja.

Hal ini berdasarkan hadith, daripada Ibn Umar RA:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا خَرَجَ يَوْمَ الْعِيدِ أَمَرَ بِالْحَرْبَةِ فَتُوضَعُ بَيْنَ يَدَيْهِ، فَيُصَلِّى إِلَيْهَا وَالنَّاسُ وَرَاءَهُ، وَكَانَ يَفْعَلُ ذَلِكَ فِى السَّفَرِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW apabila pergi menunaikan solat hari raya, Baginda meminta sebatang tombak pendek (حَربَةٌ) diletakkan di hadapannya, lalu Baginda menghadapnya manakala orang ramai pula di belakang Baginda ketika bermusafir.”

Riwayat al-Bukhari (472) dan Muslim (501)

Sementara cara yang afdhal pula ialah meletakkan sekatan berhampiran dengan tempat sujud.

Hal ini berdasarkan hadith, daripada Sahal bin Sa’ad RA, katanya:

كَانَ بَيْنَ مُصَلَّى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَبَيْنَ الْجِدَارِ مَمَرُّ الشَّاةِ

Maksudnya: “Jarak di antara tempat sujud Rasulullah SAW dan dinding ialah seluas laluan kambing.”

Riwayat al-Bukhari (474) dan Muslim (508)

Sunat hukumnya bagi orang yang bersolat dengan sutrah kemudian ada orang yang lalu dihadapannya dia tahan menggunakan tangannya. Ini berdasarkan hadith Abu Said al-Khudri RA, bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا صَلَّى أَحَدُكُمْ إِلَى شَيْءٍ يَسْتُرُهُ مِنَ النَّاسِ، فَأَرَادَ أَحَدٌ أَنْ يَجْتَازَ بَيْنَ يَدَيْهِ، فَلْيَدْفَعْ فِي نَحْرِهِ فَإِنْ أَبَى فَلْيُقَاتِلْهُ، فَإِنَّمَا هُوَ شَيْطَانٌ

Maksudnya: “Jika salah seorang daripada kalian bersolat dalam keadaan mengadap sutrah yang boleh menghalangi manusia, lalu ada orang yang ingin melintasi hadapannya, hendaklah dia menahannya. Dan jika dia enggan juga, hendaklah dia diperangi (yakni ditolak dengan keras) kerana dia adalah syaitan (yakni bersamanya syaitan).”

Riwayat Muslim (505)

Adapun seseorang yang tidak meletakkan sutrah di hadapan, maka dia tidak berhak untuk menghadang orang lain daripada melintasi hadapannya kerana dia sudah mencuaikan haknya dengan meninggalkan memasang sutrah. (Lihat al-Mu’tamad, 1/222-223).

Begitu juga sutrah bagi imam adalah sutrah bagi makmum. (Lihat I`anah al-Talibin, 1/221; Bughyah al-Mustarsyidin, 1/112).

Justeru, dalam keadaan yang terdesak seperti terbatalnya wuduk ketika dan terpaksa melalui di hadapan makmum lain dalam solat untuk mengambil wuduk semula, sedangkan tiada jalan lain, maka boleh lalu dan tidak boleh dihalang oleh makmum lain.

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا صَلَّى أَحَدُكُمْ فَلْيَجْعَلْ تِلْقَاءَ وَجْهِهِ شَيْئًا فَإِنْ لَمْ يَجِدْ فَلْيَنْصِبْ عَصًا فَإِنْ لَمْ يَكُنْ مَعَهُ عَصًا فَلْيَخْطُطْ خَطًّا ثُمَّ لاَ يَضُرُّهُ مَا مَرَّ أَمَامَهُ

Maksudnya: “Apabila salah seorang dari kamu mendirikan solat, hendaklah dia menghadap ke arah sesuatu. Jika tiada, hendaklah dia memacakkan tongkat, jika tidak ada tongkat, hendaklah dia melukis garis. Maka tidak memudharatkannya apa-apa yang lalu di hadapan tongkat tersebut.”

Riwayat Abu Dawud (689). Imam al-Nawawi menyebut bahawa al-Baghawi dan lain-lain ulama hadith menyatakan hadith ini lemah.

Di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah dinyatakan: Para ulama’ dari kalangan Hanafiyah dan Syafi’iyah mengqiyaskan garisan dengan tempat solat seperti hamparan sejadah. Al-Tahtawi menyebut: Ini qiyas yang lebih utama kerana al-mushalla (tempat pijak semasa solat; hamparan sejadah) lebih dapat mencegah orang melintas berbanding sekadar garis.

Oleh itu, para ulama’ Syafi’iyyah lebih mengutamakan hamparan sejadah daripada sekadar garis. Mereka menyebut: “(Hamparan sejadah) lebih didahulukan daripada garis kerana ia lebih menepati maksud (sutrah).” (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 24/180; Lihat Hasyiyah al-Tahtawi ‘ala Maraqi al-Falah, hlm. 101; Mughni al-Muhtaj, 1/200)

Imam al-Nawawi menyebut: “Menurut majoriti ashabnya (al-Syafi’i), sutrah adalah sunat. Dan hadis tentang setinggi pelana kuda itu tidak menunjukkan kesalahan dengan membuat garisan.”

Beliau turut menyatakan: “Sunat bagi orang yang solat untuk membuat sutrah di hadapannya berupa dinding atau tiang dan mendekatinya, dengan keadaan antara keduanya tidak melebihi tiga hasta. Jika solat di gurun hendaknya memacakkan tongkat dan yang seumpamanya, atau dengan mengumpulkan sesuatu dari tunggangannya atau perhiasannya, hingga menjadi seukuran pelana kuda.

Jika tidak menemui sesuatu barang untuk sutrah, maka buatlah garis di hadapannya, atau hamparan tempat solat. Berkata Imam al-Haramain dan al-Ghazali, tidak ada ‘ibrah dengan membuat garis (maksudnya tidak boleh). Namun yang benar adalah, apa yang ditetapkan oleh jumhur, bahawa sudah mencukupi dengan garis sebagaimana jika dia berada di hadapan satu barang.” (Lihat Raudhah al-Talibin, 1/108)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa solat dengan melatakkan sutrah di hadapannya adalah sunnah yang sangat digalakkan dalam islam sebagaimana banyak hadith-hadith sahih yang menyebutkan akan kepentingannya, dan tidaklah berdosa sekiranya meninggalkannya. Semoga Allah SWT memberikan kefahaman kepada kita semua dan menjadikan daripada golongan yang mendirikan solat. Marilah sama-sama kita berdoa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”

Surah Ibrahim (40-41)

Bertarikh: 23 Oktober 2023 bersamaan 8 Rabiulakhir 1445