#3729: Makan Telur Biawak

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Jika telur buaya boleh dimakan, maka adakah telur biawak juga boleh dan halal dimakan? Sebab biawak dan buaya haiwan yang dekat dan hampir serupa. Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, pada asasnya, hukum asal bagi makanan dan minuman adalah halal melainkan terdapatnya dalil yang menyatakan hal sebaliknya. (Lihat Raudhah al-Talibin, 3/271; al-Raudh al-Murbi‘ Syarh Zad al-Mustaqni‘, hlm. 685). Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا

Maksudnya:Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.

(Surah al-Baqarah: 29)

Ayat di atas merangkumi segala sesuatu yang ada di atas muka bumi ini yang terdiri daripada haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan, pakaian dan sebagainya. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 20/2). Justeru, diharuskan untuk memakan semua makanan yang suci lagi bersih, bukannya makanan yang bernajis mahupun mutanajjis (terkena najis), dan yang tidak ada kemudaratan padanya seperti racun dan seumpamanya. Oleh itu, termasuklah yang diharuskan untuk makan itu adalah kasturi — kerana ia adalah suci dan tidak memudaratkan —dan seumpamanya seperti biji-bijian, buah-buahan dan lain-lain yang terdiri daripada benda-benda yang suci. (Lihat al-Raudh al-Murbi‘ Syarh Zad al-Mustaqni‘, hlm. 685).

Tambahan lagi, kenyataan ini disokong dengan kaedah fiqh yang dipersetujui para ulama:

الأَصْلُ فِي الأَطْعِمَةِ الْحِلُّ، وَلاَ يُصَارُ إِلَى التَّحْرِيمِ إِلاَّ لِدَلِيلٍ خَاصٍّ

Maksudnya:Hukum asal bagi makanan adalah halal dan hukumnya tidak berubah kepada haram melainkan terdapat dalil khusus.” (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/124-125).

Keduanya, sebenarnya kami pernah membahaskan berkenaan hukum makan buaya dalam ruangan Ahkam Syar‘iyyah. Secara ringkasnya, kami berpendapat bahawa biawak termasuk dalam jenis haiwan yang haram untuk dimakan. Hal ini kerana ia dianggap sebagai haiwan yang dianggap jijik dan kotor, di samping ia bukanlah makanan secara adatnya dimakan oleh masyarakat Islam di negara kita. Justeru, inilah pendapat yang dilihat lebih selamat dan tepat (أقرب إلى الصواب).

Sekalipun begitu, kami tidak menafikan terdapat sebahagian ulama mengharuskan untuk memakan biawak berdasarkan qiyas ke atas dhab. Ini adalah sebagaimana riwayat Yahya bin Sa‘id, katanya: “Aku berada di sisi Ibn al-Musayyib, lalu seorang lelaki dari Ghatafan datang menemuinya dan bertanya kepadanya mengenai hukum memakan waral (biawak)?” Ibn al-Musayyib menjawab: “Tidak mengapa memakannya. Jika ada bersama kamu sedikit dagingnya, maka berilah makan kepada kami (daging itu).” ‘Abd al-Razzaq menyebutkan, waral (biawak) ialah haiwan yang menyerupai dhab.

Riwayat ‘Abd al-Razzaq dalam al-Musannaf (9026)

Penjelasan lanjut mengenai hal ini, bolehlah merujuk kepada artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: “Memakan Biawak.”

Ketiganya, berbalik kepada soalan yang diajukan, berkenaan hukum memakan telur biawak pula, kami katakan bahawa ia adalah sama sepertimana perbahasan mengenai telur buaya, dari sudut kedua-duanya termasuk dalam jenis haiwan yang tidak dimakan dagingnya.

Dalam hal ini, sekalipun biawak dihukumkan sebagai haiwan yang haram untuk dimakan dagingnya, namun telurnya tetap dihukumkan sebagai halal untuk dimakan menurut pendapat yang sahih. Hal ini adalah sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi bahawa telur daripada haiwan yang halal dimakan dagingnya adalah suci secara ijmak. Manakala telur daripada haiwan yang tidak halal dimakan dagingnya pula, padanya terdapat dua pendapat. Pendapat yang kuat dalam hal ini adalah ia dikira suci. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/555).

Begitu juga al-Khatib al-Syirbini menjelaskan lagi dengan mengatakan bahawa terdapat khilaf dalam kalangan ulama berkenaan kehalalan memakan telur haiwan yang tidak dimakan dagingnya. Dinyatakan di dalam kitab al-Majmu‘, jika kita katakan bahawa telur itu dikira suci — dan ia adalah pendapat yang rajih — maka dihalalkan untuk memakannya tanpa sebarang khilaf kerana telur adalah suci dan tidak dianggap jijik. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 6/158). Selain itu, al-Qalyubi juga ada menyebutkan bahawa semua jenis telur itu adalah suci, sekalipun ia berasal daripada haiwan yang tidak halal dimakan dagingnya. Begitu juga sekalipun ia telah berubah menjadi darah di mana jika dieramkan, pasti ia akan menetas. Akan tetapi diharamkan untuk memakan apa yang memudaratkan seperti telur ular. (Lihat Hasyiata Qalyubi wa ‘Umairah, 1/82).

Tambahan lagi, Syeikh Nawawi al-Jawi juga ada menyatakan bahawa apabila telur sudah rosak, hingga tidak boleh lagi berkembang untuk menetas, maka ia dianggap sebagai najis. Demikianlah juga telur haiwan daripada bangkai — turut dikira sebagai najis. Adapun selain daripada semua itu, telur tersebut dikira sebagai suci dan boleh dimakan, meskipun daripada haiwan yang tidak dimakan dagingnya seperti burung hida’ah (sejenis burung helang), burung gagak, burung helang, burung hantu, buaya, penyu dan seumpamanya kecuali telur ular. (Lihat Nihayah al-Zain, hlm. 39).

Telur ular itu dilarang atau haram untuk dimakan kerana memudaratkan pemakannya. Al-Dimyati ada menyebutkan dalam kitabnya bahawa menurut pendapat yang kuat dalam mazhab Syafi‘i, telur haiwan dikira suci sepertimana air mani, sekalipun ia berasal daripada haiwan yang tidak halal dimakan dagingnya daripada jenis haiwan yang suci, selagi mana ia tidak memudaratkan. (Lihat I‘anah al-Talibin, 1/104).

Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari menyatakan, berkenaan kehalalan memakan telur haiwan yang tidak dimakan dagingnya terdapat khilaf dalam kalangan ulama. Ada yang berpendapat, hukumnya terbina berdasarkan kesuciannya. Dinyatakan di dalam al-Majmu‘ bahawa apabila kita berpendapat ia adalah suci, maka ia adalah halal untuk dimakan tanpa sebarang khilaf kerana ia adalah suci dan tidak dianggap jijik/kotor, berbeza halnya dengan air mani. Namun, al-Bulqini menyebutkan, pendapat tersebut bersalahan dengan apa yang dinaskan dalam al-Umm, al-Nihayah, al-Tatimmah dan al-Bahr yang menyatakan tidak boleh memakannya. Sekiranya kita berpendpat, ia adalah suci, maka beliau menyebutkan, tidak ada dalam kitab-kitab mazhab (al-Syafi‘i) apa yang menyelisihinya. (Lihat Asna al-Matalib, 1/570).

Selain itu, disebutkan dalam Matalib Uli al-Nuha (1/234) bahawa telur, muntah dan air wadi bagi haiwan yang tidak dimakan dagingnya adalah najis. Begitu juga Syeikh Ibn Jibrin dalam syarahannya terhadap Akhsar al-Mukhtasarat menyebutkan, telur haiwan yang tidak dimakan dagingnya seperti telur helang, telur gagak, telur hida’ah (sejenis burung helang) dan apa yang menyerupainya, begitu juga air kencing dan tahinya, dikira sebagai najis. (Lihat Syarh Akhsar al-Mukhtasarat, 3/28).

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, jelaslah bahawa sebanarnya para ulama berselisih pendapat berkenaan telur haiwan yang tidak halal dagingnya. Namun, kami rumuskan bahawa semua jenis telur adalah halal dan harus untuk dimakan termasuklah telur biawak, melainkan terdapatnya dalil yang menyatakan sebaliknya seperti ia memberi mudarat kepada pemakannya dan seumpamanya. Ini adalah sebagaimana pendapat muktamad dalam mazhab Syafi‘i. Maka ia menepati kaedah fiqh:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ.

Maksudnya:Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).

Meskipun dari segi hukum atau feqahnya, telur biawak dihukumkan sebagai suci dan halal, akhirnya juga ia kembali kepada seseorang itu atau individu. Boleh jadi seseorang tidak merasa jijik dan boleh memakannya. Sedangkan sebahagian yang lain menganggap jijik dan tidak boleh memakannya sehingga boleh membawa kepada muntah kerana biawak sememangnya dikenali sebagai haiwan pengotor, dan memakan bangkai. Justeru, hal tersebut terpulang kepada seseorang. Ini adalah sebagaimana perbuatan Nabi SAW meninggalkan daripada memakan dhab kerana Baginda merasa tidak lalu untuk memakannya, sedangkan Baginda SAW mengakui akan kehalalannya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Bertarikh: 23 Oktober 2023 bersamaan 8 Rabiulakhir 1445