#3730: Menggunakan Anak Panah Sebagai Sutrah Solat

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum menggunakan panah untuk menjadi sutrah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam Fiqh al-Manhaji (1/392-393) disebutkan: “Sekatan (سُترَةٌ) adalah sebagai tanda pemisah di antara orang yang bersolat dengan orang yang lalu-lalang di hadapannya, seperti dinding, tiang, tongkat atau menghamparkan sejadah dan sebagainya. Jika tidak didapati apa-apa pun buatlah tanda garisan sahaja.

Hal ini berdasarkan hadith, daripada Ibn Umar RA:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا خَرَجَ يَوْمَ الْعِيدِ أَمَرَ بِالْحَرْبَةِ فَتُوضَعُ بَيْنَ يَدَيْهِ، فَيُصَلِّى إِلَيْهَا وَالنَّاسُ وَرَاءَهُ، وَكَانَ يَفْعَلُ ذَلِكَ فِى السَّفَرِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW apabila pergi menunaikan solat hari raya, Baginda meminta sebatang tombak pendek (حَربَةٌ) diletakkan di hadapannya, lalu Baginda menghadapnya manakala orang ramai pula di belakang Baginda ketika bermusafir.”

Riwayat al-Bukhari (472) dan Muslim (501)

Imam al-Nawawi menyebut: “Sunat bagi orang yang solat untuk membuat sutrah di hadapannya berupa dinding atau tiang dan mendekatinya, dengan keadaan antara keduanya tidak melebihi tiga hasta. Jika solat di gurun hendaknya memacakkan tongkat dan yang seumpamanya, atau dengan mengumpulkan sesuatu dari tunggangannya atau perhiasannya, hingga menjadi seukuran pelana kuda. Jika tidak menemui sesuatu barang untuk sutrah, maka buatlah garis di hadapannya, atau hamparan tempat solat. Berkata Imam al-Haramain dan al-Ghazali, tidak ada ‘ibrah dengan membuat garis (maksudnya tidak boleh). Namun yang benar adalah, apa yang ditetapkan oleh jumhur, bahawa sudah mencukupi dengan garis sebagaimana jika dia berada di hadapan satu barang.” (Lihat Raudhah al-Talibin, 1/108)

Menjawab persoalan di atas, diriwayatkan daripada Sabrah bin Ma’bad al-Juhani R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لِيَسْتَتِرْ أَحَدُكُمْ فِي الصَّلَاةِ وَلَوْ بِسَهْمٍ

Maksudnya: “Hendaklah seseorang daripada kamu meletakkan sutrah ketika solat, walaupun dengan anak panah.”

Riwayat Ahmad (14916) dan al-Hakim (1/252). Syeikh Ibn Baz dalam Hasyiah Bulugh al-Maram (185) menyatakan bahawa sanad hadith ini Jayyid.

Syeikh Abdullah al-Bassam berkata: Apa yang diperolehi daripada hadith ini:

  • Galakan menggunakan sutrah bagi orang yang sedang solat untuk menjaga solat daripada berkurangan atau batal. Galakan ini adalah pandangan kebanyakan ulama.
  • Yang terbaik dalam sutrah adalah sepanjang seperti belakang rahil (sutrah semasa menunggang kuda). Jika seseorang tidak dapat mendapatkan yang sepanjang itu atau lebih kurang, maka dia boleh menggunakan sebatang kayu yang tajam pada hujungnya, seperti anak panah yang boleh dilempar.
  • Galakan untuk meletakkan sutrah, walaupun dengan perkara yang halus dan kecil, untuk memberitahu bahawa adanya batasan ketika melihat dalam solat. Ini untuk mengelakkan hati daripada berfikir kepada lain dan was-was. Juga untuk menjadikan batasan di antara orang yang sedang solat dan orang yang lalu, agar tempat solatnya terjaga daripada kawasan yang mereka lalui.
  • Zahir hadith menunjukkan bahawa penggunaan anak panah hanya digunakan apabila seseorang tidak dapat mendapatkan sutrah yang mencukupi, seperti belakang rahil (pelana) atau yang lebih kurang daripadanya.
  • Yang terbaik adalah untuk mendekati sutrah dan meletakkannya pada tempat sujud untuk membatasi pandangan ke tempat sujud. Ini adalah untuk mengelakkan pandangan dari melihat lebih jauh daripada tempat sujud, dan supaya tidak mengambil ruang yang lebih besar daripada yang diperlukan, dan untuk mengelakkan solat daripada terganggu atau terputus oleh orang yang lalu di antara sutrah dan tempat sujud. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 2/66-67)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa dibolehkan meletakkan anak panah sebagai sutrah atau apa-apa sahaja yang diboleh dijadikan sutrah semasa solat. Hadith berkenaan meletakkan anak panah ketika solat sebagai sutrah ini menunjukkan bahawa galakan dan sunat yang sangat dituntut untuk meletakkan sutrah ketika solat walau dengan apa barang sekali pun.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”

Surah Ibrahim (40-41)

Bertarikh: 23 Oktober 2023 bersamaan 8 Rabiulakhir 1445