#3739: Isteri Meminta Cerai Kerana Tidak Tahan dengan Perangai Suami

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkah saya sebagai isteri meminta cerai kerana apabila dengan suami, saya tidak akan dapat pahala. Dosa sahaja yang saya dapat, walaupun Allah sahaja yang tahu apa saya lalui.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Perkahwinan atau pernikahan adalah sangat dituntut di dalam Islam. Sudah menjadi fitrah manusia untuk saling berkasih sayang ini diperjelaskan di dalam Al-Quran melalui firman Allah SWT:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ

Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang.”

(Surah al-Rum: 21)

Namun begitu, disebalik bahagia dan romantisnya dalam sebuah rumahtangga, sudah tentu terdapat juga pasang surutnya. Antara sebab konflik dalam rumahtangga adalah penglibatan orang ketiga, tidak menghargai pasangan, stress, isu kewangan, keganasan rumahtangga dan seumpamanya.

Oleh itu, sekiranya segala usaha telah dilakukan dalam mempertahankan institusi kekeluargaan, tetapi hanya perceraian sahaja jalan keluarnya, maka Islam membenarkannya. Firman Allah SWT:

ٱلطَّلَٰقُ مَرَّتَانِۖ فَإِمۡسَاكُۢ بِمَعۡرُوفٍ أَوۡ تَسۡرِيحُۢ بِإِحۡسَٰنٖۗ

Maksudnya: “Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik.”

(Surah al-Baqarah: 229)

Keadaan yang dibenarkan syarak untuk meminta cerai

Antaranya:

  1. Suami tidak menjalankan tanggungjawabnya seperti memberi nafkah yang wajib. (Lihat al-Mughni, 8/204).
  2. Suami memukul/mencederakan tubuh badan isteri tanpa sebab yang sah. (Lihat Hashiah al-Dusuki ‘ala al-Sharh al-Kabir, 2/345)
  3. Suami di penjarakan dalam suatu tempoh masa yang lama dan isterinya menderita kerana darar akibat perkara itu dan menuntut cerai. Pendapat Malikiyyah menunjukkan menuntut cerai itu dibolehkan kerana dianggap hilang tanpa uzur selama setahun. (Lihat Mausu’ah al-Kuwaitiyyah, 29/ 67)

Seksyen 52: Perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh

(1)  Seseorang perempuan yang berkahwin mengikut Hukum Syarak adalah berhak mendapat suatu perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh atas satu atau lebih daripada alasan yang berikut, iaitu:

(a) bahawa tempat di mana beradanya suami telah tidak diketahui selama tempoh lebih daripada satu tahun;

(b) bahawa suami telah cuai atau telah tidak mengadakan peruntukan bagi nafkahnya selama tempoh tiga bulan;

(c) bahawa suami telah dihukum penjara selama tempoh tiga tahun atau lebih;

(d) bahawa suami telah tidak menunaikan, tanpa sebab yang munasabah, kewajipan perkahwinannya (nafkah batin) selama tempoh satu tahun;

(e) bahawa suami telah mati pucuk pada masa perkahwinan dan masih lagi sedemikian dan isteri tidak tahu pada masa perkahwinan bahawa suami telah mati pucuk;

(f) bahawa suami telah gila selama tempoh dua tahun atau sedang mengidap penyakit kusta atau vitiligo atau sedang mengidap penyakit kelamin dalam keadaan boleh berjangkit;

(g) bahawa isteri, setelah dikahwinkan oleh wali mujbirnya sebelum dia mencapai umur baligh, menolak perkahwinan itu sebelum mencapai umur lapan belas tahun, dan dia belum disetubuhi oleh suaminya itu;

(h) bahawa suami menganiayainya, iaitu, antara lain—

(i) lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan oleh kelakuan aniaya; atau

(ii) berkawan dengan perempuan jahat atau hidup berperangai keji mengikut pandangan Hukum Syarak; atau

(iii) cuba memaksa isteri hidup secara lucah; atau

(iv) melupuskan harta isteri atau melarang isteri itu daripada menggunakan haknya di sisi undang-undang terhadap harta itu; atau

(v) menghalang isteri daripada menunaikan atau menjalankan kewajipan atau amalan agamanya; atau

(vi) jika dia mempunyai isteri lebih daripada seorang, dia tidak melayani isteri yang berkenaan secara adil mengikut kehendak Hukum Syarak; (Lihat Akta Akta 303 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas kami nyatakan, pada asalnya tidak boleh bagi seorang isteri meminta cerai dari suaminya tanpa sebab yang dibenarkan syarak. Sabda Nabi SAW:

 أَيُّمَا امْرَأَةٍ سَأَلَتْ زَوْجَهَا طَلَاقًا مِنْ غَيْرِ بَأْسٍ فَحَرَامٌ عَلَيْهَا رَائِحَةُ الجَنَّةِ

Maksudnya: “Mana-mana isteri yang meminta cerai daripada suaminya tanpa alasan maka haram baginya bau syurga.”

Riwayat al-Tirmidzi (1187)

Namun, ingatlah penceraian itu dibenarkan oleh syarak, namun ia  merupakan suatu yang tidak disukai Allah SWT. Sabda Nabi SAW:

أَبْغَضُ الْحَلَالِ إِلَى اللَّهِ الطَّلَاقِ

Maksudnya: “Perkara halal yang paling dimurkai Allah adalah talak.”

Riwayat Abu Daud (2178) dan Ibn Majah (2018)

Meskipun begitu, Islam meraikan perasaan wanita terhadap suaminya dengan membenarkan wanita tersebut untuk menuntut pembubaran perkahwinannya apabila dia itu tidak lagi menyukai suaminya dan bimbang perasaan benci itu akan menyebabkannya dia derhaka kepada suaminya.

Oleh itu, nasihat kami sebaiknya dalam isu cerai ini, janganlah kita bertindak melulu mengikut kata hati tanpa memikirkan yang kehadapan. Namun, sekiranya hubungan rumah tangga anda melalui jalan buntu dan hanya perceraian sahaja penyelesaiannya, maka rujuklah ke mahkamah syariah bagi permohonan cerai yakni melalui fasakh atau khuluk. Sebagai contohnya di bawah Seksyen 52: Perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh.

Semoga isu anda bersama suami ini, dapat diselesaikan dengan cara yang terbaik, tenang dan harmoni. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Bertarikh: 23 Oktober 2023 bersamaan 8 Rabiulakhir 1445