#3740: Bernikah di Ruangan Luar Masjid dalam Keadaan Haid

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bakal istri dijangkakan datang bulan (haid) masa nikah di masjid nanti. Sekiranya nikah ini dilakukan di luar masjid seperti di berandar luar msjid dan bukan dalam masjid?

Jawapan:

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَقْرَبُوا الصَّلَاةَ وَأَنتُمْ سُكَارَىٰ حَتَّىٰ تَعْلَمُوا مَا تَقُولُونَ وَلَا جُنُبًا إِلَّا عَابِرِي سَبِيلٍ حَتَّىٰ تَغْتَسِلُوا ۚ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub (berhadas besar) – kecuali kamu hendak melintas sahaja – hingga kamu mandi bersuci.”

Surah al-Nisaa’ (43)

Berdasarkan ayat di atas, Imam al-Syafi’e menyatakan bahawa seorang yang dalam keadaan berjunub, dia tidak boleh untuk duduk di dalam masjid dan hanya boleh melaluinya sahaja. (Lihat Ahkam al-Qur’an, 3/168)

Begitu juga dengan hadith Nabi SAW yang lain:

إِنَّ الْمَسْجِدَ لاَ يَحِلُّ لِجُنُبٍ وَلاَ لِحَائِضٍ

Maksudnya: Sesungguhnya masjid tidak halal untuk dimasuki oleh orang yang berjunub dan wnaita yang sedang dalam keadaan haidh.

Sunan Abi Daud (232) dan Sunan Ibn Majah (645)

Meskipun hadith ini tidak terlepas daripada kritikan oleh para ulama, namun Imam al-Syaukani telah membahaskan secara panjang lebar dan menegaskan bahawa hadith ini menjadi kuat kerana disokong oleh banyak faktor penguat (syawahid). (Lihat Nail al-Authar, 1/288)

Masjid dalam bahasa Arab ialah nama bagi tempat bersujud. Dari sudut syara’ ialah mana-mana tempat permukaan bumi. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW:

وَجُعِلَتْ لِي الْأَرْضُ مَسْجِدًا وَطَهُورًا

Maksudnya: “Dijadikan bagiku bumi ini sebagai masjid (tempat bersujud).”

Riwayat al-Bukhari (438)

Manakala dari sudut istilah atau ‘urf masjid itu ialah tempat yang disediakan bagi mengerjakan sembahyang untuk selama-lamanya. (Lihat Mu’jam Lughah al-Fuqaha’, hlm. 428 dan Ahkam al-Sajid bi Ahkam al-Masajid, hlm. 26-27)

Sebahagian ulama berpendapat masjid adalah ruangan solat yang disediakan untuk solat. Tetapi, masjid pada masa kini wujudnya pejabat, perpustakaan, dan beberapa fasiliti yang lain seperti dewan perkahwinan, kelas pengajaran KAFA atau orang dewasa. Ini semua dianggap sebagai bukan ruangan masjid untuk solat.

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan tidak menjadi masalah apabila bakal isteri anda berada di ruangan luar masjid kerana ia tidak termasuk dalam ruang solat. Namun begitu, kami juga sarankan jika sekiranya masjid tersebut mempunyai dewan serbaguna misalnya, maka lebih baik melaksanakannya di dewan masjid berkenaan dan itu lebih baik.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

 Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Bertarikh: 23 Oktober 2023 bersamaan 8 Rabiulakhir 1445