Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Sekiranya seorang ayah itu membunuh anaknya sendiri, adakah dia juga akan dikenakan hukuman qisas menurut Islam?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Membunuh dengan sengaja tanpa sebarang sebab yang dibenarkan oleh syara‘ merupakan satu dosa yang amat besar. Allah SWT telah berfirman:
وَمَن يَقْتُلْ مُؤْمِنًا مُّتَعَمِّدًا فَجَزَاؤُهُ جَهَنَّمُ خَالِدًا فِيهَا وَغَضِبَ اللَّهُ عَلَيْهِ وَلَعَنَهُ وَأَعَدَّ لَهُ عَذَابًا عَظِيمًا
Maksudnya: “Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah neraka jahanam, kekal ia di dalamnya, dan Allah murka kepadanya, dan melakanatkannya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar.”
(Surah al-Nisa’: 93)
Dan jika seorang yang melakukan pembunuhan dengan sengaja itu adalah ayah kandung anak itu, maka hukumannya diperselisihi oleh ulama’ sama ada ayah tersebut perlu dikenakan hukuman hudud qisas atau tidak.
Majoriti fuqaha’ dari Mazhab Syafi‘i, Hanbali dan Hanafi mengatakan bahawa ayah kandung itu tidak dikenakan hukuman qisas. Ibn Qudamah al-Maqdisi menyebutkan masalah ini dalam sebuah bab, katanya bahawa seorang ayah itu tidak dihukum mati kerana membunuh anaknya atau yang ke bawah (cucu-cucunya). Secara keseluruhannya, seorang ayah tidak dihukum mati kerana membunuh anaknya, dan datuk juga tidak dihukum mati kerana membunuh cucunya, dan begitulah seterusnya jika dia membunuh generasi yang bawah lagi, sama ada cucu itu anak kepada anak lelaki dia atau anak perempuan dia. Antara yang berpegang dengan pandangan ini adalah Rabi‘ah, al-Thauri, al-Auza‘ie, al-Syafi‘i, Ishaq, dan ahli ijtihad yang lain.
Ini berdasarkan riwayat daripada ‘Umar bin al-Khattab R.A, beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:
لاَ يُقَادُ الْوَالِدُ بِالْوَلَدِ
Maksudnya: “Seorang ayah tidak dituntut (hukuman qisas) kerana membunuh anaknya.”
Riwayat al-Tirmizi (1400), Ibn Majah (2662), Ahmad (98)
Adapun Ibn Nafi‘, Ibn ‘Abd al-Hakim dan Ibn al-Munzir berpandangan, ayah itu dikenakan hukuman bunuh berdasarkan zahir ayat-ayat al-Quran dan riwayat-riwayat yang menceritakan tentang kewajiban qisas. Kewajiban hukuman qisas ini juga kerana kedua-dua mereka (ayah dan anak) merupakan orang Islam yang merdeka, maka termasuk dalam mereka yang boleh dikenakan hukuman qisas. Oleh itu, wajib dihukum mati jika salah seorang membunuh yang lainnya sepertimana dikenakan pada mereka yang tiada hubungan kekeluargaaan. Bahkan Ibn al-Munzir juga mengatakan bahawa terdapat banyak riwayat yang menyebutkan tentang qisas ini.
Imam Malik pula berkata: “Sekiranya si ayah membunuh anaknya dengan sekali pancungan sahaja atau seumpamanya, tidak dikenakan hukuman mati terhadapnya. Dan sekiranya dia menyembelih anaknya, atau membunuhnya dengan sengaja tanpa sebarang syak dengan tujuan untuk mendisiplinkan anaknya, maka ketika itu si ayah dituntut (hukuman qisas) kerana membunuh anaknya.”
Ibn Qudamah kemudian menukilkan kalam Ibn ‘Abd al-Bar, katanya: “Hadith (riwayat ‘Umar) ini adalah hadith yang masyhur di kalangan ahli ilmu di Hijaz dan Iraq, dan ia tersebar meluas di kalangan mereka. Oleh kerana kemasyhuran, penerimaan, dan pengamalannya, sanad hadith ini seakan tidak diperlukan (untuk penelitian), sehinggakan sanad dari jalur dan tahap kemasyhuran yang sama dianggap takalluf.” (Lihat al-Mughni, 8/285)
Syeikh ‘Abdullah bin ‘Abd al-Rahman al-Bassam menyebutkan salah satu sebab, mengapa seorang ayah tidak dituntut (hukuman qisas) kerana membunuh anaknya. Ini kerana, si anak itu merupakan sebahagian dari ayahnya, begitu juga cucu itu sebahagian dari datuknya sehinggalah yang ke bawah (cucu-cicit) sama ada dari anak lelaki atau anak perempuannya. (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 6/87)
Berdasarkan nukilan kalam ulama’ yang kami bawakan ini, dapat difahami bahawa perselisihan fuqaha’ dalam bab qisas apabila seorang ayah membunuh anaknya sendiri, dapat dibahagikan kepada 3:
- Pandangan majoriti fuqaha’: Ayah tidak dikenakan hukuman qisas secara mutlak.
- Pandangan Ibn Nafi‘, Ibn ‘Abd al-Hakim, Ibn al-Munzir dan lainnya: Ayah tersebut wajib dikenakan hukuman qisas secara mutlak.
- Pandangan Mazhab Maliki: Ayah tidak dikenakan hukuman qisas jika membunuh anaknya dengan cara pancungan atau pembunuhan yang ada syak (seperti ayah yang berniat mendidik anak, tetapi menggunakan alat yang membahayakan nyawa).
Adapun jika si ayah membunuh dengan menyembelih atau seumpamanya, maka wajib dikenakan hukuman qisas.
Kami cenderung kepada pandangan majoriti fuqaha’ kerana dalil dan hujjah yang dibawakan itu lebih kuat. Akan tetapi, ayah yang membunuh anak ini tetap wajib dikenakan hukuman membayar diyah dan tidak boleh mewarisi harta pusaka si anak. Ini berdasarkan riwayat ‘Amru bin Syu‘aib R.A, katanya:
أَنَّ أَبَا قَتَادَةَ، – رَجُلٌ مِنْ بَنِي مُدْلِجٍ – قَتَلَ ابْنَهُ، فَأَخَذَ مِنْهُ عُمَرُ مِائَةً مِنَ الإِبِلِ ثَلاَثِينَ حِقَّةً وَثَلاَثِينَ جَذَعَةً وَأَرْبَعِينَ خَلِفَةً. فَقَالَ: أَيْنَ أَخُو الْمَقْتُولِ؟ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ ﷺ يَقُولُ: لَيْسَ لِقَاتِلٍ مِيرَاثٌ
Maksudnya: “Sesungguhnya Abu Qatadah (seorang lelaki dari Bani Mudlij) telah membunuh anak lelakinya, lalu Saidina ‘Umar mengambil darinya (sebagai diyah) sebanyak 30 ekor unta berumur 2 tahun, 30 ekor unta berumur 4 tahun, dan 40 ekor unta yang berumur lingkungan 1 hingga 6 bulan. Kemudian ‘Umar bertanya: ‘Di manakah saudara orang yang dibunuh ini? Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: Pembunuh tidak boleh mewarisi harta’.”
Riwayat Ibn Majah (2646)
Akan tetapi, sekiranya si anak yang bertindak melakukan perbuatan bunuh ini terhadap ayahnya, anak tersebut tidaklah dikecualikan dari kewajiban hukuman qisas kerana dosa besar yang dilakukan itu.
Semoga Allah SWT memelihara kita semua dari sebarang masalah atau salah faham yang boleh mendorong kepada berlakunya pertumpahan darah sesama muslim, lebih-lebih lagi yang melibatkan keluarga sendiri. Apa jua masalah yang mungkin dihadapi, berusaha sedaya upaya untuk menyelesaikannya dengan cara yang matang dan rasional.
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِ ۖ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا ۚ أَنتَ مَوْلَانَا فَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir.”
(Surah al-Baqarah: 286)
Wallahu a‘lam
Bertarikh: 24 Oktober 2023 bersamaan 9 Rabiulakhir 1445