#3751: Memandikan Jenazah atau Mayat dengan Air Hujan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bolehkah jenazah dimandikan dengan air hujan? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

كُلُّ نَفۡس ذَآئِقَةُ ٱلۡمَوۡتِۗ

Maksudnya: “Tiap-tiap yang bernyawa pasti akan merasai mati.

(Surah Ali ‘Imran: 185)

Al-Maraghi dalam tafsirnya menafsirkan bahawa bagi setiap yang bernyawa itu pasti akan mengalami saat perpisahan dengan jasadnya. Walaupun badannya mati, namun jiwa tidak akan mati. Hal ini kerana mampu merasakan sesuatu adalah yang hidup sedangkan bagi yang telah mati, tidak akan mampu merasakan sesuatu. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/861).

Pertamanya, secara umumnya, memandikan jenazah adalah suatu kewajipan yang diletakkan di dalam fardhu kifayah. Hal ini bermakna, kewajipan itu wajib ke atas masyarakat di sesuatu tempat, dan kewajipan itu hanya akan terangkat atau dikira selesai apabila sebahagian daripada masyarakat menunaikan tanggungjawab tersebut. Bahkan kewajipan memandikan jenazah ini berasal daripada arahan Nabi SAW sendiri.

Terdapat riwayat menceritakan bahawa ketika berlakunya tragedi seorang lelaki yang mati akibat terjatuh daripada unta, maka diseru untuk dimandikan jenazahnya, sepertimana hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.Anhuma:

اغْسِلُوهُ بِمَاءٍ وَسِدْرٍ, وَكَفِّنُوهُ فِي ثَوْبَيْنِ

Maksudnya: “Mandikanlah dia dengan air yang dicampur daun bidara dan kafanilah dengan dua helai kain.”

Riwayat al-Bukhari (1265) dan Muslim (1206)

Menurut Syeikh Abdullah al-Bassam, hadith ini menunjukkan kepada anjuran atau galakkan (sunat) untuk menyegerakan pengurusan jenazah, sekiranya kematiannya tidak berlaku secara mengejut. Ini kerana perlu dipastikan akan kematiannya terlebih dahulu atau dilewatkan disebabkan oleh maslahah supaya ramai orang melakukan solat jenazah untuknya atau kerana menunggu kehadiran kaum kerabat dan sebagainya. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/163).

Keduanya, dalam menjawab soalan di atas, memandikan jenazah atau mayat dengan menggunakan air hujan adalah dibolehkan, tidak kira dalam keadaan darurat (situasi terpaksa) mahupun ketika dalam keadaan biasa iaitu ketika adanya air lain atau banyaknya air.  Hal ini kerana air hujan termasuk dalam kategori air mutlak suci lagi menyucikan dan boleh digunakan untuk membersihkan najis atau mengangkat hadas. Justeru, sudah tentu ia juga boleh digunakan untuk memandikan jenazah. Ini adalah sebagaimana dinyatakan oleh Dr. Wahbah al-Zuhaili bahawa air-air yang boleh digunakan untuk bersuci ada tujuh iaitu air hujan, air laut, air sungai, air mata air, air salji dan air sejuk. (Lihat al-Fiqh al-Syafi‘i al-Muyassar, 1/79).

Terdapat beberapa dalil yang dijadikan dasar oleh para ulama bahawa air hujan boleh digunakan untuk bersuci. Di antaranya firman Allah SWT:

وَهُوَ الَّذِي أَرْسَلَ الرِّيَاحَ بُشْرًا بَيْنَ يَدَيْ رَحْمَتِهِ ۚ وَأَنزَلْنَا مِنَ السَّمَاءِ مَاءً طَهُورًا

Maksudnya: “Dan Dia lah Tuhan yang menghantarkan angin sebagai berita gembira sebelum kedatangan rahmatNya, dan Kami menurunkan dari langit: air yang bersih suci.”

(Surah al-Furqan: 48)

Menurut Dr. Muhammad Sulaiman al-Asyqar, lafaz “طَهُورًا” dalam ayat di atas bermaksud suci lagi menyucikan, kerana jika air hujan menimpa sesuatu yang najis atau kotor, ia akan menyucikannya. (Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir, hlm. 476).

Begitu juga firman Allah SWT:

 وَيُنَزِّلُ عَلَيْكُم مِّنَ السَّمَاءِ مَاءً لِّيُطَهِّرَكُم بِهِ

Maksudnya: “Dan (ingatlah ketika) Dia menurunkan kepada kamu hujan dari langit untuk mensucikan kamu dengannya.

(Surah al-Anfal: 11)

Sebahagian ulama menafsirkan lafaz “لِّيُطَهِّرَكُم بِهِ” dengan menyebutkan bahawa maknanya adalah untuk diangkat atau dihilangkan hadas-hadas daripada kamu. Dalam erti kata lain, supaya kamu dapat mandi dan mendirikan solat dalam keadaan yang sempurna, dan ketika itu belum lagi disyariatkan tayammum. (Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir, hlm. 228).

Selain itu, Nabi SAW juga pernah bersuci dengan air hujan. Malah, Baginda pernah mengajak para sahabatnya untuk bersuci dengan air hujan. Ini menunjukkan bahawa air hujan boleh digunakan untuk bersuci, baik untuk mengangkat hadas, membersihkan  najis, ataupun untuk memandikan jenazah.

Ini adalah sebagaimana disebutkan dalam hadith daripada riwayat Yazid bin al-Had, bahawasanya apabila air hujan deras mengalir, Nabi SAW bersabda:

 اخْرُجُوا بِنَا إِلَى هَذَا الَّذِي جَعَلَهُ اللهُ طَهُورًا فَنَتَطَهَّرَ مِنْهُ، وَنَحْمَدَ اللهَ عَلَيْهِ

Maksudnya: “Keluarlah kamu bersama kami menuju ke air ini yang telah dijadikan oleh Allah SWT sebagai tahur (suci lagi menyucikan). Lalu kami bersuci dengan air tersebut dan memuji Allah atas nikmat ini.

Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (6457); al-Suyuti dalam al-Jami‘ al-Saghir wa Ziyadatuhu (9895); Imam al-Nawawi dalam Khulasah al-Ahkam (2/884) menyatakan, ia diriwayatkan secara mursal dan sanadnya adalah dha‘if. Begitu juga Ibn Kathir dalam Irsyad al-Faqih (1/216) menyatakan ia adalah mursal. Manakala al-Baihaqi dan turut dinyatakan dalam Tuhfah al-Muhtaj (1/567), ia adalah munqati‘.

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa boleh untuk memandikan mayat atau jenazah dengan air hujan (air yang turun dari langit) kerana ia termasuk dalam jenis air mutlak yang suci lagi menyucikan. Justeru, ia boleh digunakan untuk mengangkat hadas, membersihkan najis, berwuduk, mandi wajib dan juga memandikan jenazah.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada seksa kubur, daripada azab api neraka, daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada fitnah al-Masih al-Dajjal.”

Bertarikh: 24 Oktober 2023 bersamaan 9 Rabiulakhir 1445