#3754: Adakah Sepatutnya Menggunakan Kain Kafan yang Mahal?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah sepatutnya seseorang itu menggunakan kain kafan yang mahal? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلِكُلِّ أُمَّةٍ أَجَلٌ ۖ فَإِذَا جَاءَ أَجَلُهُمْ لَا يَسْتَأْخِرُونَ سَاعَةً ۖ وَلَا يَسْتَقْدِمُونَ

Maksudnya: “Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan); maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaat pun, dan tidak dapat pula mereka didahulukan.

(Surah al-A‘raf: 34)

Setiap makhluk yang hidup di muka bumi ini pasti akan merasai mati, iaitu saat terputusnya perhubungan antara roh dan jasad serta detik permulaan ke alam akhirat. Allah SWT telah menentukan ajal seseorang sejak azali lagi dan apabila sampai masanya, ia tidak akan dipercepatkan atau dilewatkan walau sesaat pun. Malaikat Izrail ditugaskan untuk mencabut nyawa dan apabila nyawa sampai di kerongkong, segala pintu taubat telah ditutup dan segala penyesalan tidak berguna lagi.

Ketahuilah bahawa kehidupan manusia di dunia ini menentukan bagaimana pengakhirannya. Niat ikhlas kerana Allah, serta mengikut petunjuk yang ditinggal oleh Rasulullah SAW dan juga Istiqamah dalam ibadah dan amal soleh merupakan kunci utama untuk dapatkan pengakhiran yang baik, iaitu Husn al-Khatimah.

Keduanya, pada asasnya, dalam hal mengkafankan jenazah, sebaik-baiknya kain yang hendak digunakan adalah berwarna putih. Hal ini adalah berdasarkan hadith daripada riwayat Ibn Abbas R.Anhuma, katanya: Rasulullah SAW bersabda:

الْبَسُوا مِنْ ثِيَابِكُمُ الْبَيَاضَ، فَإِنَّهَا مِنْ خَيْرِ ثِيَابِكُمْ، وَكَفِّنُوا فِيهَا مَوْتَاكُمْ

Maksudnya:Pakailah kamu pakaian yang berwarna putih kerana ia sebaik-baik pakaian, dan kafankanlah dengan pakaian putih tersebut mayat-mayat kamu.”

Riwayat Abu Daud (3878); al-Tirmizi (994); Ibn Majah (3566); Ahmad (2219); Imam al-Tirmizi menilainya sebagai hasan sahih.

Begitu juga riwayat daripada Aisyah R.Anha bahawa:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كُفِّنَ فِي ثَلاَثَةِ أَثْوَابٍ يَمَانِيَةٍ بِيضٍ

Maksudnya:Rasulullah SAW dikafankan dengan tiga kain berwarna putih yang berasal dari Yaman.”

Riwayat al-Bukhari (1264)

Imam al-Nawawi menyebutkan, lafaz “بِيضٍ” (putih) dalam hadith di atas adalah dalil yang menunjukkan galakan (sunat) untuk mengkafankan mayat dengan kain putih, dan ia merupakan perkara yang disepakati oleh para ulama. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 7/8).

Perbahasan lanjut mengenai perkara ini kami telah bahaskannya secara panjang lebar dalam artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: #3711: Dalil Kain Kafan Berwarna Putih[1] dan #1312: Kain Kafan Berwarna Selain Warna Putih.[2]

Ketiganya, dalam menjawab soalan di atas iaitu adakah seseorang itu sepatutnya menggunakan atau menjadikan kain kafannya daripada jenis kain yang mahal? Terlebih dahulu kita hendaklah mengetahui bahawa seseorang jenazah itu dibolehkan untuk dikafankan dengan pakaian yang dibolehkan untuknya memakainya ketika hidupnya. Oleh itu, haram untuk mengkafankan jenazah lelaki dengan kain sutera. Manakala bagi jenazah perempuan, pendapat yang masyhur lagi putus adalah diharuskan untuk mengkafankan jenazah perempuan tersebut dengannya. Hal ini kerana dia dibolehkan untuk memakainya ketika masih hidup dahulu, akan tetapi dihukumkan sebagai makruh kerana di dalamnya terdapat pembaziran dan menyerupai perbuatan mensia-siakan harta. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 5/197).

Seterusnya, berkaitan hal ini juga, terdapatnya hadith daripada riwayat Ali bin Abu Talib R.A, katanya:

لَا تَغَالَوْا فِي الْكَفَنِ فَإِنَّهُ يُسْلَبُ سَلْبًا سَرِيعًا

Maksudnya:Jangan melampau dalam urusan pengkafanan kerana kain kafan itu cepat rosak bila berada di dalam tanah.

Riwayat Abu Daud (3154) dan al-Baihaqi (6943).[3]

Syeikh Abdullah bin al-Bassam ketika mensyarahkan hadith ini, beliau menyatakan, dianjurkan (sunat) supaya kain kafan diperbuat daripada kain kapas (cotton) yang biasa dan berwarna putih dan tidak dianjurkan untuk mengkafankan mayat dengan pakaian atau kain mewah lagi mahal, sebagaimana tidak boleh berlebih-lebihan dalam hal berkaitan kain kafan melebihi apa yang telah ditetapkan oleh syarak. Setiap jenis jenazah itu ketentuan yang jelas dalam masalah kafan.

Apatah lagi, kain kafan akan terurai dan dimakan oleh tanah (bumi) dengan cepat. Justeru, tidak ada makna mahupun faedah berlebih-lebihan dengannya. Memilih kain kafan daripada jenis kain atau pakaian yang mewah termasuk dalam bab pembaziran dan kesombongan, yang dilarang daripadanya. Lebih-lebih lagi, di tempat ini di mana orang kaya dan orang miskin, orang yang terhormat dan orang yang hina, semuanya adalah setara dan tidak ada bezanya. Ini adalah salah satu peringatan awal tentang akhirat yang adil. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/178).

Begitu juga Sayyid Sabiq turut membawakan riwayat daripada Abu Bakar R.A yang mengatakan: “Basuhlah kainku ini dan tambahlah dua helai lagi, kemudian kafankanlah aku dengan kain-kain itu.” Aisyah R.Anha berkata: “Kain ini sudah lama.” Kemudian Abu Bakar berkata: “Sesungguhnya orang yang hidup adalah lebih utama untuk memakai kain baru berbanding orang yang telah mati. Sesungguhnya kain kafan itu adalah untuk nanah yang mengalir daripada mayat.”

Bukan itu sahaja, berlebih-lebihan dalam hal kain kafan dihukumkan sebagai makruh kerana kerana perbuatan tersebut mengandungi unsur pembaziran, mensia-siakan harta dan juga melampaui batas yang dilarang dalam agama. Para ulama membezakan kedudukan kain sutera yang dipakai oleh perempuan sebagai barang perhiasan ketika mereka masih lagi hidup dan sebagai kain kafan selepas mereka meninggal dunia. Di antara ulama yang menghukumkannya sebagai makruh ialah al-Hasan, Ibn al-Mubarak dan Ishaq. Bahkan Ibn al-Munzir menyebutkan, aku tidak menemui daripada selain mereka pendapat yang menyelisihi mereka dalam perkara ini. (Lihat Fiqh al-Sunnah, 1/520).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa tidak sepatutnya seseorang itu menggunakan atau menjadikan kain kafannya daripada kain yang mahal lagi mewah. Jika dia menjadikan kain yang berwarna putih tetapi elok dari segi kualitinya tanpa berlebih-lebihan adalah jauh lebih baik. Ini kerana sekalipun dibolehkan untuk menggunakan kain kafan yang mahal, tetapi ia dihukumkan sebagai makruh, sekiranya terdapat unsur-unsur pembaziran dan berlebih-lebihan pada perkara yang tidak sepatutnya. Apatah lagi sehingga ia menyusahkan dan  di luar daripada batasan kemampuan dalam urusan mengkafankan jenazah. Orang yang hidup lebih utama diraikan dari segi berpakaian, berbanding orang yang telah meninggal dunia.

Meskipun begitu, kami tidak menafikan bahawa kain kafan itu hendaklah baik tanpa berlebih-lebihan dalam harganya ataupun tanpa seseorang membebankan dirinya dalam hal tersebut yang bukan daripada kebiasaannya (adatnya). Dalam erti kata lain, kain kafan itu tidak berada di luar daripada kemampuannya. Maka, ini adalah lebih baik. Ini bertepatan dengan hadith Nabi SAW, di mana Baginda bersabda:

 إذا كَفَّنَ أَحَدُكُمْ أَخاهُ، فَلْيُحَسِّنْ كَفَنَهُ

Maksudnya: “Ketika salah seorang daripada kamu mengkafankan saudaranya maka hendaknya dia memperelokkan kafannya.

Riwayat Muslim (943)

Kisah Yang Tidak Dapat Dilupakan

Pada pertengahan bulan Jamadilakhir tahun 13 Hijrah, Khalifah Abu Bakar RA didatangi keuzuran demam yang membawa kepada kewafatan selepas 15 hari. Ummu al-Mu’minin ‘Aisyah RA menceritakan bahawa beliau datang mengunjungi Abu Bakar RA ketika uzur, lalu ayahandanya bertanya:

فِي أَي يَوْمٍ مَاتَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ؟

Maksudnya: “Pada hari apakah Rasulullah SAW wafat?”

Ummu al-Mu’minin menjawab:

فِي يَوْمِ الْإِثْنَيْنِ.

Maksudnya: “Pada hari Isnin.”

Abu Bakar RA melanjutkan kata-katanya:

مَا شَاءَ اللَّهُ، إِنِّي لَأَرْجُو فِيمَا بَيْنِي وَبَيْنَ اللَّيْلِ.

Maksudnya: “Masya-Allah, aku berharap antara waktu sekarang sehingga malam (meninggal dunia).”

Katanya lagi:

فَفِيمَ كَفَنْتُمُوهُ؟

Maksudnya: “Bagaimanakah kalian mengkafani Rasulullah SAW ketika kewafatan Baginda?”

Jawab Ummu al-Mu’minin RA:

في ثلاثَةِ أَثْوَابِ بيض سحولية يمانِيَةٍ، لَيْسَ فِيهَا قَمِيصُ وَلَا عِمَامَةٌ.

Maksudnya: “Baginda SAW dikafankan dengan tiga lapis kain putih suhuliyyah (dari Yaman), tanpa pakaian yang lain dan serban.”

Lantas Abu Bakar RA berkata lagi:

انْظُرِي تَوْلِي هَذَا، فِيهِ رَدْعُ زَعْفَرَانِ، أَوْ مِشْقٌ، فَاغْسِلِيهِ، وَاجْعَلِي مَعَهُ تَوْبَيْنِ آخَرَيْن.

Maksudnya: “Wahai ‘Aisyah! Lihatlah bajuku ini yang terdapat calitan minyak za’faran. Oleh itu, cucikanlah dan tambahkan lagi dua helai kain yang lain.” (Lihat Tabaqat al-Kubra, 3/201)

‘Aisyah RA berkata:

قَدْ رَزَقَ اللَّهُ وَأَحْسَنَ، نُكَفِّنَكَ فِي جَدِيدٍ.

Maksudnya: “Allah telah melapangkan rezeki. Kami akan mengkafanimu dengan kain yang baharu.”

Mendengar perkara itu, lantas Khalifah menjawab:

إِنَّ الْحَيَّ هُوَ أَحْوَجُ إِلَى الْجَدِيدِ لِيَصُونُ بِهِ نَفْسَهُ عَنِ الْمَيِّتِ، إِنَّمَا يَصِيرُ الْمَيِّتِ إِلَى الصَّدِيدِ، وَإِلَى الْبِلَى.

Maksudnya: “Orang yang masih hidup itu lebih memerlukan kain yang baharu, agar dapat menjaga dirinya daripada kematian. Sementara kain kafan bagi orang mati hanya untuk jasad yang reput bernanah.” (Lihat al-Tarikh al-Islami, hlm. 104)

Pada malam Selasa 22 Jamadilakhir tahun 13 Hijrah, Khalifah Abu Bakar RA meninggal dunia dengan meninggalkan jasa dan amal kebajikan yang berpanjangan hingga hari akhirat.

Jenazahnya dikebumikan pada waktu malam hari yang sama, dan disemadikan di sisi Rasulullah SAW dengan kepalanya berada pada arah rusuk Rasulullah SAW. (Lihat Fiqh Siasah Khalifah Abu Bakar RA, hlm. 421-423)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْ خَيْرَ أَعْمَارِنَا أَوَاخِرَهَا، وَخَيْرَ أَعْمَالِنَا خَوَاتِمَهَا، وَاجْعَلْ خَيْرَ أَيَّامِنَا يَوْمَ نَلْقَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah sebaik-baik umur kami adalah pada penghujungnya, dan sebaik-baik amalan kami sebagai penutupnya. Dan jadikanlah sebaik-baik hari kami, adalah hari dimana kami berjumpa dengan-Mu kelak.”

[1] Lihat https://maktabahalbakri.com/3711-dalil-kain-kafan-berwarna-putih/. Diakses pada 23 Oktober 2023.

[2] Lihat https://maktabahalbakri.com/1319-kain-kafan-berwarna-selain-warna-putih/. Diakses pada 23 Oktober 2023.

[3] Syeikh al-Albani dalam Dha’if al-Jami‘ (6247) menilainya sebagai dha’if; Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam Takhrij Syarh al-Sunnah (5/315) menyatakan, di dalamnya terdapat perawi bernama Abu Malik ‘Amr bin Hasyim al-Janbi dan dia adalah seorang layyin al-hadith.

Bertarikh: 24 Oktober 2023 bersamaan 9 Rabiulakhir 1445