#3756: Tidak Boleh Meremehkan Pemberian Yang Sedikit

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya benarkah Nabi SAW menasihatkan wanita supaya memberikan kepada jiran walaupun sedikit? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

فَإِن طِبْنَ لَكُمْ عَن شَيْءٍ مِّنْهُ نَفْسًا فَكُلُوهُ هَنِيئًا مَّرِيئًا

Maksudnya: “Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari maskahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya.”

(Surah al-Nisa: 4)

Syeikh Muhammad al-Zuhaili menyatakan, sekiranya seseorang isteri itu memberi (hibah) kepada suaminya sebahagian daripada maharnya maka harus bagi suaminya itu mengambilnya. Dan ia merupakan pemberian yang baik selagi mana ia meredhainya. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 3/176)

Amalan memberi hibah, hadiah ataupun sedekah merupakan satu amalan yang digalakkan dalam Islam. Firman Allah SWT:

لَّيْسَ الْبِرَّ أَن تُوَلُّواْ وُجُوهَكُمْ قِبَلَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ وَلَكِنَّ الْبِرَّ مَنْ آمَنَ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ وَالْمَلآئِكَةِ وَالْكِتَابِ وَالنَّبِيِّينَ وَآتَى الْمَالَ عَلَى حُبِّهِ ذَوِي الْقُرْبَى وَالْيَتَامَى وَالْمَسَاكِينَ وَابْنَ السَّبِيلِ وَالسَّآئِلِينَ وَفِي الرِّقَابِ

Maksudnya: “Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan hari akhirat, dan segala malaikat, dan segala Kitab, dan sekalian Nabi; dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang ia menyayanginya, – kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan, dan kepada orang-orang yang meminta, dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi.”

(Surah al-Baqarah: 177)

Asal bagi perbuatan hibah adalah mustahab (sunat) menurut ijma’ ulama’. Akan tetapi, hukum sunat tersebut boleh berubah menjadi haram jika diniatkan padanya perbuatan maksiat atau membantu kezaliman ataupun dimaksudkan dengan pemberian hibah atau hadiah tersebut sebagai tujuan rasuah para pekerja dan sebagainya, maka perbuatan ini adalah diharamkan. Dan juga ia boleh berubah menjadi makruh apabila wujudnya unsur atau perasaan riak dan takabbur (membangga diri) terhadap pemberian tersebut. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 42/122)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan amalan memberi hadiah merupakan amalan yang dianjurkan dalam islam. Ini kerana dengan memberi hadiah akan mengeratkan lagi hubungan silaturrahim bahkan menambahkan lagi kasih sayang antara pemberi dan penerima hadiah. Hal ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A sabda Nabi SAW:

تَهَادَوْا تَحَابُّوا

Maksudnya: “Hendaklah kamu saling memberi hadiah. Nescaya, kamu akan saling mengasihi dan mencintai.

Riwayat al-Baihaqi (6/169), al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (7240), dan al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (594). Hadith ini isnadnya dinilai hasan oleh al-Hafiz Ibn Hajar dalam al-Talkhis al-Habir (3/1047)

Dalam menerima hadiah, kita harus menghindari dari  meremehkan pemberian yang bersifat kecil baik dari jiran mahupun orang lain. Ini disebabkan islam amat menekankan sifat bersyukur terhadap sesuatu walaupun ianya sedikit. ingatlah pesanan Allah SWT tentang azab bagi sesiapa yang tidak mensyukuri nikmatnya sebagaimana firman-Nya:

وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِن شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ ۖ وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ

Maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras.”

(Surah Ibrahim:7)

Ibn Kathir menyebutkan bahawa ayat di atas bermaksud sekiranya seseorang itu bersyukur kepada Allah atas segala nikmat yang diberikan kepadanya, maka Allah SWT akan menambahkan lagi nikmat tersebut ke atas dirinya. Namun, sekiranya dia mengingkari nikmat itu, maka sesungguhnya azab Allah sangatlah pedih. Perkara tersebut adalah dengan menarik kembali nikmat itu daripada diri mereka dan menyeksa mereka disebabkan oleh pengingkaran terhadap nikmat tersebut. (Lihat Mukhtasar Tafsir Ibn Kathir oleh al-Sabuni, 2/291)

Oleh yang demikian meremeh-remehkan pemberian amatlah tidak wajar walaupun ia sedikit.  Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

يا نِساءَ المُسْلِماتِ، لا تَحْقِرَنَّ جارَةٌ لِجارَتِها، ولو فِرْسِنَ شاةٍ

Maksudnya: Wahai wanita-wanita muslimah! Janganlah seorang itu meremehkan hadiah daripada jirannya, meskipun hadiah itu sekadar bahagian kaki kambing yang tidak mempunyai daging

Riwayat Bukhari(2566) dan Muslim (1030)

Dapat difahami melalui hadith antaranya adalah seperti berikut:

  • Kita dianjurkan untuk melakukan kebaikan, digalakkan untuk melakukannya. Ini kerana ia adalah akhlak muslim yang wajar dilakukan.
  • Terdapat keutamaan memberikan hadiah kerana ia dapat menghapuskan permusuhan dan kebencian di kalangan mereka yang saling memberikan hadiah, serta membawa kasih sayang dan cinta.
  • Dalam hadith ini terdapat petunjuk bahawa apabila seseorang berbuat kebaikan dan amal soleh dengan niat mendekatkan diri kepada Allah SWT, kesannya amat besar di sisi Allah. Firman Allah SWT:

فَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ ‎﴿٧﴾‏ وَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَهُ

Maksudnya: “Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!”

(Surah al-Zalzalah: 7-8)

Syeikh Abd al-Rahman Nasir al-Sa’di berkata: Yakni, barangsiapa yang mengerjakan seberat zarrah pun, nescaya dia akan melihat (balasannya)nya. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarrah pun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya juga.” Hal ini bersifat umum untuk seluruh kebaikan dan kejahatan, kerana apabila manusia dapat melihat amalan seberat biji zarrah yang merupakan sesuatu yang terkecil dan diberi balasannya, maka yang lebih besar, tentu dapat dilihat. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 932)

  • Dan jika ia (pemberian) adalah sedekah kepada seorang fakir, maka ia akan memberi manfaat kepada fakir tersebut, walaupun jumlahnya sedikit. Ia juga akan menambah pahala bagi orang yang beramal dengan niat yang ikhlas. Diriwayatkan daripada ‘Adi Bin Hatim al-Tai bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

 اتَّقُوا النَّارَ وَلَوْ بِشِقِّ تَمْرَةٍ،

Maksudnya: “Selamatkan dirimu daripada neraka walau dengan bersedekah dengan belahan buah kurma.

Riwayat al-Bukhari (6023)

(Lihat Taudih al-Ahkam Min Bulugh al-Maram,5/129-130)

Justeru hadith di atas bukan hanya merujuk kepada perempuan, tetapi juga kepada lelaki. Oleh itu, setiap individu dianjurkan untuk melakukan kebaikan dengan memberikan sedekah atau hadiah, dan dilarang untuk meremehkan kebaikan, walaupun nilai pemberiannya  kecil.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّار

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Wallahua’lam.

Bertarikh: 24 Oktober 2023 bersamaan 9 Rabiulakhir 1445