#376 Nikah Berwalikan Anak Lelaki

Soalan

Adakah seorang ibu boleh bernikah dengan berwalikan anak lelakinya?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Wali ataupun dalam bahasa arabnya al-Wali (الوَلِي) dari sudut Bahasa bermaksud “dekat atau hampir”. Ia disebut “waliyyahu, walyan” iaitu hampir kepadanya. Dan “wali al-Amr”, apabila berurusan dengannya dan “Tawalla al-Amr” iaitu dilantik akan dia.

Dari sudut istilah, al-Wilayah digunakan sebagai ketua yang tertinggi, qadi, tentera dan selainnya. Terdapat pelbagai maksud yang digunakan pada kalimah Wali atau Wilayah, ia juga memberi maksud sebagai wakil atau penjaga seperti yang diibaratkan sebagai wali di dalam nasab keturunan, wakil dalam pembahagian harta dan lain-lain lagi.[1]

Selain itu, pada maksud yang lain al-Wilayah berlawan dengan al-A’dawah, secara asalnya ia bermaksud kasih sayang dan hampir. Dan maksud al-A’dawah ialah kebencian dan jauh.[2]

Wali pernikahan pula adalah orang yang menentukan sahnya akad. Akad nikah tidak sah dengan ketiadaannya. Wali itu seperti bapa, orang yang diwasiatkan, karib kerabat yang dekat ( al-Qarib al-Ashib) , orang yang membebaskan hamba, penguasa dan raja.[3]

Kewujudan wali adalah wajib semasa aqad nikah. Perkahwinan seseorang perempuan sama ada dewasa atau masih kecil, janda ataupun dara, hendaklah diaqadkan oleh walinya. Seseorang perempuan tidak harus dikahwini, mengahwinkan dirinya sendiri atau mengahwinkan orang lain sama ada dengan izin atau tidak, walaupun terdapat ijab dan qabul daripada perempuan tersebut. Hal ini berdasarkan hadith daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:

لاَ تُزَوِّجُ الْمَرْأَةُ الْمَرْأَةَ وَلاَ تُزَوِّجُ الْمَرْأَةُ نَفْسَهَا

Maksudnya“Seseorang perempuan tidak harus mengahwinkan perempuan lain dan tidak harus mengahwinkan dirinya sendiri.”[4]

Para sahabat R.Anhum menggelarkan perempuan yang mengahwinkan dirinya sendiri sebagai perempuan yang jahat, manakala dalam riwayat yang lain, dia disebut penzina. [5]

Berdasarkan persoalan di atas, anak lelaki tidak boleh menjadi wali kepada ibunya. Penulis kitab al-Fiqh al-Manhaji menyebut: Anak lelaki dan cucu lelaki daripada anak lelaki tidak boleh menjadi wali dalam perkahwinan. Oleh itu, sebagai seorang anak, dia tidak boleh menjadi wali kepada ibunya sendiri kerana tiada persamaan nasab antara keduanya. Hal ini adalah kerana mereka dinasabkan kepada bapa masing-masing. Anak lelaki bapa saudara boleh menjadi wali kepada ibu saudaranya sekiranya tiada wali yang lebih hampir untuk mengahwinkan ibu saudaranya.[6]

Sebagai kesimpulan, Kami juga berpendapat boleh jadi kebanyakan anak tidak merasa selesa untuk mewalikan ibunya yang ingin berkahwin kerana hubungan anak tersebut dengan bapanya yang asal. Ini secara fitrah perasaan tersebut akan wujud pada naluri dan jiwa anak-anak lelaki.

Semoga Allah kurniakan kepada kita kefaqihan dan kefahaman dalam agama sehingga kita dapat melaksanakannya dalam kehidupan kita. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 28 Januari 2022 bersamaan 25 Jamadil Akhir 1443H

[1] Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 45/135

[2] Lihat al-Furqan Baina Aulia’ al-Rahmah wa Aulia’ al-Syaitan, hlm 9

[3] Lihat al-Fiqh ‘ala al-Madzahib al-Arba’ah, 4/29

[4] Riwayat Ibn Majah (1882), al-Bazzar (10085) dan al-Daruqudtni (3/227). Hadith ini di nilai sahih berdasarkan kitab Sahih Ibn Majah (1539)

[5] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/61

[6] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/63