#3762: Solat Nabi SAW Boleh Memberi Cahaya kepada Kubur?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Benarkah solat Nabi SAW boleh memberi cahaya kepada kubur? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, secara umumnya, antara hak bagi si mati adalah dengan menyegerakan pengurusan jenazah yang meliputi pemandian, mengkafankan, mensolatkan, serta pengebumian. Ini seperti yang dinyatakan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَسْرِعُوا بِالْجَنَازَةِ فَإِنْ تَكُ صَالِحَةً فَخَيْرٌ تُقَدِّمُونَهَا عَلَيْهِ وَإِنْ تَكُنْ غَيْرَ ذَلِكَ فَشَرٌّ تَضَعُونَهُ عَنْ رِقَابِكُمْ

Maksudnya: “Segerakanlah dengan jenazah. Sekiranya dia merupakan jenazah yang soleh, nescaya dia merupakan suatu kebaikan yang kamu hantarkan ia padanya. Namun sekiranya dia tidak soleh, maka itu suatu keburukan yang kamu pikul di atas bahu-bahu kamu.

Riwayat al-Bukhari (1315) dan Muslim (944)

Berdasarkan hadith ini, disunatkan untuk disegerakan solat jenazah dan membawanya ke perkuburan. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/20 dan 2/51). Selain itu, menyegerakan pengebumian jenazah di dalam hadith di atas termasuk proses memandikan, mengkafankan, mengangkat serta mengusungnya ke tanah perkuburan. (Lihat Fatawa Syeikh Ilisy, 1/155).

Justeru, pada asasnya, jenazah hendaklah dilakukan ke atasnya empat perkara. Pertama, memandikan. Kedua, mengkafankan. Ketiga, menyembahyangkan iaitu melaksanakan solat jenazah ke atasnya. Keempat, mengebumikannya. Ini adalah asas fardu kifayah menurut ijma‘ para ulama tanpa khilaf. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 5/104).

Keduanya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa benar terdapat riwayat yang menceritakan bahawa solat Nabi SAW boleh memberi cahaya kepada kubur.

Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abu Hurairah R.A bahawa:

أَنَّ رَجُلًا أَسْوَدَ أَوِ امْرَأَةً سَوْدَاءَ كَانَ يَقُمُّ المَسْجِدَ فَمَاتَ، فَسَأَلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْهُ، فَقَالُوا: مَاتَ، قَالَ: أَفَلاَ كُنْتُمْ آذَنْتُمُونِي بِهِ دُلُّونِي عَلَى قَبْرِهِ – أَوْ قَالَ: قَبْرِهَا – فَأَتَى قَبْرَهَا فَصَلَّى عَلَيْهَا

Maksudnya: “Ada seorang lelaki berkulit hitam atau perempuan berkulit hitam yang selalu menyapu (membersihkan) masjid meninggal dunia. Lalu Nabi SAW bertanya mengenainya. Mereka menjawab: ‘Dia telah meninggal dunia.’ Baginda SAW bersabda: ‘Mengapa kamu tidak memberitahuku. Tunjukkan kepadaku di mana kubur lelaki itu.’ – Atau Baginda bersabda: ‘Kubur perempuan itu.’ – Lalu Baginda SAW menziarahi kuburnya dan bersolat jenazah ke atasnya.

Riwayat al-Bukhari (458)

Dalam riwayat Muslim terdapat lafaz tambahan:

ثُمَّ قالَ: إنَّ هذِه القُبُورَ مَمْلُوءَةٌ ظُلْمَةً على أَهْلِها، وإنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يُنَوِّرُها لهمْ بصَلاتي عليهم.

Maksudnya: “Kemudian Baginda bersabda: ‘Sesungguhnya kubur ini penuh dengan kegelapan bagi penghuninya dan sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla telah menyinari kubur itu buat mereka (penghuninya) dengan sebab doaku (solatku) kepada mereka.’

Riwayat Muslim (956)

Syeikh Abdullah al-Bassam ketika mensyarahkan hadith di atas menyebutkan, padanya mengandungi pengisbatan kegelapan kubur dan cahaya yang meneranginya. Ia adalah sesuatu kebenaran yang pasti dan thabit berdasarkan dalil-dalil yang lain. Selain itu, hadith ini juga mengandungi pengisbatan mengenai keberkatan Nabi SAW dan doanya. Sesungguhnya Allah SWT telah menjadikannya sebagai asbab bagi menerangi kubur buat penghuninya. Lafaz “doa” yang dimaksudkan dalam hadith ini adalah merujuk kepada solat (yakni solat jenazah). Hal ini kerana Nabi SAW tidak mendirikan solat jenazah ke atas semua orang yang meninggal dunia.

Tambahan lagi, hadith ini juga menunjukkan kepada anjuran atau galakan (sunat) untuk mendirikan solat jenazah di tanah perkuburan bagi sesiapa yang terlepas atau tidak sempat menunaikan solat jenazah ke atas mayat itu, dan tidak ada khilaf dalam kalangan ulama mengenai anjuran atau galakan tersebut. Hal ini kerana Rasulullah SAW sendiri telah mendirikan solat jenazah bagi wanita tersebut di tanah perkuburannya. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/188-189).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

 

Bertarikh: 24 Oktober 2023 bersamaan 9 Rabiulakhir 1445