#3764: Solat Jenazah di atas Kubur

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bolehkah atau tidak melakukan solat jenazah di atas kubur (di tanah perkuburan)? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, solat jenazah di atas kubur adalah sah dan dibolehkan. Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Abu Hurairah R.A bahawa:

أَنَّ رَجُلًا أَسْوَدَ أَوِ امْرَأَةً سَوْدَاءَ كَانَ يَقُمُّ المَسْجِدَ فَمَاتَ، فَسَأَلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْهُ، فَقَالُوا: مَاتَ، قَالَ: أَفَلاَ كُنْتُمْ آذَنْتُمُونِي بِهِ دُلُّونِي عَلَى قَبْرِهِ – أَوْ قَالَ: قَبْرِهَا – فَأَتَى قَبْرَهَا فَصَلَّى عَلَيْهَا

Maksudnya: “Ada seorang lelaki berkulit hitam atau perempuan berkulit hitam yang selalu menyapu (membersihkan) masjid meninggal dunia. Lalu Nabi SAW bertanya mengenainya. Mereka menjawab: ‘Dia telah meninggal dunia.’ Baginda SAW bersabda: ‘Mengapa kamu tidak memberitahuku. Tunjukkan kepadaku di mana kubur lelaki itu.’ – Atau Baginda bersabda: ‘Kubur perempuan itu.’ – Lalu Baginda SAW menziarahi kuburnya dan bersolat jenazah ke atasnya.

Riwayat al-Bukhari (458)

Dalam riwayat Muslim datang dengan lafaz:

أَنَّ امْرَأَةً، سَوْدَاءَ كَانَتْ تَقُمُّ الْمَسْجِدَ أَوْ شَابًّا فَفَقَدَهَا رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَسَأَلَ عَنْهَا أَوْ عَنْهُ فَقَالُوا مَاتَ.‏ قَالَ: أَفَلاَ كُنْتُمْ آذَنْتُمُونِي.‏ قَالَ: فَكَأَنَّهُمْ صَغَّرُوا أَمْرَهَا أَوْ أَمْرَهُ فَقَالَ: دُلُّونِي عَلَى قَبْرِهِ.‏ فَدَلُّوهُ فَصَلَّى عَلَيْهَا ثُمَّ قَالَ:‏ إِنَّ هَذِهِ الْقُبُورَ مَمْلُوءَةٌ ظُلْمَةً عَلَى أَهْلِهَا وَإِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يُنَوِّرُهَا لَهُمْ بِصَلاَتِي عَلَيْهِمْ‏

Maksudnya: “Sesungguhnya terdapat seorang wanita (ataupun pemuda) kulit hitam yang selalu membersihkan masjid dan Rasulullah SAW lama tidak melihatnya maka ditanyakan soalan tentangnya dan mereka berkata bahawa dia telah meninggal dunia. Maka Rasulullah SAW bersabda: ‘Mengapa kamu tidak memberitahuku, seakan kamu meremehkan urusannya.’ Kemudian Rasulullah SAW menyuruh agar ditunjukkan kuburnya lalu Rasulullah SAW solat di situ kemudian bersabda: ‘Sesungguhnya kubur ini dipenuhi dengan kegelapan ke atas penghuninya dan Allah ‘Azza wa Jalla menyinarinya dengan solatku ini ke atas mereka.’”

Riwayat Muslim (956)

Syeikh Abdullah al-Bassam ketika mensyarahkan hadith di atas menyebutkan, padanya menunjukkan kepada anjuran atau galakan (sunat) untuk mendirikan solat jenazah di tanah perkuburan bagi sesiapa yang terlepas atau tidak sempat menunaikan solat jenazah ke atas mayat itu, dan tidak ada khilaf dalam kalangan ulama mengenai anjuran atau galakan tersebut. Hal ini kerana Rasulullah SAW sendiri telah mendirikan solat jenazah bagi wanita tersebut di tanah perkuburannya.

Imam Ahmad menyebutkan, siapakah yang ragu-ragu mengenai keharusan untuk solat jenazah di atas kubur sedangkan ia adalah suatu syariat yang sabit dan tidak sepatutnya mengingkarinya. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/188-189).

Begitu juga al-Khattabi turut menyatakan, padanya jelas menunjukkan diharuskan solat atas kubur bagi sesiapa yang tidak sempat solat jenazah sebelum dikebumikan. (Lihat Ma‘alim al-Sunan, 1/315).

Oleh itu, jelas bahawa solat jenazah di kubur adalah dibolehkan jika seseorang itu tidak sempat untuk mensolatkannya di masjid atau tempat lainnya. Ini berdasarkan riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma, katanya:

مَاتَ إِنْسَانٌ كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَعُودُهُ، فَمَاتَ بِاللَّيْلِ، فَدَفَنُوهُ لَيْلًا، فَلَمَّا أَصْبَحَ أَخْبَرُوهُ، فَقَالَ: مَا مَنَعَكُمْ أَنْ تُعْلِمُونِي؟ قَالُوا: كَانَ اللَّيْلُ فَكَرِهْنَا، وَكَانَتْ ظُلْمَةٌ أَنْ نَشُقَّ عَلَيْكَ فَأَتَى قَبْرَهُ فَصَلَّى عَلَيْهِ

Maksudnya: “Seorang lelaki yang pernah diziarahi Rasulullah SAW ketika dia sakit meninggal dunia, dia meninggal pada waktu malam, kemudian mereka mengebumikannya pada malam itu juga. Keesokan paginya, mereka memberitahu Baginda. Lalu Baginda bersabda: ‘Apakah yang menghalang kamu semua daripada memberitahuku?’ Mereka menjawab: ‘Ia berlaku pada waktu malam – yang gelap gelita. – Maka kami tidak mahu untuk menyusahkanmu.’ Setelah itu Baginda menziarahi kuburnya lalu mengerjakan solat jenazah untuknya.

Riwayat al-Bukhari (1247)

Badruddin al-‘Aini ketika mensyarahkan hadith di atas menukilkan beberapa pendapat yang mengatakan boleh untuk solat jenazah di kubur.  Di antara mereka ialah Imam al-Syafi‘i, Ahmad dan Ishak bin Rahawaih. Begitu juga dengan Abdullah bin al-Mubarak yang mengatakan sekiranya jenazah telah dikebumikan dan tidak disolatkan lagi, maka boleh untuk melakukan solat jenazah kepadanya di atas kubur. (Lihat ‘Umdah al-Qari, 8/26).

Tambahan lagi, Syeikh Abdullah al-Bassam juga ada menyebutkan, para ulama telah berijma‘ mengenai anjuran atau galakan (sunat) untuk melakukan solat jenazah di atas kubur bagi sesiapa yang terlepas atau tidak sempat untuk solat jenazah ke atas mayat tersebut. Akan tetapi mereka berselisih pendapat mengenai tempoh yang dibenarkan untuk melakukan solat jenazah di atas kubur itu.

Ulama dalam kalangan Hanafiyyah berpendapat, solat jenazah boleh dilakukan ke atas mayat selagi mana mayat itu belum berubah dan mereput. Pengesahan tanda-tanda perubahan mayat bergantung kepada pengetahuan dan kebijaksanaan orang yang berpengalaman, tanpa menentukan tempoh. Ini kerana perkara itu boleh berbeza-beza mengikut keadaan, waktu, dan tempat.

Ulama dalam kalangan Syafi‘iyyah berpendapat, solat jenazah adalah dibolehkan selagi mana mayat belum mereput. Manakala ulama dalam kalangan Hanabilah pula berpendapat dengan menetapkan tempoh satu bulan, dan setelah tempoh ini, solat jenazah di atas mayat adalah haram. Imam Ahmad menyebutkan, ini adalah pendapat yang paling banyak aku dengar.

Selain daripada itu, Ibn al-Qayyim juga ada menyebutkan, Nabi SAW telah mendirikan solat jenazah di atas kubur sekali selepas satu malam, sekali lagi selepas tiga malam dan sekali lagi selepas sebulan, dan Baginda SAW tidak mengkhususkan waktu (atau tempoh) tertentu bagi seseorang mendirikan solat jenazah di atas kubur.

Seterusnya, Syeikh Abdullah al-Bassam menyimpulkan dengan menyatakan, pendapat yang kuat (rajih) di sisinya adalah ia ditentukan oleh faktor-faktor seperti, apabila seseorang meninggal dunia dan anda berkeahlian untuk solat serta diperintahkan untuk solat jenazah ke atasnya (kerana tidak ada orang lain), maka hendaklah melakukannya. Adapun jika seseorang itu meninggal dunia dan anda tidak berkeahlian untuk solat, maka tidak boleh solat ke atasnya. Sekiranya tidak, maka bolehlah sesiapa pun dalam kalangan manusia boleh untuk mendirikan solat jenazah kepada mereka yang telah meninggal dunia berkurun sebelumnya. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/190).

Tambahan lagi, Ibn Qudamah juga ada menyebutkan, sesiapa yang terlepas solat jenazah sehingga telah dikebumikan, maka solat jenazah dikuburnya dan dibolehkan untuk solat di situ selama satu bulan. Begitulah pendapat ahli ilmu daripada kalangan sahabat Nabi SAW dan selain mereka. Ini juga adalah pendapat al-Auza‘i dan Imam al-Syafi‘i. (Lihat al-Mughni, 2/381).

Begitu juga Syeikh Daud al-Fatani ada menyatakan bahawa sah mengerjakan solat jenazah di atas kubur dan memadai solat di atas kubur walaupun jenazahnya sudah reput, jika jenazah itu belum lagi disolatkan dengan syarat kuburnya belum pernah digali sebelum itu. (Lihat Furu‘ al-Masa’il, hlm. 560).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian , berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, jelaslah bahawa dibolehkan untuk mendirikan solat jenazah di atas kubur bagi mereka yang terlepas atau tidak sempat untuk mendirikan solat jenazah ke atas mayat tersebut. Bahkan dinyatakan bahawa para ulama telah menyatakan ijma‘ dalam hal tersebut.

Seterusnya, para ulama berbeza pendapat berkenaan tempoh waktu yang dibenarkan dan dibolehkan bagi seseorang untuk mendirikan solat jenazah itu. Ada yang berpendapat bahawa tempohnya adalah selagi mana mayat masih belum lagi mereput. Begitu juga ada dalam kalangan mereka yang menetapkan tempohnya adalah selama sebulan.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

 رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِ ۖ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا ۚ أَنتَ مَوْلَانَا فَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir.”

(Surah al-Baqarah: 286)

Bertarikh: 24 Oktober 2023 bersamaan 9 Rabiulakhir 1445