#3765: Bolehkah Cita-Cita Mati Pada Hari Isnin Atau Malam Isnin?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkah seseorang meletakkan cita-cita ingin mati pada hari Isnin atau malam Isnin?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan ini, kami nukilkan kisah Abu Bakar yang ingin mati pada hari Isnin atau malam Isnin. Pada pertengahan bulan Jamadilakhir tahun 13 Hijrah, Khalifah Abu Bakar RA didatangi keuzuran demam yang membawa kepada kewafatan selepas 15 hari. Ummu al-Mu’minin ‘Aisyah RA menceritakan bahawa beliau datang mengunjungi Abu Bakar RA ketika uzur, lalu ayahandanya bertanya:

فِي أَي يَوْمٍ مَاتَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ؟

Maksudnya: “Pada hari apakah Rasulullah SAW wafat?”

Ummu al-Mu’minin menjawab:

فِي يَوْمِ الْإِثْنَيْنِ.

Maksudnya: “Pada hari Isnin.”

Abu Bakar RA melanjutkan kata-katanya:

مَا شَاءَ اللَّهُ، إِنِّي لَأَرْجُو فِيمَا بَيْنِي وَبَيْنَ اللَّيْلِ.

Maksudnya: “Masya-Allah, aku berharap antara waktu sekarang sehingga malam (meninggal dunia).”

Katanya lagi:

فَفِيمَ كَفَنْتُمُوهُ؟

Maksudnya: “Bagaimanakah kalian mengkafani Rasulullah SAW ketika kewafatan Baginda?”

Jawab Ummu al-Mu’minin RA:

في ثلاثَةِ أَثْوَابِ بيض سحولية يمانِيَةٍ، لَيْسَ فِيهَا قَمِيصُ وَلَا عِمَامَةٌ.

Maksudnya: “Baginda SAW dikafankan dengan tiga lapis kain putih suhuliyyah (dari Yaman), tanpa pakaian yang lain dan serban.”

Lantas Abu Bakar RA berkata lagi:

انْظُرِي تَوْلِي هَذَا، فِيهِ رَدْعُ زَعْفَرَانِ، أَوْ مِشْقٌ، فَاغْسِلِيهِ، وَاجْعَلِي مَعَهُ تَوْبَيْنِ آخَرَيْن.

Maksudnya: “Wahai ‘Aisyah! Lihatlah bajuku ini yang terdapat calitan minyak za’faran. Oleh itu, cucikanlah dan tambahkan lagi dua helai kain yang lain.” (Lihat Tabaqat al-Kubra, 3/201)

‘Aisyah RA berkata:

قَدْ رَزَقَ اللَّهُ وَأَحْسَنَ، نُكَفِّنَكَ فِي جَدِيدٍ.

Maksudnya: “Allah telah melapangkan rezeki. Kami akan mengkafanimu dengan kain yang baharu.”

Mendengar perkara itu, lantas Khalifah menjawab:

إِنَّ الْحَيَّ هُوَ أَحْوَجُ إِلَى الْجَدِيدِ لِيَصُونُ بِهِ نَفْسَهُ عَنِ الْمَيِّتِ، إِنَّمَا يَصِيرُ الْمَيِّتِ إِلَى الصَّدِيدِ، وَإِلَى الْبِلَى.

Maksudnya: “Orang yang masih hidup itu lebih memerlukan kain yang baharu, agar dapat menjaga dirinya daripada kematian. Sementara kain kafan bagi orang mati hanya untuk jasad yang reput bernanah.” (Lihat al-Tarikh al-Islami, hlm. 104)

Pada malam Selasa 22 Jamadilakhir tahun 13 Hijrah, Khalifah Abu Bakar RA meninggal dunia dengan meninggalkan jasa dan amal kebajikan yang berpanjangan hingga hari akhirat.

Jenazahnya dikebumikan pada waktu malam hari yang sama, dan disemadikan di sisi Rasulullah SAW dengan kepalanya berada pada arah rusuk Rasulullah SAW. (Lihat Fiqh Siasah Khalifah Abu Bakar RA, hlm. 421-423)

Yang penting seseorang itu meninggal dunia dalam keadaan husnul khatimah dengan melakukan amalan-amalan yang soleh sebelum kematiannya. Marilah sama-sama kita sentiasa berdoa dan munajat kepada Allah SWT semoga Allah SWT teguhkan hati kita di atas agama yang sebenar di samping mati dalam keadaan husnul khatimah.

Kami akhiri dengan doa:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”

اللَّهُمَّ اجْعَلْ خَيْرَ أَعْمَارِنَا أَوَاخِرَهَا، وَخَيْرَ أَعْمَالِنَا خَوَاتِمَهَا، وَاجْعَلْ خَيْرَ أَيَّامِنَا يَوْمَ نَلْقَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah sebaik-baik umur kami adalah pada penghujungnya, dan sebaik-baik amalan kami sebagai penutupnya. Dan jadikanlah sebaik-baik hari kami, adalah hari dimana kami berjumpa dengan-Mu kelak.”

Bertarikh: 24 Oktober 2023 bersamaan 9 Rabiulakhir 1445