Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Siapakah yang sepatutnya saya berkawan kerana kawan-kawan saya pelbagai jenis? Semoga sedikit pandangan yang diberi dapat membawa kebaikan kepada saya.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Diriwayatkan oleh Abu Musa Al-Asy’ari R.A beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda :
مَثَلُ الْجَلِيسِ الصَّالِحِ وَالْجَلِيسِ السَّوْءِ كَمَثَلِ صَاحِبِ الْمِسْكِ، وَكِيرِ الْحَدَّادِ، لاَ يَعْدَمُكَ مِنْ صَاحِبِ الْمِسْكِ إِمَّا تَشْتَرِيهِ، أَوْ تَجِدُ رِيحَهُ، وَكِيرُ الْحَدَّادِ يُحْرِقُ بَدَنَكَ أَوْ ثَوْبَكَ أَوْ تَجِدُ مِنْهُ رِيحًا خَبِيثَةً
Maksudnya : Perumpamaan seorang individu yang baik (yang duduk bersama dengan kita) dan juga individu yang buruk adalah seperti penjual minyak wangi dan juga tukang besi. Duduk bersama penjual minyak wangi sama ada kamu akan membelinya atau kami dapat menikmati bauan wanginya. Manakala duduk bersama tukang besi pula sama ada menyebabkan terpercik api ke badan atau baju kamu, atau kamu mendapati bauan yang busuk darinya.
Riwayat Al-Bukhari (2101)
Imam Ibn Hajar al-Asqalani dalam syarahan beliau ke atas hadis ini berkata :
وَفِي الْحَدِيثِ النَّهْيُ عَنْ مُجَالَسَةِ مَنْ يُتَأَذَّى بِمُجَالَسَتِهِ فِي الدِّينِ وَالدُّنْيَا وَالتَّرْغِيبُ فِي مُجَالَسَةِ مِنْ يُنْتَفَعُ بِمُجَالَسَتِهِ فِيهِمَا
Maksudnya : Pada hadis ini terdapatnya larangan bermajlis dengan mereka yang memberi gangguan (atau menyakiti) menerusi majlis bersamanya sama ada gangguan itu pada agama atau pada dunia seseorang. Begitu juga (hadis ini) menganjurkan supaya duduk bersama dengan mereka yang kita mendapat manfaat dari mereka dalam urusan agama dan juga urusan dunia. (Lihat Fath al-Bari, 4/324)
Dalam menjawab persoalan ini, kami memetik ucapan Abu Bakar al-Siddiq yang memesan kepada Yazid bin Abi Sufyan dengan panjang lebar. Antara pesanannya:
وَلا تُجَالِسِ الْعَبَّاثِينَ، وَجَالِسُ أَهْلَ الصِّدْقِ وَالْوَفَاءِ، وَاصْدُقِ اللقَاءَ، وَلَا تَجْبُنُ فَيَجْبُنَ النَّاسُ.
Maksudnya: “Janganlah kamu menghabiskan masa bersama dengan orang-orang yang berbual kosong, namun dampingilah orang-orang yang benar dan berlaku amanah. Benarkan pendirianmu bagi menegakkan kebenaran ketika menghadapi musuh. Jangan menjadi penakut, kerana orang-orang yang bersamamu juga akan menjadi penakut.” (Lihat al-Kamil fi al-Tarikh, 2/ 249-250)
Peri pentingnya kawan yang baik kerana ia membawa kebaikan dunia dan akhirat. Inilah persahabatan sejati. Sebaliknya, apabila seseorang tersalah memilih kawan yang jahat, zalim, fasik dan mempunyai sifat mazmumah, maka, ia terpercik kepadanya dan boleh jadi membawanya ke neraka wal iyazubillah. Benarlah firman Allah SWT:
يَا وَيْلَتَىٰ لَيْتَنِي لَمْ أَتَّخِذْ فُلَانًا خَلِيلًا ﴿٢٨﴾ لَّقَدْ أَضَلَّنِي عَنِ الذِّكْرِ بَعْدَ إِذْ جَاءَنِي ۗ وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِلْإِنسَانِ خَذُولًا
Maksudnya: “Wahai celakanya aku, alangkah baiknya kalau aku tidak mengambil si dia itu menjadi sahabat karib! “Sesungguhnya dia telah menyesatkan daku dari jalan peringatan (Al-Quran) setelah ia disampaikan kepadaku. Dan adalah Syaitan itu sentiasa mengecewakan manusia (yang menjadikan dia sahabat karibnya).”
(Surah al-Furqan: 28-29)
Semoga kita sentiasa diberi taufik dan hidayah oleh Allah SWT dalam melayari bahtera kehidupan. Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا
Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”
Bertarikh: 24 Oktober 2023 bersamaan 9 Rabiulakhir 1445