Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah orang yang membantu pembunuh dengan cara memegang mangsa, hukuman ke atasnya sama seperti hukuman ke atas pembunuh?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَلَا تَقْتُلُوا النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ ۗ وَمَن قُتِلَ مَظْلُومًا فَقَدْ جَعَلْنَا لِوَلِيِّهِ سُلْطَانًا فَلَا يُسْرِف فِّي الْقَتْلِ ۖ إِنَّهُ كَانَ مَنصُورًا
Maksudnya: “Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar. Dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan warisannya berkuasa menuntut balas. Dalam pada itu, janganlah ia melampau dalam menuntut balas bunuh itu, kerana sesungguhnya ia adalah mendapat sepenuh-penuh pertolongan (menurut hukum syara‘).”
(Surah al-Isra’: 33)
Ayat ini menunjukkan haram untuk membunuh manusia tanpa sebab yang dibenarkan oleh syara‘. Imam Ibn Kathir menyebutkan di dalam Tafsir al-Quran al-‘Azim (5/67), Allah SWT melarang dari membunuh tanpa kebenaran syara‘, sepertimana yang thabit dalam hadith ‘Abdullah bin Mas‘ud R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لاَ يَحِلُّ دَمُ امْرِئٍ مُسْلِمٍ يَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنِّي رَسُولُ اللَّهِ إِلاَّ بِإِحْدَى ثَلاَثٍ الثَّيِّبُ الزَّانِ وَالنَّفْسُ بِالنَّفْسِ وَالتَّارِكُ لِدِينِهِ الْمُفَارِقُ لِلْجَمَاعَةِ
Maksudnya: “Tidak halal darah seorang Muslim yang bersaksi bahawa tidak ada tuhan yang berhak disembah selain Allah, dan bahawa aku adalah utusan Allah kecuali dengan salah satu dari tiga perkara; nyawa (dibalas) dengan nyawa, orang yang telah berkahwin yang berzina, dan orang yang melepaskan (meninggalkan) diri daripada agamanya serta meninggalkan Jemaah (kaum Muslimin).”
Riwayat al-Bukhari (6878) dan Muslim (1676)
Dan juga hadith ‘Abdullah bin ‘Amru R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لَزَوَالُ الدُّنْيَا أَهْوَنُ عِنْدَ اللَّهِ مِنْ قَتْلِ رَجُلٍ مُسْلِمٍ
Maksudnya: “Kehancuran dunia itu lebih ringan di sisi Allah berbanding pembunuhan seorang lelaki muslim.”
Riwayat al-Nasa’ie (3998) dan al-Tirmizi (1395)
Berbalik kepada persoalan yang diajukan oleh saudara, para fuqaha’ berbeza pendapat berkenaan hukum orang yang memegang seseorang sehingga mengakibatkan dia dibunuh. Meskipun begitu, kesemua mereka berhujjah dengan hadith yang sama seperti yang diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin ‘Umar R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا أَمْسَكَ الرَّجُلُ الرَّجُلَ، وَقَتَلَهُ الآخَرُ، يُقْتَلُ الَّذِي قَتَلَ، وَيُحْبَسُ الَّذِي أَمْسَكَ
Maksudnya: “Sekiranya seorang lelaki memegang seorang lelaki, kemudian seorang yang lain membunuhnya (lelaki yang dipegang tersebut), maka dihukum mati orang yang membunuh itu, dan dipenjarakan orang yang memegang itu.”
Riwayat al-Daruqutni (3270) dan al-Baihaqi (16029)
Imam al-Syafi‘i juga membawakan satu riwayat daripada Saidina ‘Ali R.A bahawa pernah menjatuhkan hukuman ke atas seorang lelaki yang membunuh dengan sengaja, dan hukuman penjara ke atas seorang lelaki yang lainnya. Saidina ‘Ali R.A berkata:
يُقْتَلُ الْقَاتِلُ وَيُحْبَسُ الْآخَرُ فِي السِّجْنِ حَتَّى يَمُوتَ
Maksudnya: “Dihukum mati orang yang membunuh, dan dikurung seorang lagi di dalam penjara sehingga dia mati.”
Riwayat ‘Abd al-Razzaq (18089) dalam Musannaf
Imam al-Syafi‘i kemudian menyebutkan, Allah SWT telah menetapkan hukuman ke atas sekalian manusia dengan perbuatan yang sama (mereka lakukan). (Lihat al-Umm, 9/163)
Syeikh ‘Abdullah bin ‘Abd al-Rahman al-Bassam memperincikan kalam fuqaha’ 4 mazhab dalam masalah hukuman ke atas orang yang memegang mangsa bunuh seperti yang berikut:
Mazhab Hanbali: Mereka mengatakan bahawa jika seseorang memegang orang lain untuk dibunuh oleh orang ketiga, kemudian lelaki yang dipegang itu pun dibunuh, maka tidak ada perselisihan di kalangan ulama’ tentang hukuman mati ke atas pembunuh itu kerana dia membunuh seseorang yang setaraf dengannya dengan sengaja tanpa hak. Adapun orang yang memegang itu perlulah dipenjara sehingga dia mati tanpa perlu dikenakan qisas atau dibayar diyah kerana kematiannya. Akan tetapi, sekiranya orang yang memegang itu tidak tahu bahawa orang yang dipegang itu akan dibunuh, seperti sekadar gurauan dan bermain-main, maka orang yang memegang itu tidak dikenakan sebarang hukuman kerana dia tidak ada niat untuk menyebabkan pembunuhan orang itu. Inilah pandangan yang masyhur dalam Mazhab Hanbali.
Mazhab Hanafi dan Syafi‘i: Orang yang memegang itu dihukum takzir sekiranya dia sengaja memegang mangsa dengan niat, dalam keadaan dia tahu mangasa akan dibunuh. Penetapan hukuman ini kerana pernuatan pembunuh itu adalah secara langsung (membunuh), manakala perbuatan orang yang memegang ini merupakan sebab berlakunya pembunuhan. Dan perbuatan secara langsung itu lebih teruk berbanding sebab.
Salah satu hukuman takzir itu adalah penjara, tetapi mereka tidak berpandangan agar dipenjara seumur hidup sebagaimana al-Hanabilah, sebaliknya mereka berpandangan bahawa pemenjaraan bergantung kepada keputusan pemimpin sama ada panjang atau pendek tempohnya. Ini kerana tujuannya adalah untuk mendisiplinkan dan bukan berterusan dengan sengaja niat sehingga dia mati.
Mazhab Maliki: Orang yang memegang juga dihukum bunuh sebagai qisas, sekiranya dia memegang mangsa dengan hasrat agar dia dibunuh, dan dia juga tahu bahawa pembunuh memang akan membunuh mangsa. Ini kerana pegangan dia itu menjadi sebab kepada pembunuhan mangsa.
Sekiranya dia tidak tahu bahawa pembunuh berniat ingin membunuh mangsa, maka hukuman ke atas orang yang memegang itu adalah takzir dan bukanlah qisas. (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 6/114-115)
Daripada hadith ini juga, ulama’ mengeluarkan satu kaedah fiqh yang menyebut:
إِذَا اجْتَمَعَ الْمُبَاشِرُ وَالْمُتَسَبِّبُ، أُضِيفَ الْحُكْمُ إِلَى الْمُبَاشِرِ
Maksudnya: “Apabila berkumpulnya pelaku dan penyebab, diletakkan hukuman itu atas si pelaku.”
Dalam erti kata lain, apabila terdapat si pembunuh (pelaku) yang menjadi punca utama pembunuhan itu berlaku dan orang yang menyebabkan pembunuhan itu boleh dilakukan, maka hukum utama (qisas) itu diletakkan pada si pelaku kerana dia yang membunuh. (Lihat al-Qawa‘id al-Fiqhiyyah wa Tatbiqatuha fi al-Mazahib al-Arba‘ah, 1/480)
Kesimpulan
Melihat kepada perbincangan di atas, kami katakan bahawa hukuman orang yang memegang mangsa bunuh itu perlu diteliti keadaannya terlebih dahulu.
Jika dia memang tahu bahawa mangsa akan dibunuh, dan dia juga berniat agar dia dibunuh, maka hukumannya adalah ditakzir dengan dipenjarakan sebagaimana yang disebutkan oleh majoriti fuqaha’.
Akan tetapi, jika orang yang memegang mangsa bunuh itu tidak tahu bahawa dia akan dibunuh, bahkan tidak berniat agar dia dibunuh, maka dia tidaklah dihukum dengan apa-apa hukuman. Dan inilah yang bertepatan dengan sebuah hadith riwayat Abu Zar al-Ghifari R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأَ وَالنِّسْيَانَ وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengampunkan ke atas umatku (perbuatan-perbuatan yang dilakukan) secara tersilap, terlupa, dan juga suatu yang dipaksa ke atas mereka.”
Riwayat Ibn Majah (2043)
Kita berharap dan mendoakan, agar Allah SWT tidak menghukumkan ke atas orang yang memegang mangsa bunuh ini tanpa sebarang niat jahat, kerana boleh jadi mereka hanya bergurau dan bermain-main sahaja. Akhirnya, segala hukuman ke atas orang ini akan kembali kepada ketentuan pemerintah sama ada wajar atau tidak untuk memberikan sebarang hukuman sebagai peringatan dan pengajaran kepadanya, kerana pemimpin lebih mengetahui akan maslahah masyarakat umum yang perlu dipelihara.
Kaedah fiqh ada menyebutkan:
تَصَرُّفُ الْإِمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالْمَصْلَحَةِ
Maksudnya: “Tindakan pemerintah terhadap rakyatnya hendaklah berasaskan maslahah.”
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا ظُلْمًا كَثِيرًا، ولَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إلَّا أنْتَ، فَاغْفِرْ لَنَا مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ، وَارْحَمْنَا، إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ
Maksudnya: “Ya Allah! Sungguh kami telah menzalimi diri kami dengan kezaliman yang banyak, sedangkan tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau. Maka ampunilah kami dengan suatu pengampunan dari sisi-Mu, dan rahmatilah kami. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
Wallahu a‘lam
Bertarikh: 24 Oktober 2023 bersamaan 9 Rabiulakhir 1445