Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana kita ingin memastikan syura yang kita lakukan boleh membawa natijah yang terbaik, tuntas dan benar?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
وَالَّذِينَ اسْتَجَابُوا لِرَبِّهِمْ وَأَقَامُوا الصَّلَاةَ وَأَمْرُهُمْ شُورَىٰ بَيْنَهُمْ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنفِقُونَ
Maksudnya: “Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menyahut dan menyambut perintah Tuhannya serta mendirikan sembahyang dengan sempurna; dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka; dan mereka pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepadanya;”
(Surah al-Syura: 38)
Menurut Syeikh Dr Solah Abdul Fattah Al-Khalidi dalam tulisannya al-Syura fi al-Qur’an menyatakan bahawa ayat berikut, iaitu syura tidak dikhususkan dalam politik, pentadbiran negara dan sistem kehakiman sahaja akan tetapi meliputi semua yang berkait dengan kehidupan dan urusan umat Islam dari sudut kekeluargaan, masyarakat, ekonomi, pendidikan dan sebagainya bahkan dalam urusan yang kecil kesepakatan di antara suami isteri tentang penyusuan anak bawah dua tahun.
Berdasarkan dapatan kami, jelas menunjukkan yang bahawa Rasulullah SAW sentiasa melaksanakan syura bersama dengan sahabatnya seperti dalam perang Badar, perang Uhud, perang Khandak, pembukaan kota Makkah dan lain-lain lagi.
Banyak kelebihan syura yang diperolehi, antaranya; memperolehi pandangan yang paling tuntas, kesepaduan dalam melaksanakan satu-satu keputusan, tiada lagi cakap belakang atas keputusan yang diambil, mendapat petunjuk dan hidayah daripada Allah SWT, memperolehi keberkatan dan mencapai kejayaan dan kecemerlangan. Ini adalah sebahagian daripada kesan pelaksanaan syura mengikut yang sebenarnya.
Dalam menjawab persoalan di atas, Khalifah Abu Bakar pernah memesan kepada Yazid bin Abi Sufyan:
وَإِذَا اسْتَشَرْتَ فَاصْدُقِ الْحَدِيثَ تُصْدَقِ الْمَشُورَةَ، وَلَا تُخْزِنْ عَنِ الْمُشِيرِ خَبَرَكَ فَتُؤْتَى مِنْ قِبَل نَفْسِكَ، وَاسْمِرْ بِاللَّيْلِ فِي أَصْحَابِكَ تَأْتِكَ الْأَخْبَارُ وَتَنْكَشِفْ عِنْدَكَ الْأَسْتَارُ.
Maksudnya: “Apabila kamu berbicaralah dengan jujur, maka musyawarah akan menemukan kebenaran. Janganlah bersedih jika ada yang menentang pendapatmu, sehingga kamu terbawa-bawa mengikut hawa nafsumu. Berjagalah pada waktu malam mengawal anggota pasukanmu, maka kamu akan mendapat banyak maklumat dan nyata apa yang tersembunyi daripada pengetahuanmu.” (Lihat al-Kamil fi al-Tarikh, 2/249-250)
Marilah sama-sama kita menekuni surah al-Asr:
وَالْعَصْرِ ﴿١﴾ إِنَّ الْإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ ﴿٢﴾ إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ
Maksdunya: “Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian – Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.”
(Surah al-‘Asr : 1-3)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ لَا سَهْلَ إِلاَّ ما جَعَلْتَهُ سَهْلاً، وأنْتَ تَجْعَلُ الحَزْنَ إذَا شِئْتَ سَهْلاً
Maksudnya: “Ya Allah! Tiada kemudahan kecuali apa yang Engkau jadikannya sebagai kemudahan. Dan Engkaulah yang menjadikan perkara yang sukar itu jika Engkau kehendaki dengan kemudahan.”
Riwayat al-Baihaqi dalam al-Da’awat al-Kabir (265), Ibn Hibban (974) dan Ibn al-Sunni dalam ‘Amal al-Yaum wa al-Lailah (351)
Bertarikh: 24 Oktober 2023 bersamaan 9 Rabiulakhir 1445