#3769 Perbezaan Agama dan Bangsa Yahudi

Soalan:

Apakah perbezaan antara bangsa Yahudi dan agama Yahudi?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Agama Yahudi Ia adalah agama bagi orang-orang Ibrani, keturunan Nabi Ibrahim AS. Mereka dikenali sebagai suku Bani Israel, kepada mereka Allah mengutuskan Nabi Musa AS sebagai Nabi mereka dengan dibawakan Taurat. Agama Yahudi dikaitkan dengan orang Yahudi. Lihat al-Mausu’ah al-Muyassarah fi al-Adyan wa al-Mazahib wa al-Ahzab al-Mu’asirah, 2/495

Adapun bangsa Yahudi memiliki sejarah yang panjang sebagaimana yang dihuraikan oleh Syeikh Muhammad Ahmad al-Khatib bermula dengan;

  1. Penghijrahan mereka ke Mesir dan perpindahan daripada Mesir
  2. Perpindahan daripada Mesir sehingga kewafatan Nabi Musa AS
  3. Zaman Yusha’ bin Nun
  4. Zaman para Hakim
  5. Zaman Kerajaan fasa pertama bermula dengan Talut (atau Sha’ul sebagaimana sebutan dalam Taurat)
  6. Zaman Kerajaan fasa kedua bermula dengan Rehoboam, anak kepada Nabi Sulaiman AS dan cucu kepada Nabi Daud AS
  7. Kembali ke Palestin sehingga Diaspora Kedua
  8. Zaman Maccabee
  9. Diaspora Kedua (Lihat Muqaranah al-Adyan. m. 45-74)

Nama dan Sebab Penamaan

Penganut agama Yahudi turut dikenali sebagai Ibraniyyun/Ibriyyun, Isra’iliyyun dan Yahud. Para ulama berbeza pandangan berhubung sebab penamaan dengan tiga nama tersebut.

Agama ini dipanggil Ibraniyyun kerana

  1. Merujuk kepada kitab Kejadian dalam Injil Ibrani, Baginda dipanggil sebagai Ibrahim al-Ibrani kerana Baginda menyeberangi (abara) Sungai Furat dan sungai-sungai lainnya. 
  2. Dinamakan Ibriyyun kerana nisbah kepada Ibr iaitu cilawagi (datuk kelima) kepada Nabi Ibrahim AS.
  3. Ia merujuk kepada kehidupan kelompok ini di gurun, mereka berpindah randah mencari makanan dan rumput bagi ternakan (Lihat Banu Isra’il fi al-Qur’an wa al-Sunnah, m. 9-10.) Pandangan ketiga ini juga adalah pandangan Dr. Ahmad Shalaby (Lihat Muqaranah al-Adyan al-Yahudiyyah. m.)

Mereka dipanggil Isra’iliyyun atau Bani Isra’il kerana ia adalah nisbah kepada bapa bagi Bani Isra’il iaitu Nabi Ya’qub bin Ishaq bin Ibrahim AS. Isra’il adalah perkataan Bahasa Ibrani daripada kalimah isra’ yang membawa maksud hamba atau pilihan, dan el itu merujuk kepada Allah. Maka, Isra’il ialah hamba Allah atau pilihan Allah. (Lihat Banu Isra’il fi al-Qur’an wa al-Sunnah, m. 12.)

Mereka dipanggil Yahudi kerana

  1. Selepas mereka bertaubat daripada menyembah anak lembu, mereka berkata; 

 إنا هدنا إليك / تبنا إليك

Menurut Lisan al-’Arab, al-haud bermaksud taubat (haada – yahuudu – haudan). Firman Allah SWT

وَاكْتُبْ لَنَا فِي هَٰذِهِ الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ إِنَّا هُدْنَا إِلَيْكَ ۚ

Maksudnya; “Dan tetapkanlah untuk Kami kebaikan dalam dunia ini dan juga di akhirat, sesungguhnya kami kembali (bertaubat) kepadaMu” 

  (Surah al-A’raf: 156)

2. Mereka dipanggil Yahudi kerana mereka bergerak-gerak (yatahawwadun) semasa membaca Taurat.

3. Dikatakan, ia berasal daripada Yehuza, anak lelaki keempat Nabi Ya’qub AS.

Kami cenderung kepada pendapat ketiga oleh Dr. Amin al-Khuli, sebagaimana yang beliau nukilkan daripada al-Biruni. Menurut al-Biruni, Yehuza adalah dalam kalangan kelompok al-Asbat  (الأسباط). Kekuasaan kerajaan berada pada keturunannya. Huruf zal (الذال) digantikan dengan dal (الدال) kerana kebiasaannya bangsa Arab menukarkan nama-nama bukan Arab dengan menggantikan beberapa hurufnya. (Lihat Tarikh al-Milal wa al-Nihal, 2/4

Prinsip Akidah

Tidak ada satu kesimpulan yang khusus tentang prinsip-prinsip akidah yang diakui oleh semua cabang agama Yahudi. Pun begitu, terdapat satu bentuk utama yang dirumuskan oleh Musa bin Maimun. Dalam ulasannya kepada Mishnah (Lihat Tractate Sanhedrin, bab 10), Musa bin Maimun merumuskan 13 Prinsip Akidah Yahudi yang meringkaskan keseluruhan akidah agama Yahudi iaitu:

  1. Tuhan itu Wujud.
  2. Tuhan itu Esa.
  3. Tuhan itu tidak berjisim.
  4. Tuhan itu kekal abadi.
  5. Tuhan sahaja yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat dan bukan selainnya.
  6. Sabda para Nabi adalah benar.
  7. Semua ramalan Musa adalah benar, dan Baginda adalah yang terbaik antara semua para Nabi.
  8. Taurat (baik undang-undang bertulis dan lisan) adalah daripada Tuhan dan telah diwahyukan kepada Musa oleh Tuhan di Gunung Sinai.
  9. Taurat yang diberikan oleh Musa adalah kekal dan tidak akan diganti atau diubah.
  10. Tuhan Maha Mengetahui segala perbuatan dan pemikiran manusia.
  11. Tuhan akan mengganjari kebaikan dan membalas kejahatan.
  12. Mahdi akan datang.
  13. Kebangkitan selepas kematian.

Kitab-kitab Suci Agama Yahudi

Dua kitab utama dalam agama Yahudi adalah Talmud dan Torah. Torah adalah teks yang paling suci dan asas dalam agama Yahudi. Ia terdiri daripada lima buku pertama Injil Ibrani iaitu Kejadian, Keluaran, Imamat, Bilangan, dan Ulangan. Buku-buku ini mengandungi undang-undang teras dan ajaran Yahudi dan secara tradisinya dinisbahkan kepada Nabi Musa AS. Taurat berperanan sebagai asas bagi undang-undang dan akidah Yahudi.

Talmud ialah koleksi tulisan yang mengandungi perbincangan dan tafsiran Torah, bersama dengan perbincangan yang meluas tentang undang-undang, etika, adat, dan tradisi Yahudi. Ia dianggap sebagai teks utama dalam agama Yahudi dan berfungsi sebagai panduan untuk memahami dan menerapkan undang-undang dan ajaran yang terdapat dalam Torah.

Tanakh pula ialah Injil Ibrani, yang merangkumi koleksi teks yang lebih luas melebihi Taurat. Ia dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu Torah dengan lima buku pertama seperti yang disebutkan di atas, Nevi’im iaitu tentang para Nabi, dan Ketuvim yang merangkumi pelbagai penulisan lain. Tanakh berperanan kitab perundangan untuk agama Yahudi dan mengandungi pelbagai teks sejarah, undang-undang, kenabian, dan hikmah yang penting untuk kehidupan agama dan kebudayaan penganut agama Yahudi.

Kami perincikan kandungan Tanakh sebagaimana dalam jadual di bawah;

Torah Kejadian (Bereshit), Keluaran (Shemot), Imamat (Vayiqra), Bilangan (Bemidbar), Ulangan (Devarim)
Nevi’im Joshua (Yehoshua), Hakim-Hakim (Shofetim), Samuel (Shemuel), Raja-Raja (Melakhim), Isaiah (Yeshayahu), Jeremiah (Yirmeyahu), Ezekiel (Yehezqel), Kitab Dua Belas (Tere Asar): Hosea, Joel,

Amos, Obadiah, Jonah, Micah, Nahum, Habakkuk, Zephaniah, Haggai, Zechariah, Malach

Ketuvim Psalms (Tehillim)

Proverbs (Mishle)

Job (Iyyov)

Song of Songs (Shir Hashirim)

Ruth (Ruth)

Lamentations (Ekhah)

Ecclesiastes (Qohelet)

Esther (Ester)

Daniel (Daniel)

Ezra-Nehemiah (Ezra-Nehemyah)

Chronicles (Divre Hayamim)

Hari-Hari Keagamaan

Sama seperti minggu suci iaitu hari Sabtu (Sabbath), terdapat juga bulan-bulan tertentu dalam setahun yang diraikan dengan perayaan tertentu. Secara asasnya, kalendar agama Yahudi adalah seperti agama Islam iaitu bergantung kepada pergerakan bulan. Walau bagaimanapun, pelarasan telah dibuat untuk mengekalkan tahun lunar secara amnya selaras dengan kalendar Gregorian yang dipakai pada hari ini. Oleh kerana kalendar lunar hanya ada 354 hari dalam setahun, satu tahun kalendar lunar adalah sebelas hari lebih pendek daripada satu tahun kalendar matahari. Maka, dalam kalendar agama Yahudi satu bulan tambahan diwujudkan kira-kira setiap tiga tahun. Bulan-bulan lunar tahun Yahudi oleh itu berbeza sedikit, seperti juga hari-hari suci.

Antara perayaan yang disambut adalah;

  • Rosh Hashanah

Perayaan ini adalah perayaan tahun baru yang dirayakan dengan meriah dan penuh kesyukuran. Selain memperingati mengenai hari penciptaan alam raya, pada hari ini juga diperingati hari kiamat. Rosh Hashanah dipercayai sebagai hari Sabtu pertama pada saat penciptaan dunia. Hari raya ini dilangsungkan selama dua hari

  • Yom Kippur

Yom Kippur adalah Hari Penebusan atau Hari Pendamaian yang merupakan hari yang dianggap paling suci dalam agama Yahudi. Perayaan ini jatuh pada tanggal 10 Tishri dalam kalender Yahudi. Walaupun disebut perayaan, sebenarnya dilakukan puasa selama 25 jam, bermula daripada terbenamnya matahari.

  • Sukkot

Perayaan Sukkot atau Perayaan Pondok Daun ialah adalah perayaan kesyukuran kepada orang Yahudi untuk tuaian yang disambut selama tujuh hari bulan purnama antara September dan Oktober. Tepatnya, perayaan ni diadakan pada Tishri 15 mengikut kalendar Yahudi. Semasa tempoh perayaan ini, orang Yahudi membuat ziarah ke sinagog di Jerusalem dengan membawa persembahan. 

  • Purim

Purim ialah perayaan Yahudi yang meraikan keselamatan masyarakat Yahudi di Parsi daripada ancaman pembunuhan yang disusun oleh Haman. Perayaan ini termasuk membaca Kitab Ester, berpakaian kostum khas, penyediaan makanan seperti hamantaschen, memberi tzedakah, dan berkongsi makanan dengan rakan-rakan. Ia adalah perayaan yang ceria dan berwarna-warni, meraikan kemenangan dan perpaduan masyarakat Yahudi.

  • Yom Hashoah

Yom Hashoah ialah hari peringatan Holocaust yang diadakan setiap tahun untuk mengingati berjuta-juta Yahudi mangsa Holocaust semasa Perang Dunia ke-II. Peringatan ini jatuh pada 27 Nisan dalam kalendar Ibrani dan termasuk acara peringatan khas serta penghormatan kepada mangsa. 

  • Shavuot

Shavuot ialah perayaan Yahudi yang meraikan penerimaan Taurat di Gunung Sinai. Perayaan ini jatuh pada hari ke-50 selepas Paskah, yang melibatkan ibadah di sinagog, penyediaan makanan berasaskan produk tenusu, dan pemberian tzedakah. Shavuot ialah detik penting dalam sejarah agama Yahudi dan menandakan penghormatan terhadap Taurat.  (Lihat Experiencing World Religions, m. 325-328.)

Kesimpulan

Agama Yahudi adalah agama yang mengikuti ajaran dan keyakinan yang terdapat dalam kitab suci mereka dan mengikut 10 Prinsip Akidah yang digagaskan oleh Musa bin Maimun. Maka, orang bukan Yahudi yang memeluk agama Yahudi diakui sebagai orang Yahudi dari segi agama dan biasanya mengikuti praktik dan ritual keagamaan yang terkait dengan agama Yahudi. Mereka tidak lagi dianggap sebagai goyim. 

Bangsa Yahudi pula merujuk kepada identitas etnik atau bangsa yang terkait dengan keturunan, budaya, dan sejarah bersama. Ini juga boleh menjadi identiti bangsa tanpa mengikuti agama Yahudi. Seorang individu dapat dianggap sebagai orang Yahudi dari segi keturunan atau identiti bangsal tanpa mengikuti agama Yahudi. Contohnya, seseorang yang memiliki keturunan Yahudi tetapi tidak mengikuti agama Yahudi masih dianggap sebagai orang Yahudi secara etniknya.

Penting untuk difahami bahawa identiti Yahudi boleh menjadi gabungan agama dan keturunan. Ada orang Yahudi yang mengikuti agama Yahudi, tetapi juga ada yang mungkin lebih terkait dengan aspek etnik atau budaya. Oleh itu, orang Yahudi dapat memiliki identiti yang pelbagai, mencakupi komponen agama, bangsa, dan budaya.