#3774: Mencium al-Quran

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa hukum mencium al-Quran?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan takruf atau definisi al-Quran. Al-Quran pada bahasa mempunyai beberapa makna iaitu mengumpulkan dan menghimpun, dan qira’ah bererti menghimpun huruf-huruf dan kata-kata satu dengan yang lain dalam satu ucapan yang tersusun rapi. Quran pada mulanya seperti qiraah, iaitu masdar (infiniti) dari kata qara’a, qiraatan, quranan. Allah SWT berfirman:

إِنَّ عَلَيْنَا جَمْعَهُ، وَقُرْهَانَهُ فَإِذَا قَرَأْنَهُ فَأَتَّبِعْ قُرْءَانَهُ

Maksudnya: “Sesunggguhnya atas tanggungan Kamilah mengumpul- kannya (di dadamu) dan (membuatmu pandai) membacanya. Apabila Kami telah selesai membacakannya, maka itulah bacaannya itu.”

(Surah al-Qiyaamah: 17-18)

Al-Maraghi berkata: “Perkataan qur’anah memberi makna bacaannya, iaitu menetapkan bacaan itu menerusi lisannya.”

Kata qur’anah (bacaannya) pada ayat di atas bererti qiraatuhu bacaannya atau cara membacanya). Jadi, kata itu adalah masdar menurut wazan (konjunsi) fu’lan dengan vokal u seperti ghufran dan syukran. Kita dapat mengatakan qara’tuhu, quran, qiraatan wa quranan, ertinya sama saja. Di sini maqru’ (apa yang dibaca) diberi nama quran (bacaan), yakni penamaan maf’ul dengan masdar.

Sedangkan pada istilahnya pula ialah kitab yang diturunkan oleh Allah SWT secara mutawatir kepada Nabi SAW yang bersifat mukjizat di mana mendapat pahala jika dibacanya yang terangkum dari awal surah al-Fatihah hingga akhir surah al-Nas.

Keistimewaan al-Quran

Sebenarnya al-Quran cukup istimewa berbanding dengan mana-mana kitab. Oleh kerana tajuk ini cukup besar, penulis hanya menyebut sepintas lalu dengan satu dalil sahaja dengan setiap satunya. Dipetik daripada karya Dr. Yusuf al-Qaradhawi yang bertajuk “Bagaimana kita berinteraksi bersama dengan al-Quran al-Azim.” Antara lain menyebut:

Al-Quran kitab Ilahi. Hal ini dijelaskan dengan banyak ayat antaranya:

الرَّكِتَبُ أُحْكِمَتْ وَايَنَتُهُ، ثُمَّ فُصِّلَتْ مِن لَّدُنْ حَكِيمٍ خَبِيرٍ

Maksudnya: “Alif, Lam, Ra. Al-Quran sebuah Kitab yang tersusun rapi ayat-ayatnya, kemudian dijelaskan pula kandungannya satu persatu yang diturunkan daripada Allah SWT Yang Maha Mendalam pengetahuan-Nya.”

(Surah Hud: 1)

Al-Quran adalah kitab mahfuz (terpelihara). Firman Allah SWT:

إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran dan memeliharanya.”

(Surah al-Hijr: 9)

Maksud hafizun dalam ayat ini dengan pemeliharaan Allah dari sebarang perubahan dan pertukaran seperti kata Ibn Kathir.

Menjawab persoalan di atas, kami nukilkan pandangan para ulama. Antaranya:

  • Al-Hafiz Ibn Hajar menyebut di dalam Fath al-Bari, bahawa dinukilkan daripada Ibn Abi al-Saif al-Yamani, salah seorang ulama’ Makkah dari kalangan ulama’ bermazhab al-Syafi’i, bahawa dibolehkan untuk mengucup al-Quran. (Lihat Fath al-Bari, 3/475)
  • Imam al-Bujairimi dan al-Subki menjadikan dalil bahawa dibolehkan mencium al-Quran dengan diqiyaskan dengan perbuatan mencium al-Hajar al-Aswad. (Lihat Hawasyi al-Syarwani, 1/155)
  • Al-Safarini dari mazhab Hanbali menyebut bahawa dibolehkan mencium al-Quran, sebagaimana dinyatakan oleh Imam Ahmad, bahawa digalakkan kerana Ikrimah bin Abi Jahal R.A melakukan perbuatan tersebut. Ia diriwayatkan oleh jama’ah, antaranya al-Darimi dengan sanad yang sahih. (Lihat Ghiza’ al-Albab, 1/316)
  • Imam al-Zarkasyi menyebut bahawa digalakkan untuk mencium al-Quran kerana Ikrimah bin Abi Jahal menciumnya. Perkara ini diqiyaskan dengan mencium al-Hajar al-Aswad. Ini kerana, al-Quran merupakan hadiah untuk hamba-hamba-Nya. Maka digalakkan untuk menciumnya sebagaimana digalakkan untuk mencium anak-anak kecil. (Lihat al-Burhan fi Ulum al-Quran, 1/478)
  • Dalam kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, dinyatakan bahawa hukum mencium al-Quran di sisi mazhab Hanafi adalah dibenarkan. Dan ini merupakan pendapat yang masyhur dalam mazhab Imam Ahmad. Hal ini berdasarkan apa yang diriwayatkan bahawa Umar al-Khattab R.A dan Uthman bin Affan R.A telah melakukan hal sedemikian. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 13/133)
  • Dar al-Ifta’ al-Urduniyyah menyebut: “Mengucup mushaf merupakan penghormatan dan pengagungan terhadapnya, sama seperti manusia mencium Hajar al-Aswad sebagai tanda pengagungan terhadapnya. Oleh itu, tiada masalah bagi seorang Muslim untuk mencium al-Quran yang mulia ini. Dan tidak dapat dinafikan bahawa akan diberikan ganjaran atas perbuatan tersebut.”[1]

Berdasarkan kenyataan di atas, kami nyatakan bahawa boleh untuk mencium al-Quran sebagai tanda cinta dan tingginya nilai al-Quran itu. Meskipun begitu, di sana terdapat juga pandangan ulama’ yang bermazhab Maliki yang menyatakan bahawa perbuatan tersebut adalah makruh kerana tidak terdapat nas yang jelas bahawa Nabi SAW melakukan perbuatan tersebut.

Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اجْعَلِ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِناَ، وَنُوْرَ صُدُوْرِناَ، وَجلاَءَ أَحْزَانِناَ، وَذهَابَ هُمُوْمِناَ

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah al-Qur’an sebagai penyejuk hati kami, cahaya yang menyinari dada kami, penghibur duka kami dan penghapus kesedihan kami.”

[1] https://www.aliftaa.jo/Question3.aspx?QuestionId=2645

Bertarikh: 25 Oktober 2023 bersamaan 10 Rabiulakhir 1445